Tokoh Islam – As-Syahid Hassan Al-Banna

Hari Rabu yang lalu 12 Feb 1997 merupakan tarikh syahidnya Imam al Banna yang cemerlang kehidupannya yang “pendek tetapi panjang” (1906 – 1949) rahimahullahutaala dengan asasnya yang kuat semenjak kecil, pembentukkannya yang tinggi, pembinaannya yang bertambah kemuncak dari hari kehari bahkan detik demi detik. Pembinaan dakwah berlaku melalui tangannya, sebagai satu gambaran daripada aktivitinya yang tertegak di atas kefahaman yang luas dan mendalam, yang disandarkan kepada keikhlasan yang mendalam, ketepatan yang unggul dalam usaha untuk merealisasikan amalan yang tersusun (berorganisasi) dan lantas melaksanakannya. Justeru itu maka telah terkumpullah untuk dakwah ini rukun-rukun kejayaan yang terpenting dan terlaksanalah baginya ufuk-ufuk penyebaran perkembangan, dan kaedah-kaedah tajdid (reformasi), bahkan ianya satu ijtihad yang jitu.

Di antara tanda-tanda yang paling nyata yang telah dibentangkan dengan jayanya dalam kehidupan al Imam al Mujaddid ini adalah seperti berikut:

1. Gerakan Yang Meluas Lagi Cemerlang
Al Imam telah menyempurnakan gerakannya ke bandar-bandar, ke pelusuk kampung, ladang, masjid, bahkan ke kedai-kedai kopi serta di tempat perkumpulan orang ramai. Dan maklumat hal ehwal keadaannya memanifestasikan sabda Rasulullah saw “biarkan aku dengan manusia”. Maka beliau telah menziarahi 3,000 kampung ataupun lebih sebagai penceramah, jurubicara dan penasihat yang cemerlang. Membangkitkan manusia drp. tidur mereka, memperbaharui harapan di dalam diri dan pemimpin mereka. Beliau berhubung dengan pemimpin tanpa mengabaikan golongan bawahan. Beliau juga menyeru syeikh dan para ulama ke arah asas kefahaman yang baru kepada Islam yang ditegakkan di atas prinsip-prinsip yang jelas.

Beliau tidak mencuaikan masyarakat umum, begitu juga beliau memberikan tumpuan kepada pemuda/remaja bahkan berusaha menyelesaikan permasalahan-permasalahan yang sukar dengan berperingkat-peringkat serta penguasaan. Adapun tumpuannya yang setempat adalah Mesir dan tumpuannya yang secara lebih luasnya adalah kepada dunia Arab dan Islam. Manakala tumpuannya yang universal dan terbesar adalah kemanusiaan dan Ustaziatul `alam (orde dunia), sehinggalah semuanya dineutralkan lalu menjadi suatu tumpuan sahaja tetapi mengandungi berbagai-bagai aspek.

2. Tidur Yang Sedikit.
Adapun waktu menurut beliau adalah kehidupan dan waktu pada fahamannya tidak terhenti kepada batas-batas material iaitu emas semata-mata. Beliau juga tidak bersikap birokratik dari segi kedudukan pangkat dan jawatan, bahkan ia tidak mensia-siakan walau satu detik kehidupannya pada perbualan kosong dan terlalu banyak soal jawab terutamanya pada perkara yang tidak mempunyai apa-apa kelebihan. Beliau begitu asyik dengan dakwahnya sehingga beliau tidak tidur malam kerana cintakannya, berfikir untuknya, membuat perancangan baginya, memperkembangkan matlamat dan metodologinya.

Kerana itu terbitlah risalah-risalahnya seperti: Da’watuna, ila ayyi syaiin nad`un nas, dakwatuna fi turin jadid, Ilas syabab dsbnya. Untuk memperkuatkan lagi perkembangan dan titik tolak (perjuangan fikrah dakwahnya). Beliau tidak berhenti disebabkan kesesatan serta tidak disibukkan dengan urusan titik bengik. Beliau juga tidak terbeban dengan kerehatan jasad seperti tidur dan bersantai, kerana da’wah pada hematnya adalah ruh yang mengalir di dalam ummat yang dihidupkan oleh al Quran.

3. Luas Ilmu Serta Menghormatinya (ilmu)
Imam al Banna berusaha untuk mengembalikan penyebaran Islam dengan seluruh sifat-sifat syumul (kesempurnaan), rabbani (bersumber dengan sumber-sumber ketuhanan) dan universal. Pernah diceritakan oleh orang yang memeriksa perpustakaan beliau setelah puluhan tahun shahidnya beliau, tentang betapa banyak, menakjubkan serta mendalam komentar-komentar yang beliau tulis di pinggir-pinggir perpustakaan tersebut dari apa yang telah dibaca dari buku-buku mengenai politik, ekonomi, sosial, sejarah, geografi, peperangan, perjanjian-perjanjian, hubungan antarabangsa, ugama-ugama da’wah dan sebagainya. Beliau begitu cintakan ilmu dan para ulama’.

Suasana kemunduran didalam ummat telah merisaukan beliau, begitu juga pelbagai tohmahan yang dilemparkan kepada Islam yang menunjukkan kepada kejahilan dan sikap tidak ambiltahu. Kerana itu beliau telah menekankan di dalam Risalah Ta’alim: “Islam membebaskan aqal serta menggalakkan pengkajian alam semesta, juga meninggikan taraf ilmu dan ulama’. Ia juga mengalu-alukan segala yang baik lagi bermanfaat dari setiap sesuatu. ”Hikmah adalah barang yang hilang dari orang mu’min, dimana sahaja dia menjumpainya, dialah yang lebih berhak terhadapnya.”

4. Keikhlasan dan Kecintaan Terhadap Da’wah
Al Banna mempunyai kelebihan dengan kerohaniannya yang tinggi yang mengatasi individualiti, ciri-ciri peribadi, parti-parti, puak-puak, bahkan seluruh penyakit-penyakit hati yang lain. Tidak terkumpul di dalam hatinya melainkan rasa cinta kepada da’wah, suatu cinta yang tidak meninggalkan sebarang waktu di dalam jiwa melainkan akan sibuk dengannya, tidak juga suatu ruang kosong melainkan akan dipenuhinya. Beliau disibukkan oleh fikrah dan da’wah didalam berlalunya waktu, maka beliau berusaha kearah mematangkannya (fikrah dan da’wah) dengan meletakkan serta memperbaharui objektif dan matlamat. Kemudian beliau menggariskan wasilah (method) dan alat (strategi). Lalu beliau melintasi batas-batas taqlid, tapi menghormati ikutan tersebut. Sebagaimana beliau juga berusaha menyinambungkan proses tajdid disamping menghormati ufuk-ufuk linkungan dan martabat ketinggian.

Beliau meningkat dengan banyak di dalam hidupnya, kerana beliau memahami hakikat bahawa “sesiapa yang sama dua hari (dalam hidupnya) maka dia telah tertipu”. Beliau mengambil berat terhadap ummat seluruhnya dengan sebenar-benarnya, sehingga tanahair islam pada hemat beliau dan ikhwan muslimin adalah seluruh bumi yang ada padanya muslim, kerana pemahaman yang baik terhadap sabda rasulullah s.a.w.: “Sesiapa yang tidak mengambilberat terhadap urusan orang islam bukanlah dari golongan mereka.”

5. Memberikan sifat dan neraca sukatan
Al-Imam alBanna telah meletakkan sejumlah neraca sukatan untuk mengukur kadar iltizam, kefahaman, akhlaq yang baik, serta perlaksanaan beban da’wah. Di antara neraca dan kayu ukur yang terpenting adalah rukun-rukun bai’ah yang sepuluh: Faham, ikhlas, amal, jihad, tadhiyah (pengorbanan), taat, thabat (teguh), tajarrud (tumpuan penuh), ukhuwwah dan thiqah (kepercayaan). Begitu juga : “Wajibat al akh al muslim” (Kewajiban akh muslim) iaitu 38 kewajiban. Begitu juga “Simat al akh al muslim” (Tanda-tanda akh muslim) iaitu: sejahtera aqidah, sahih (betul) ibadah, teguh akhlaq, kuat badan, akal yang berpengetahuan, berjihad terhadap hawanafsunya, berorganisasi dalam urusannya, menjaga waktu, mampu menyara diri, serta bermanfaat kepada orang lain.

Sesungguhnya kami, dalam bicara yang cepat (ringkas) ini, tidaklah mencatitkan sejarah untuk lelaki ini (alBanna). Sehingga hari ini belum ada sebarang catatan sejarah yang layak untuk Imam mujaddid ini. Kami juga tidak berniat memuji-muji alImam yang unggul ini, bahkan kami tidak merasakan beliau perlu kepada pujian dari kami, tetapi kami ingin untuk menggambarkan beberapa pengajaran dari gambaran peribadi penda’wah yang unggul ini untuk sesiapa yang ingin mengambil pengajaran darinya, pada waktu yang bersangatan kegelapan kemunduran, penindasan serta berceraiberai yang dilalui oleh ummat. Sesungguhnya AlImam al Banna rahimahullah- berada setapak kedepan didalam memahami golongan salaf, dan dia adalah model imam golongan khalaf. Beliau membangkitkan alam Islami dari tidurnya tanpa mempunyai sebarang mekanisma pemerintah dan menteri-menteri di dalam tangannya. Sehinggalah hari ini berkumandanglah suara Islam yang benar melaungkan disegenap tempat: “Islam Adalah Agama dan Negara”, selepas dari keadaan di mana Ibadah di sudutkan di penjuru-penjuru masjid sahaja, ataupun aqidah yang di simpan disudut-sudut hati, dan perasaan di dalam jiwa semata-mata.

Betapa indahnya tulisan beliau semasa memberi amaran tentang pemberian tanggungjawab yang tidak disertakan dengan aspek ruhi, (Beliau begitu menekankan setiap tarbiah hendaklah rabbani dan ruhi) beliau juga menyeru untuk meningkatkan ukhuwwah dari tahap percakapan dan teori kepada tahap perlakuan dan amal perbuatan, dan di dalam pembentukan usrah-usrah Islamiah disandarkan kepada tiga rukun : Taaruf (saling kenal mengenali), Tafahum (saling faham memahami) dan Takamul (saling lengkap melengkapi).

6. Bersyukur Semasa Menghadapi Tribulasi Dan Positif Dalam Amal
Ustaz alBanna menceritakan dalam “Muzakkirot adda’wah wad da’iah” beberapa contoh tipudaya yang hina yang telah dilaluinya semasa zaman pembelajarannya dengan sebab kecemerlangan beliau mengatasi rakan pelajar yang setengahnya lebih berusia dari beliau. Sehinggakan salah seorang dari mereka telah mencurahkan keatas muka dan tengkok beliau sebotol campuran peluntur (asid) yang pekat semasa beliau tidur untuk menghalang beliau dari menduduki peperiksaan akhir tahun pengajian, tetapi anihnya, alBanna telah berjaya dalam peperiksaan tersebut. Beliau menganggap itu sebagai ni’mat serta kelebihan dari Allah yang wajib diterima dengan kesyukuran dan kesyukuran pada hemat beliau adalah memberikan kemaafan. “Dan barangsiapa yang memberi kemaafan dan berlapang dada, maka ganjarannya pada Allah”.

Beliau juga telah membentangkan banyak contoh tipudaya yang hina ini di dalam kehidupannya sebagai penda’wah, juga dorongan kekerasan dari golongan yang mengintip da’wah serta membencinya. Mereka telah melemparkan tohmahan bahawa beliau mengadakan bid’ah di dalam agama, mengendalakan masjid-masjid, memerangi Islam, serta memberikan fatwa dengan batil semasa beliau berusaha untuk melaksanakan sunnah dengan menunaikan solat sunat hariraya di tanah lapang. Begitu juga mereka melemparkan tuduhan-tuduhan terhadap beliau dan al Ikhwan selepas daripada ceramah yang beliau sampaikan tentang Isra’ dan mi’raj dengan menda’wa bahwa ikhwan muslimin menginkari isra’ dan mi’raj serta mengatakan bahwa peristiwa tersebut bukanlah mu’jizat, serta berlaku dengan ruh sahaja tidak dengan badan, lalu mereka telah keluar dari ijma’ umat Islam serta apa yang telah diterima oleh para imam.

Bahkan ada juga yang menuduh bahwa alBanna menjadi “ilah” yang di sembah oleh al ikhwan. Akan tetapi, pendirian al Banna dalam menghadapi tohmahan-tohmahan tersebut adalah dengan memberikan contoh tauladan melalui amalan secara serius menentang kebatilan–kebatilan tersebut. Beliau berkata: “Sibukkan manusia daripada pemikiran yang salah dengan (memberikan atau mengajar) pemikiran yang benar”.

Lain2 Artikel Menarik:

tokjogho

Mengapa Tok Jogho? Sebenarnya, Tok Jogho merupakan ketua dalam satu-satu persembahan Dikir Barat yang amat popular di Kelantan. Penggunaan nama Tok Jogho sebagai pentadbir laman web PanduanPercuma.info adalah berdasarkan fakta yang mana dalam setiap persembahan Dikir Barat, Tok Jogho merupakan nadi kepada keseluruhan persembahan di mana beliau perlu bijak mengatur kata-kata dan menyusun ayat agar persembahannya terserlah dan menarik, lain daripada yang lain. Itulah matlamat PanduanPercuma.info - ingin menjadi sebuah laman web berbahasa Melayu yang unik, penuh dengan maklumat dan informasi kepada semua.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


*