Adab Ziarah Kubur Dalam Islam

ziarah kubur

ziarah kubur

Sempena musim perayaan AidilFitri, biasanya ramai yang melakukan amalan menziarahi pusara atau kubur sanak saudara tercinta yang telah meninggal dunia. Amalan mulia ini sesungguhnya boleh membawa kita kepada keinsafan, mengingatkan kita akan mati dan kekuasaan Allah SWT. Marilah kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wataala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertakwa dan beriman serta selamat di dunia dan selamat di akhirat.

Islam adalah agama yang sempurna yang mengajarkan umat-Nya hidup saling bersaudara, bantu-membantu dan hormat-menghormati sesama manusia, tidak kira sama ada seseorang itu masih hidup atau telah meninggal dunia. Dalam konteks ini, Islam telah menganjurkan dan mengajarkan cara untuk menghormati mereka yang telah meninggal dunia, iaitu dengan melakukan ziarah ke tanah perkuburan.

Amalan menziarahi kubur adalah amalan yang lazim dilakukan oleh umat Islam di negara ini dan amalan tersebut semakin bertambah dalam bulan Ramadan dan di pagi Hari Raya Aidilfitri. Ziarah ke tanah perkuburan ini, pada hakikatnya tidaklah tertumpu pada bulan Ramadan atau bulan Syawal sahaja, akan tetapi kita digalakkan berziarah ke tanah perkuburan pada bila-bila masa. Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang diriwayatkan oleh Al-Imam Ibnu Majah maksudnya:

“Dari Abi Mas’ud Radiallahuanhu, sesungguhnya Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda:

Pada mulanya aku melarang kamu menziarahi kubur, kini bolehlah kamu menziarahinya kerana sesungguhnya menziarahi kubur itu boleh menzihadkan kehidupan di dunia dan mengingatkan akhirat”.

Amalan ziarah kubur ini mempunyai tujuan dan hikmatnya tersendiri, antaranya ialah supaya dikasihi oleh Allah Subhanahu Wataala dengan sebab mengikuti Sunnah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam. Di samping itu, berziarah ini juga akan menerbitkan perasaan insaf dan taubat di dalam hati tentang menghadapi hari kematian, alam kubur dan alam akhirat, iaitu dengan muhasabah diri, adakah amalan kita sudah mencukupi untuk dijadikan bekal di dalam alam barzakh dan alam akhirat.

Selain itu, berziarah kubur juga jika difahami dan dihayati tujuannya, akan mengingatkan kepada kita asal usul kejadian kita yang berasal dari tanah dan kepada tanah juga kita akan dikembalikan. Dengan penghayatan sedemikian, insya-Allah akan menggamit rasa hati dan kesedihan serta dapat melembutkan kekerasan hati, yang akan melahirkan kesedaran untuk melakukan segala suruhan Allah Subhanahu Wataala dan menjauhi segala larangan-Nya.

Ziarah kubur juga bertujuan berlaku ihsan terhadap penghuni kubur, lebih-lebih lagi kepada roh kedua ibu bapa kita dan menggembirakan mereka dengan memberi salam, memohon doa agar dilimpahi dengan rahmat, pengampunan dan keafiatan dari Allah Subhanahu Wataala. Perlulah diketahui bahawa permohonan doa anak yang salih itu, yang sentiasa mendoakan kedua ibu bapa mereka yang telah meninggal dunia akan diterima oleh Allah Subhanahu Wataala serta ditulis oleh Allah Subhanahu Wataala sebagai anak yang taat kepada ibu bapanya. Sabda Rasulallah Sallallahu Alaihi Wasallam dalam hadis yang diriwayatkan oleh Al-Imam Muslim maksudnya:

“Dari Abi Hurairah Radiallahuanhu, bahawasanya Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda:

Apabila seseorang manusia itu mati, akan terputuslah daripadanya segala amalannya melainkan tiga perkara: Sedekah yang berterusan manfaatnya, ilmu yang dimanfaatkan, atau anak yang salih yang mendoakan baginya”.

Perlu juga diketahui, bahawa agama Islam telah menggariskan panduan dan adab-adab ziarah kubur yang patut diikuti.

Pertama: Sebelum menziarahi kubur, disunatkan kita berwuduk dan memakai pakaian yang sopan dan menutup aurat. Kemudian barulah kita bertolak menuju ke tanah perkuburan dan berniat ikhlas selaras dengan tujuan dan hikmah ziarah tersebut.

Kedua: Apabila kita sampai ke tanah perkuburan, disunatkan kita memberi salam kepada ahli atau penghuni kubur dan afdalnya dilakukan dalam keadaan kita berdiri di tepi kubur dengan membelakangi kiblat dan menghadap ke arah muka ahli kubur yang kita ziarahi, sebagaimana yang dijelaskan dalam hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang diriwayatkan oleh Al-Imam Muslim yang bermaksud:

“Dari Sulaiman bin Buraidah dari bapa-Nya: Sesungguhnya Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasalam mengajar mereka sekiranya menziarahi kubur supaya mengucapkan:

Assalamualaikum, mudah-mudahan Allah melimpahkan salam sejahtera kepada kamu sekalian wahai penghuni kubur orang-orang Mukminin dan Muslimin, dan sesungguhnya kami insya-Allah akan bertemu kamu, kami memohon kepada Allah keafiatan untuk kami dan bagi kamu juga”.

Ketiga: Tidak berbual dengan percakapan kosong, sebagaimana yang ditegaskan dalam hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang diriwayatkan oleh Al-Imam An-Nisa’i maksudnya:

“Dari Abdullah bin Buraidah dari bapa-Nya, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda:

Sesiapa yang ingin menziarahi kubur, berziarahlah dan janganlah kamu bercakap-cakap perkara yang batal”.

Keempat: Disunatkan memberi sedekah kerana amalan bersedekah adalah antara Sunnah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dan diniatkan kepada ahli kubur agar pahalanya akan sampai kepada penghuni kubur tersebut. Ini berdasarkan hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang diriwayatkan oleh Al-Imam Muslim yang maksudnya:

“Dari A’isyah Radiallahuanha katanya:

Seseorang lelaki datang bertanya kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam: Ya Rasulallah! Ibuku meninggal dengan secara tiba-tiba dan dia tidak sempat berwasiat. Menurut dugaanku, seandainya dia sempat berbicara, mungkin dia akan bersedekah. Dapatkah dia pahalanya jika aku bersedekah atas namanya? Jawab Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam: Ya”.

Kelima: Haram melakukan perkara khurafat yang menjejaskan akidah seperti mencium kubur, mengusap-usap tanah perkuburan dan sebagainya.

Marilah kita sama-sama menjaga adab-adab ziarah kubur dan meninggalkan perkara-perkara yang dilarang, apatah lagi yang boleh merosakkan akidah dan keimanan kita. Mudah-mudahan kesan dari amalan ziarah yang kita lakukan itu dapat memberi keinsafan dan kesedaran kepada kita dengan sentiasa mengingati mati dan segera bertaubat kepada Allah Subhanahu Wataala.

Di samping itu juga kita berharap penghuni kubur pula akan mendapat rahmat dari Allah Subhanahu Wataala dan mendapat ketenteraman serta terhindar dari seksa kubur dan azab api Neraka. Amin, Amin Yarabbalalamin.

Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Yunus ayat 25 tafsirnya:

“(Itulah dia kesudahan kehidupan dunia) dan sebaliknya Allah menyeru manusia ke tempat ke diaman yang selamat sentosa dan Dia sentiasa memberi petunjuk hidayah-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya menurut undang-undang peraturan-Nya ke jalan yang betul lurus yang selamat itu”.

-http://www.religious-affairs.gov.bn

Related posts

*

*


× one = 6

 

Top
This site is protected by WP-CopyRightPro
Read more:
selsemababi-h1n1.jpg
Fakta Lengkap Mengenai Virus Selsema Babi – Influenza A (H1N1)

Virus influenza A (H1N1) adalah virus baru dan semua rakyat Malaysia tiada daya ketahanan kepada jangkitan ini. Vaksin bagi melindungi jangkitan juga belum ada. Jika...

Close