Gerhana Matahari 2009

Seperti yang dimaklumkan, bahawa fenomena Gerhana Matahari berlaku pada tahun ini ialah pada 26 hb Jan 2009 yang lalu dan juga pada hari ini 22 hb Julai, 2009.

gerhana animasi

Fenomena gerhana yang pertama berlaku pada 26 hb Januari lepas menyaksikan fenomena Gerhana Matahari Annular atau Gerhana Matahari Cincin. Pada ketika berlakunya ijtimak di antara Bulan dan Matahari, Bulan akan bergerak betul-betul di hadapan Matahari, lalu mengakibatkan cahaya matahari dihalang daripada sampai ke sesebuah kawasan di Bumi.

Di dalam kes pada 26 hb Januari lepas, ia dipanggil Gerhana Matahari Cincin kerana pada ketika itu, saiz bulatan Bulan kelihatan kecil sedikit berbanding saiz bulatan Matahari. Pada waktu puncak gerhana, Bulan akan berada di tengah-tengah, manakala saki baki bulatan matahari akan kelihatan di sekeliling Bulan membentuk seolah-olah sebuah cincin.

Gerhana Cincin

Di Malaysia, kita hanya berpeluang menyaksikan gerhana matahari separa sahaja, iaitu hanya sebahagian matahari sahaja yang akan terlindung oleh Bulan.

(Foto di sebelah merupakan contoh Fenomena Gerhana Matahari Annular atau Cincin)

Sekali lagi rakyat Malaysia berpeluang menyaksikan Gerhana Matahari Separa yang dijangka akan berlaku pada awal pagi 22 Julai 2009 nanti.

Berdasarkan kiraan Skymap Pro 8, di Kuala L

umpur, waktu kemunculan gerhana matahari adalah seperti berikut:

Waktu sentuhan pertama : 8:29 AM

Waktu Puncak Gerhana: 9:07 AM

Waktu Tamat Gerhana : 9:48 AM

Hanya 17% matahari sahaja akan dilindungi Bulan kali ini (Fenomena Gerhana Separa – lihat gambar di bawah) Namun begitu ia tetap sebuah fenomena yang cukup menarik untuk dicerap.

gerhana separa

Sementara itu, beberapa kumpulan dari Malaysia, NETT, Falak Online, Persatuan Falak Syarie Malaysia, USM dan lain-lain, akan berada di Tanah Besar China, untuk menyaksikan Gerhana Penuh Matahari. Oleh itu tunggulah laporan daripada mereka apabila pulang kelak. Mudah-mudahan Allah permudahkan perjalanan mereka dan dilindungi dari segala kemudaratan kesihatan.

Apa yang perlu anda buat ketika gerhana matahari?

Sebagai umat Islam, apabila berlaku gerhana matahari atau bulan, anda disunatkan untuk mengerjakan Solat Gerhana.

Jumhur Ulama menetapkan bahawa Solat 2 Gerhana (Matahari dan Bulan) dilakukan 2 rakaat dengan setiap rakat mempunyai 2 rukuk , 2 kali bacaan al-fatihah dan 2 kali bacaan surah. Ini jelas diterangkan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Saidatina A’isyah r.ha seperti yang bermaksud:

Matahari telah gerhana pada masa Rasulullah s.a.w lalu baginda berdiri melakukan sembahyang dan berdiri dalam waktu yang panjang. Kemudian baginda rukuk dan memanjangkan rukuk itu. Selepas itu baginda mengangkat kepala lalu berdiri pula dalam waktu yang lama tetapi tidaklah lama sebagaimana berdiri yang pertama tadi. Kemudian baginda rukuk pula sekali lagi dalam masa yang panjang, tetapi tidaklah sepanjang rukuk yang pertama. Setelah itu baginda sujud. Kemudian baginda bangkit dan berdiri pula dalam waktu yang lama tetapi tidaklah selama yang pertama tadi. Kemudian baginda rukuk cukup lama tetapi kurang dari yang pertama tadi. Seterusnya baginda mengangkat kepala lalu berdiri lama tetapi kurang tempohnya dari berdiri yang pertama. Kemudian rukuk pula cukup lama tetapi tidaklah selama yang pertama tadi. Setelah itu baginda sujud dan selepas selesai sembahyang baginda pun beredar dan matahari mulai kelihatan. Baginda mula berkhutbah di hadapan kaum Muslimin. Baginda memuji-muji Allah dan menyanjungNya. Kemudiannya baginda bersabda: Sesungguhnya matahari dan bulan itu termasuk tanda-tanda kebesaran Allah. Kedua-duanya tidak menjadi gerhana disebabkan hidup atau matinya seseorang. Oleh itu seandainya kamu melihat kedua-duanya gerhana, maka bertakbir dan berdoalah kepada Allah, dirikanlah sembahyang dan bersedekahlah wahai umat Muhammad! Tidak seorang pun yang paling prihatin selain daripada Allah apabila hambanya samada lelaki ataupun perempuan melakukan zina. Wahai umat Muhammad! Demi Allah seandainya kamu tahu apa yang telah aku ketahui, tentu kamu lebih banyak menangis dan kurang ketawa. lngatlah, bukankah aku telah menyampaikan?.

Nombor Hadith Dalam Sahih Muslim : 1499

Dalam hadis di atas diceritakan bagaimana cara dan kaedah solat 2 Gerhana sebagaimana yang dilakukan leh baginda Rasulullah saw. Ringkasnya adalah seperti berikut :

  1. Takbir
  2. Membaca Al-Fatihah
  3. Membaca Surah yang panjang
  4. Rukuk dengan lama , tetapi tidak selama / panjang seperti bacaan surah yang pertama.
  5. Bangun daripada rukuk dengan menyebut “Sami Allahu liman hamidah,  Rabbana Lakal Hamd”
  6. Membaca Al-Fatihah dan surah , tetapi lebih pendek sedikit daripada bacaan surah yang pertama tadi.
  7. Rukuk dan I’tidal
  8. Sujud dan duduk antara dua sujud.
  9. Sujud dan bangun untuk ke rakaat yang kedua.
  10. Lakukan perkara yang sama seperti rakaat pertama dengan 2 kali bacaan Al-Fatihah , 2 kali bacaan surah serta 2 kali rukuk.
  11. Lakukan seperti solat biasa hingga selesai.

Sebelum bersurai , jika sembahyang berjemaah, disunnahkan juga untuk memberikan khutbah pendek bagi menceritakan kekuasaan dan keagungan Allah swt dengan mengambil kira bahawa 2 gerhana itu adalah merupakan salah satu tanda-tanda kekuasaan-Nya.

Apa yang penting ialah Qiyam dan rukuk yang kedua pada setiap rakaat solat tersebut mestilah lebih pendek / sekejap daripada Qiyam dan rukuk yang pertama.

Sila Rujuk http://www.islam.gov.my/portal/pdf/2009/gerhana/Gerhana%20Matahari.pdf dan http://www.falak-online.net/download/InfoRisalahPSE2009BM.pdf untuk maklumat waktu dan tempat berlaku kejadian gerhana matahari ini dan kaedah untuk melihat gerhana matahari. Anda juga boleh merujuk cara sembahyang solat Gerhana pada halaman wikiMalaysia seperti tertera di bawah:

http://ms.wikipedia.org/wiki/Solat_sunat_gerhana

Wallahu A’lam.

Lain2 Artikel Menarik:

2 thoughts on “Gerhana Matahari 2009

  • 22/07/2009 at 8:25 pm
    Permalink

    Assalamualaikum..mohon kebenaran untuk meletakkan artikel ini dalam blog saya..saya akan letakkan kredit kepada panduanpercuma.info di bawah artikel itu nanti

    Reply
    • 23/07/2009 at 6:29 pm
      Permalink

      Waalaikumussalam, maaf lambat balas sebab agak sibuk ari ni.., boleh2, mari kita perbanyakkan laman web berbahasa melayu.
      Saya juga mengalu-alukan sebarang pendapat dan jika anda mahu menulis artikel di sini, boleh kontek saya di admin. t. kasih kerana link di web anda.
      Laman ni baru 3-5 ari online. Tak sempat nak submit submit ke Search enjin lagi…

      Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


*