Anak-anak Adalah Perhiasan Dunia Sekaligus Fitnah

anak soleh

anak solehAnak-anak adalah kurniaan dari Allah SWT kepada manusia.  Kita pasti akan merasa teruja, gembira dan tenteram menyaksikan sebuah keluarga dalam keadaan bergurau senda sekali gus terdetik di hati ini mengimpikan situasi itu bakal terjadi pada diri kita.  Anak-anak adalah perhiasan kehidupan dunia sebagaimana ditegaskan oleh beberapa ayat-ayat suci al-Quran di bawah ini:

Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda yang dingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak berpikul-pikul, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih; dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. Dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga).

[Ali-Imran, 3:14]

Harta benda dan anak-pinak itu, ialah perhiasan hidup di dunia dan amal-amal soleh yang kekal faedahnya itu lebih baik pada sisi Tuhanmu sebagai pahala balasan, dan lebih baik sebagai asas yang memberi harapan.

[Al-Khaf, 18:46]

Oleh kerana itu, kita akan dapati kebanyakkan masyarakat umum tertipu oleh perhiasan ini, sehingga akhirnya kita sendiri akan berbangga-bangga dengan anak-anak kita dengan anggapan barangkali kita sudah punyai pewaris dan bahawa Allah SWT meredhai kita kerana telah diberikan anak yang banyak kepada kita.  Dikhuatiri akhirnya , kita menganggap lebih tinggi dan lebih mulia daripada keluarga-keluarga yang sedikit atau belum mempunyai anak.

Kemudian turunlah ayat-ayat Allah SWT membantah anggapan bahawa pemikiran ini adalah suatu hasil kekeliruan pemikiran sebagaimana berlakunya pemikiran arab jahiliyah,  Allah menolak kebanggaan menurut jahiliyah mereka, serta menegaskan kepada orang-orang beriman bahawa banyaknya anak ini sama sekali tidak akan berguna bagi mereka dan juga tidak akan memberikan keuntungan sedikit pun di sisi Allah.  Terjemahan Firman Allah SWT:

Ketahuilah bahawa (yang dikatakan) kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah (bawaan hidup yang berupa semata-mata) permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta perhiasan (yang mengurang), juga (bawaan hidup yang bertujuan) bermegah-megah di antara kamu (dengan kelebihan, kekuatan dan bangsa keturunan) serta berlumba-lumba membanyakkan harta benda dan anak-pinak; (semuanya itu terhad waktunya) samalah seperti hujan yang (menumbuhkan tanaman yang menghijau subur) menjadikan penanamnya suka dan tertarik hati kepada kesuburannya, kemudian tanaman itu bergerak segar (ke suatu masa yang tertentu), selepas itu engkau melihatnya berupa kuning; Akhirnya ia menjadi hancur bersepai dan (hendaklah diketahui lagi, bahawa) di akhirat ada azab yang berat (di sediakan bagi golongan yang hanya mengutamakan kehidupan dunia itu) dan (ada pula) keampunan besar serta keredaan dari Allah (disediakan bagi orang-orang yang mengutamakan akhirat) dan (ingatlah, bahawa) kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.

[Al-Hadid, 57:20]

Sesungguhnya orang-orang yang kafir, harta-harta mereka dan anak-anak mereka tidak sekali-kali dapat menyelamatkan mereka dari (azab) Allah sedikitpun, dan mereka itu ialah ahli neraka; mereka kekal di dalamnya.

[Ali Imran, 3:116]

Oleh itu, janganlah engkau tertarik hati kepada harta benda dan anak-anak mereka, (kerana) sesungguhnya Allah hanya hendak menyeksa mereka dengan harta benda dan anak-anak itu dalam kehidupan dunia dan hendak menjadikan nyawa mereka tercabut sedang mereka berkeadaan kafir (untuk mendapat azab akhirat pula).

[At-Taubah, 9:55]

(Nasib kamu wahai orang-orang munafik) adalah sama dengan nasib orang-orang sebelum kamu (yang telah dibinasakan) , mereka lebih kuat serta lebih banyak harta benda dan anak-pinak daripada kamu; seterusnya mereka telah bersenang-senang dengan bahagian mereka; maka kamu pula telah bersenang-senang dengan bahagian kamu sebagaimana orang-orang yang sebelum kamu itu bersenang-senang dengan bahagiannya dan kamu pula telah memperkatakan (perkara yang salah dan dusta) sebagaimana mereka memperkatakannya. Mereka yang demikian, rosak binasalah amal-amalnya (yang baik) di dunia dan di akhirat dan merekalah orang-orang yang rugi.

[At-Taubah, 9:69]

Adakah mereka menyangka bahawa apa yang Kami berikan kepada mereka dari harta benda dan anak-pinak itu.  (Bermakna bahawa dengan yang demikian) Kami menyegerakan untuk mereka pemberian kebaikan? (Tidak!) Bahkan mereka tidak menyedari (hakikatnya yang sebenar).

[Al-Mukminun, 23:55-56]

Dan mereka berkata lagi: Kami lebih banyak harta benda dan anak-pinak dan kami pula tidak akan diseksa.  Katakanlah (wahai Muhammad): Sesungguhnya Tuhanku memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya dan Dia juga yang menyempitkan (bagi sesiapa yang dikehendakiNya) ; akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui (hakikat itu).  Dan bukanlah harta benda kamu dan tidak juga anak-pinak kamu yang mendampingkan kamu di sisi Kami walau sedikitpun, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, maka mereka itu akan beroleh balasan yang berlipat ganda disebabkan apa yang mereka telah kerjakan dan mereka pula ditempatkan dalam mahligai-mahligai (di Syurga) dengan aman sentosa.

[Saba’, 34:35-37]

Amat banyak ayat-ayat al-Qur’an yang mengingatkan kita akan fitnah anak ini agar jangan sampai kecintaan kepada mereka itu sampai pada batas melalaikan kita dari perintah-perintah Allah, dan jangan sampai anak-anak ini justeru menjadi penyebab datangnya kemurkaan dan kutukan dari Allah SWT.  Oleh kerana itu ayat-ayat al-Qur’an menegaskan:

Dan ketahuilah bahawa harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian dan sesungguhnya di sisi Allah jualah pahala yang besar.

[Al-Anfal, 8:28]

Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya ada di antara isteri-isteri kamu dan anak-anak kamu yang menjadi musuh bagi kamu; oleh itu awaslah serta berjaga-jagalah kamu terhadap mereka dan kalau kamu memaafkan dan tidak marahkan (mereka) serta mengampunkan kesalahan mereka (maka Allah akan berbuat demikian kepada kamu), kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

[At-Taghabun, 64: 14-15]

Wahai sekalian manusia, bertakwalah kepada Tuhan kamu dan takutilah akan hari (akhirat) yang padanya seseorang ibu atau bapa tidak dapat melepaskan anaknya dari azab dosanya dan seorang anak pula tidak dapat melepaskan ibu atau bapanya dari azab dosa masing-masing sedikit pun. Sesungguhnya janji Allah itu adalah benar, maka janganlah kamu diperdayakan oleh kehidupan dunia dan jangan pula kamu diperdayakan oleh bisikan dan ajakan Syaitan yang menyebabkan kamu berani melanggar perintah Allah.

[Luqman, 31:33]

Manakala berkenaan ancamanNya adalah dalam bentuk sebagai berikut iaitu Terjemahan Firman Allah SWT:

Katakanlah (wahai Muhammad): Jika bapa-bapa kamu dan anak-anak kamu dan saudara-saudara kamu dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu dan kaum keluarga kamu dan harta benda yang kamu usahakan dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk agamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka).

[At-Taubah, 9:24]

Akan tetapi, bagaimana pula sekiranya diri kita sebagai ibubapa telah benar-benar faham peranan ketua keluarga, jika ternyata si anak yang menempuh jalan lain yang jauh dari jalan perjuangan Islam serta mengikuti jalannya golongan penentang Agama Allah? – nauzu billah – Tidak akan ada jalan lain kecuali harus memutuskan hubungan, baik secara fizikal, perasaan mahupun kejiwaan.  Allah SWT berfirman, bermaksud:

Engkau tidak akan dapati sesuatu kaum yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, tergamak berkasih-mesra dengan orang-orang yang menentang (perintah) Allah dan RasulNya, sekalipun orang-orang yang menentang itu ialah bapa-bapa mereka, atau anak-anak mereka atau saudara-saudara mereka ataupun keluarga mereka. Mereka (yang setia) itu, Allah telah menetapkan iman dalam hati mereka dan telah menguatkan mereka dengan semangat pertolongan daripadaNya dan Dia akan memasukkan mereka ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka tetap kekal di dalamnya. Allah reda akan mereka dan mereka reda (serta bersyukur) akan nikmat pemberianNya. Merekalah penyokong-penyokong (agama) Allah. Ketahuilah! Sesungguhnya penyokong-penyokong (agama) Allah itu ialah orang-orang yang berjaya.

[Al-Mujaadilah, 58:22]

Di antara perkara yang dapat menghapuskan fitnah anak tersebut adalah dengan melaksanakan puasa, solat dan beramar makruf nahi mungkar.  Syaikhani (Bukhari dan Muslim)  serta Tirmidzi meriwayatkan dari Abu Huzaifah dalam sebuah hadith yang panjang bahawa RasululLah SAW bersabda, bermaksud:

“…fitnah seseorang mengenai keluarga, harta, anak, diri dan tetangganya dapat dihapus oleh puasa, solat, sedekah dan amar makruf nahi mungkar.”

Semoga Allah Azza Wa Jalla memberikan anak soleh kepada kita yang akan membantu kita dalam mentaati Allah, mengingatkan kita tatkala lupa serta memberikan nasihat kepada kita tatkala kita jauh dari agama, mengajak kita ke masjid tatkala kita selesa solat di rumah.

[Olahan dari Muhammad Nur Abdullah Hafiz Suaid,(2006) “Didik anak cara RasululLah SAW”. Klang Book Center]

Diakhiri tulisan ini dengan persoalan, Bagaimanakah mendidik (mentarbiyah) anak-anak dalam kehidupan keluarga / rumahtangga dan bermasyarakat?  Insha-Allah jawapannya akan dikongsi bersama dari “Cinta di Rumah Hasan Al-Banna”

Ditulis oleh : Khairul Zamil – Rujuk Blog AnakkuSoleh.wordpress.com oleh Saudara Amin Che Hassan

Related posts

*

*


six × = 48

 

Top
This site is protected by WP-CopyRightPro
Read more:
Oxford First Dictionary

Oxford First Dictionary merupakan kamus Bahasa Inggeris pertama untuk anak-anak yang berumur 5 tahun ke atas. Mengandungi dengan lebih 250 ilustrasi berwarna, ia amatsesuai untuk...

Close