Pendapat Ulamak Tentang Sambutan Maulidur Rasul

Assalamualaikum semua. Artikel ni sebenarnya dimuatkan di sini memandangkan esok kita akan menyambut Maulidurasul. Sudah banyak artikel saya baca berkaitan dengan perbahasan tentang kewajaran menyambut tarikh kelahiran Nabi Muhammad s.a.w. Ada yang menyatakan boleh, dan ada juga mengata sebaliknya. Namun di sini saya paparkan tulisan pendapat para ulamak tentang sambutan Maulidurasul ini.

Pandangan ini saya petik drp satu laman web. Rujuk pautan di bahagian akhir artikel.Terdapat perbezaan pendapat di kalangan ulama tentang hukum menyambut maulid Nabi:

Al-Hafiz Ibnu Hajar, Ibnu al-Haj, Ibnu Katsir, Ibnu Abaad, Ibnu Marzuq, al-Subki, Abu Syamah (guru Imam Nawawi), Ibnu Duhayyah, al-Suyuthi, al-Sakhawi dan beberapa ulama lain lagi membolehkan sambutan hari kelahiran Nabi dengan syarat sambutan tersebut bersih dari segala aktiviti kemungkaran.

Manakala Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah, al-Syatibi, al-Abdari dan beberapa ulama lain mengharamkan sambutan maulid ini. Al-Hafiz Ibnu Hajar, Ibnu al-Haj dan al-Sakhawi setuju bahawa sambutan maulid al-Rasul adalah bid’ah kerana tidak pernah dilakukan pada zaman Rasulullah, tidak pula pada zaman sahabat dan generasi sesudah mereka. Namun begitu, mereka menilai bahawa sambutan maulid Nabi ini sebagai bid’ah hasanah (bid’ah yang baik), dan akan menjadi bid’ah dhalalah (bid’ah yang sesat) jika mengandungi kemungkaran.

Sebahagian besar ulama memandang bahawa sambutan maulid al-Rasul adalah bid’ah muharramah (bid’ah yang haram). Mereka juga berpendapat bahawa segala perbelanjaan harta (infaq) untuk sambutan maulid adalah haram. Yang paling masyhur di antara para ulama yang menyatakan hal ini merupakan bid’ah dhalalah adalah Tajudin Umar bin Ali al-Lakhami al-Sakandari al-Maliki yang terkenal dengan panggilan al-Fakihani. Beliau mengarang kitab berjudul al-Maurid fi al-Kalami ala Amali al-Maulid yang memuat jawapan dari pelbagai pertanyaan oleh masyarakat.

Di dalam kitab tersebut, terdapat soalan tentang maulid berbunyi; “apakah ada dasarnya menurut syara’ ataukah hal itu merupakan bid’ah dalam agama?”. Maka Tajudin menjawab, “Saya tidak mengetahui adanya dasar syar’i untuk sambutan maulid baik dalam Al-Kitab mahupun Sunnah, begitu pula tidak ada satu riwayat pun dari salah seorang ulama umat yang menjadi teladan dalam urusan agama, yang berpegang teguh pada atsar (peninggalan khazanah) orang-orang terdahulu yang mendukung, bahkan hal itu (sambutan maulid) merupakan bid’ah. Bukan termasuk kewajipan yang sesuai dengan ijmak, tidak pula sunnah kerana hakikat dari sunnah (mandub) adalah tuntutan syara’ tanpa adanya celaan bagi yang meninggalkannya. Mereka yang mengadakan maulid tidak mendapat izin dari syara’ untuk menyambutnya. Para sahabat tidak pernah melakukannya, begitu pula para tabi’in tidak melakukannya. Para ulama pun tidak melakukannya. Begitulah sesuai yang saya ketahui…” [lihat Al-Hawiy li al-Fatawi, Imam Suyuthi, juz 1 hlm 190].

Imam Suyuthi sendiri mengarang makalah tentang maulid dengan judul Husnu al-Qasdi fi Amali al-Maulid, di mana di dalamnya beliau menjawab hukum maulid di mana beliau cenderung kepada membolehkannya. Imam Suyuthi menilai berkumpulnya manusia untuk membaca Al-Quran dan pelbagai riwayat atau khabar (hadis) Rasulullah, kemudian ada jamuan makan di dalamnya sebagi bid’ah hasanah, sebab di dalamnya terdapat pengagungan terhadap kedudukan Rasulullah dan menampakkan kegembiraan akan kelahiran baginda. Beliau mengupas pendapat al-Fakihani dan membantahnya.

Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah yang hidup hingga awal abad ketujuh hijriyah (meninggal tahun 728H) pula berpendapat,

“Apa yang diada-adakan oleh sebahagian orang dalam aktiviti maulid, kadang-kadang menyerupai Nasara dalam menyambut kelahiran Nabi Isa as, dan kadang-kadang sebagai ungkapan kecintaan dan pengagungan kepada Nabi, bukan untuk bid’ah seperti menjadikan hari kelahiran baginda sebagai hari raya Nabi (maulid), meskipun tanggal kelahiran baginda masih diperselisihkan oleh ulama. Namun sesungguhnya sambutan maulid itu tidak pernah dilakukan oleh orang-orang terdahulu dari generasi salaf (sahabat, tabi’in dan tabi’i tabi’in) padahal merekalah yang lebih berhak melakukannya jika itu diperlukan, dan tidak ada suatu apa pun yang dapat mencegah mereka melakukannya. Andaikata itu merupakan satu kebaikan yang pasti atau kuat dugaan kebenarannya, nescaya generasi salaflah yang paling berhak dari kita untuk melakukannya, kerana mereka termasuk orang-orang yang paling kuat kecintaannya dan pengagungannya kepada Nabi dan dari segi mengerjakan kebaikan, mereka lebih memerhatikan hal ini dari generasi-generasi Islam lainnya. Kesempurnaan dan kecintaan kaum Muslimin dan pengagungan mereka kepada Nabi seharusnya nampak dalam peneladanan, ketaatan dan pelaksanaan perintah Rasul. Termasuk dalam hal ini adalah menghidupkan sunnah Nabi baik secara batin (dalam diri) mahupun zahir (dalam realiti kehidupan), menyebarkan risalahnya serta berjihad dalam penyebaran risalah itu dengan hati, tangan dan lisan. Itulah cara orang-orang terdahulu…” [Iqtidhau al-Sirathil Mustaqim Mukhalafatu As-habi al-Jahim, hlm 294-297].

Sesungguhnya dalam apa jua perkara yang diperselisihkan oleh umat Islam, maka wajiblah dikembalikan kepada Allah dan Rasul. Firman Allah,

“…jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al-Quran) dan Rasul (Al-Sunah) jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan Hari Akhir…” [TMQ al-Nisa’ (4):59].

Tentang suatu apa pun yang kamu berselisih, maka hukumnya (terserah) kepada Allah” [TMQ al-Syura (42):10].

Atas dasar ini, maka marilah kita mengembalikan perkara ini (sambutan maulid al-Rasul) kepada Kitabullah dan Sunah RasulNya. Di dalam KitabNya, Allah mengingatkan kita bahawa,

“Dan apa sahaja yang dibawa (diperintahkan) oleh Rasul kepadamu, maka ambillah (laksanakanlah) ia, dan apa sahaja yang dilarangnya, maka tinggalkanlah ia” [TMQ al-Hasyr (59):7].

Allah juga berfirman, “Dan hendaklah orang-orang menyalahi perintah Rasul takut akan ditimpa fitnah atau ditimpa azab yang pedih” [TMQ al-Nur (24):63].

Sambutan maulid al-Rasul ini pastinya bukan perkara yang didatangkan oleh Rasulullah kerana tidak ada seorang pun yang meriwayatkan bahawa Rasulullah pernah menyatakan atau melakukan atau memerintahkan atau menunjukkan persetujuannya terhadap sambutan hari lahir baginda.

Dengan merujuk kepada Al-Sunnah pula, kita tidak akan menjumpai nas yang menjelaskan Rasulullah menyambut hari kelahiran baginda atau memerintahkan umatnya untuk menyambutnya. Tidak pula kita dapati ia disambut oleh para Khulafa’ Rasyidin atau sahabat-sahabat yang lain, tidak juga oleh para tabi’in mahupun tabi’ihim bi ihsan (generasi sesudahnya yang mengikut mereka dengan baik).

Dengan ini, amatlah jelas bagi mereka yang berakal bahawa sambutan maulid al-Rasul merupakan perkara yang tidak pernah dikenal pada masa awal Islam, sehingga dapat dikatakan secara pasti bahawa sambutan maulid al-Rasul ini adalah termasuk dalam perkara bid’ah. Di sini timbul satu persoalan bagi mereka yang membolehkan sambutan maulid al-Rasul ini atas niat ibadah atau taqarrub (mendekatkan diri) kepada Allah. Apakah hukumnya?

Sebenarnya hal inilah justeru yang dengan sendirinya menjadikan perkara ini sebagai bid’ah, kerana bid’ah itu bermaksud suatu perbuatan yang dilakukan seseorang dengan niat beribadah dan bertaqarrub kepada Allah tetapi tanpa didasari oleh dalil syara’. Agar ibadah dikatakan benar dan sah, maka mestilah ada nas yang membenarkannya. Ibadah adalah termasuk di dalam persoalan yang bersifat tauqifiyyah (telah ditetapkan oleh Allah dan di ambil seadanya, tanpa boleh diubah, ditambah atau dikurangi). Kita tidak boleh melakukan ibadah, kecuali dengan cara (kaifiyat) yang telah ditunjukkan oleh Rasul kepada kita sahaja. Jika seseorang beribadah kepada Allah dengan caranya sendiri (tanpa ada nas), maka dia telah mengikut hawa nafsu dan akan tergolong ke dalam ahlu al-bid’ah. Na’uzubillah min zalik. Segala jenis ibadah dan bentuk taqarrub illallah wajiblah dilakukan mengikut Rasulullah secara tauqifi (seadanya).

Jadi, sekiranya seseorang Muslim berniat ingin beribadah dan ingin bertaqarrub kepada Allah tetapi dengan cara yang tidak pernah disyariatkan oleh Allah maka hal inilah yang justeru disebut bid’ah. Adapun pandangan sesetengah ulama’ yang mengatakan bahawa ada terdapat perbuatan yang disebut bid’ah hasanah (bid’ah yang baik), maka hal ini mestilah dikembalikan kepada nas dengan cara yang benar, sesuai dengan sabda Rasulullah,

“Setiap (perbuatan) bid’ah itu sesat” [HR Abu Daud, Tirmidzi, Ahmad].

Inilah yang hak/benar (yakni) setiap bid’ah itu adalah sesat dan tidak ada pada hakikatnya yang disebut di dalamnya bid’ah yang baik. Sabda Rasulullah lagi, “Barangsiapa yang melakukan suatu perbuatan tanpa didasari perintah dari kami maka perbuatan tersebut tertolak”

[HR Bukhari & Muslim].

Di samping termasuk di dalam hal bid’ah, sambutan maulid al-Rasul ini juga boleh menjerumuskan seseorang Muslim itu kepada tasyabbuh bil kuffar (menyerupai orang-orang kafir) jika ia disambut dengan niat ke arah itu. Jika kita mengamati sambutan maulid Nabi yang dirayakan sejak dahulu lagi maka kita akan dapati sebahagian dari umat Islam melakukan hal ini sebagai sikap taqlid dan menyerupai orang-orang Nasrani yang merayakan hari Krismas bagi menyambut kelahiran Nabi Isa. Hal ini pernah terjadi ke atas kaum Muslimin di masa kemunduran berfikir melanda mereka, sehingga mereka berkata, “Nabi Muhammad lebih utama dari Nabi Isa, jadi mengapa mereka boleh memuliakan Isa dan kita tidak boleh memuliakan Nabi Muhammad?” .

Dengan analogi yang salah dan tidak berdasarkan nas ini, mereka menganggap bahawa ianya adalah baik jika diadakan. Bagi mereka yang melakukan hal ini berdasarkan analogi tersebut maka mereka telah termasuk ke dalam perbuatan yang haram kerana menyerupai orang-orang kafir. Banyak hadis sahih yang melarang tasyabbuh bil kuffar ini. Di antaranya, “Tidak termasuk golongan kita orang yang menyerupai kaum lain” dan “Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka ia termasuk salah seorang dari mereka” [HR Muslim dan Ahmad].

Rasulullah begitu menekankan perlunya kita berbeza dari golongan kafir sehingga orang-orang Yahudi pernah berkata, “Muhammad ini tidak meninggalkan sesuatu urusan kita melainkan melakukan hal-hal yang sebaliknya”.

Dengan ini, amatlah jelas bahawa sambutan maulid Nabi ini tidak termasuk bahagian dari ajaran Islam, malah merupakan satu hal yang bid’ah dan tasyabbuh bil kuffar yang mesti ditinggalkan. Bagi yang melakukannya kerana ingin memuliakan Rasulullah, maka ingin kami tegaskan di sini bahawa memuliakan Rasul itu memanglah wajib, tetapi ia hendaklah dilakukan dengan cara yang telah ditetapkan oleh syara’, bukan mengikut hawa sendiri. Sesungguhnya memuliakan Nabi itu adalah dengan mengikuti dan berpegang teguh kepada segala sunnahnya, baik itu perkataan, perbuatan ataupun taqrir (pembenaran) baginda. Memuliakan Rasul juga boleh dilakukan dengan cara membaca selawat ke atas baginda di setiap waktu, bukan hanya di hari maulid baginda. Firman Allah,

“Allah dan malaikatNya berselawat kepada Nabi (Muhammad Sallallahu alaihi wa Sallam). Wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya” [TMQ al-Ahzab (33):56].

wajarkah sambutan maulud nabi
Wajarkah Sambutan Maulud Nabi Ini Diadakan?

Kaum Muslimin di zaman Rasulullah begitu berhati-hati dalam melakukan sebarang perbuatan kerana bimbang akan melakukan bid’ah. Pernah diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim bahawa para sahabat pernah bertanya, “Wahai Rasulullah, bagaimanakah caranya untuk kami ucapkan selawat untukmu? Maka Nabi pun mengajarkan mereka caranya…” . Terdapat banyak lagi hadis yang menjelaskan keutamaan berselawat kepada Rasul di setiap waktu, namun apa yang jelas, perbuatan selawat sekalipun, haruslah mengikuti dalil-dalil syara’ yang telah ditetapkan.

Malangnya kini umat Islam terlalu berpegang kepada fatwa-fatwa yang kadangkalanya terpesong jauh dari hukum syara’ dan umat Islam terlalu banyak bertaqlid buta tanpa mengkaji sendiri dengan lebih mendalam akan dalil-dalil bagi setiap perbuatan yang ingin dilakukan mereka. Keadaan menjadi lebih parah apabila para pemerintah dan ulama yang ada membenarkan, dan lebih buruk mengarahkan perkara ini tanpa mengkaji nas-nas dengan terperinci akan kebolehannya. Islam di ambil hanya di dalam bentuk untuk memuaskan kehendak kerohanian atau untuk memenuhi gharizah tadayyun (naluri beragama) semata-mata, tanpa diambil sebagai hukum-hakam untuk menyelesaikan seluruh permasalahan manusia.

Bagi para ulama dan juga kaum Muslimin yang membolehkan sambutan maulid al-Rasul dengan alasan masih terdapat syubhat al-dalil di dalamnya, maka semoga hal tersebut dapat menjadi hujah dan alasan yang membebaskan mereka di sisi Allah nanti kerana hal itu dibolehkan/dilakukan atas dorongan kecintaan, penghormatan dan keagungan mereka kepada Rasulullah; atau dengan maksud untuk bersyukur kepada Allah di atas kurnia yang diberikanNya kepada kaum Muslimin dengan dilahirkan seorang manusia yang paling mulia di muka bumi yang mana kita telah menjadi umatnya. Namun mesti diperhatikan di sini bahawa para ulama yang membolehkan diadakannya sambutan maulid Nabi ini telah mensyaratkan bahawa ia mestilah bersih dari segala kemungkaran seperti zikir yang menyesatkan, ratapan, tangisan yang berlebih-lebih, nyanyian, iktilath (percampuran antara lelaki dan perempuan), tabarruj (bersolek dan menghiaskan diri – bagi perempuan) dan lain-lain kemungkaran lagi.

PENDAPAT TOKOH AGAMA/USTAZ TERKEMUKA DI MALAYSIA TENTANG MAULIDUR RASUL

Berikut adalah pandangan dan pendapat daripada ahli agama dan ustaz-ustaz terkemuka di Malaysia ini tentang Maulidur Rasul.

PENDAPAT USTAZ ZAHARUDDIN:
“Kesimpulannya, menurut pandangan saya, sambutan Maulidur Rasul melalui perarakan walau ia telah dilaksana turun temurun di Malaysia, ia tidaklah mampu menunaikan hak baginda Rasullullah dan Islam itu sendiri. Ia jelas, tersasar dari objektif utama perjuangan Rasulullah, apa yang sepatutnya lebih ditumpukan dan disalurkan peruntukan besar adalah program meningkat kesedaran terhadap inti perjuangan dan mesej Islam.”

PERHATIAN PENTING: Kenyataan diatas diambil dari bahagian terakhir kenyataan Ustaz Zaharuddin di laman webnya. Saya menggalakkan pembaca membaca paparan penuh di laman webnya bagi mengelakkan kekeliruan dan salah faham tentang kenyataan yang aku petik ini.. klik disini
(Saya fikir pasti ramai yang mengenali siapa beliau ,banyak muncul di tv mahupun di dada2 akhbar, kini menjadi pensyarah di sebuah IPT. Kalau salah tlng betulkan)

PENDAPAT USTAZ AZHAR IDRUS:
Harus buat sambutan seperti ini dengan syarat bukan suka2 tetapi memang kerana kasih kepada Rasulullah saw dan hendaklah mematuhi hukum syarak seperti menutup aurat dan tidak berlaku mukholatah antara lelaki dan wanita.

Yang mengarutnya ialah apabila tiba bulan maulud sibuk dgn buat majlis maulud tetapi di hari yg lain dia juga yang tak ikut perintah Rasul seperti main bola berseluar pendek, tak hadir ke surau belajar fardhu ain, bini berseluar ketat, ambil gambar model tak tutup aurat dan menyokong pemerintah yg tak mahu tegakkan Islam.

Rujukan di laman web Ustaz Azhar Idrus. Untuk paparan penuh klik disini.


PENDAPAT USTAZ NOR AMIN:

Hepotesisnya ialah tak bererti cinta Nabi dengan perbuatan sahaja atau lafaz sahaja, cuma yang kita dapat ialah pahala selawat dan berarak, dengar ceramah sahaja. Tapi selagi hati itu tidak sekuat rindu sebenarnya maka itu tidak melambangkan cinta rasul dan cinta Allah

Baca blog Ustaz Nor Amin. Di bahagian komen pembaca. Klik
Huraian terbarunya. Klik

PENDAPAT USTAZ SAIFUN NIZAM:

“Biarlah syiar dan syariat itu berjalan seiring..
Klu org yg memperjuangkan syiar itu sendiri tidak menjaga syariat… janggal sekali bunyinya.”

PENDAPAT TOK GURU NIK AZIZ:

Petikan: Sinar Harian
KOTA BHARU – Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, Kerajaan Negeri tidak akan mengadakan sebarang sambutan bagi menyambut Maulidur Rasul memandangkan bulan Maulud tidak mempunyai sebarang fadilat dan kelebihan berbanding bulan Ramadan.

Nik Abdul Aziz berkata, Kelantan tetap tidak akan menyambutnya, walaupun negeri lain membuat sambutan secara besar-besaran.

“Boleh jadi, orang negeri lain sambut Maulud besar-besaran. Bulan Maulud sendiri tidak ada sebarang fadilat tidak sebagaimana bulan Ramadan. Bulan Ramadan memang ada fadilat dan kelebihannya. Bulan Maulud tidak ada apa.

wallahua’lam…

P/S:

Begitulah ulasanan tentang Sambutan Maulidurasul drp salah satu komentar blog tersebut. Kita menerima penerangan yang bernas di atas dan semoga Allah SWT memberkati.

Apapun, memandangkan ia masalah khilafiyyah. Maka diharap umat Islam tidak perlu bertelagah dalam hal ini sehingga timbul perpecahan sebagaimana yang berlaku di tanahair atau sekitarnya. Semoga Allah meredhai mereka yang menyokong dan yang tidak mengamalkannya.

Apa yang pasti…selawat, mengamal sunnah dalam kehidupan kita seharian termasuk semua aspek adalah satu tuntutan. Itulah yang perlu diutamakan.

Wallahu a’lam.


Pautan kepada artikel di atas seperti di bawah:

http://www.faridrashidi.com/2009/03/16/sedalam-mana-rindumu/

Lain2 Artikel Menarik:

tokjogho

Mengapa Tok Jogho? Sebenarnya, Tok Jogho merupakan ketua dalam satu-satu persembahan Dikir Barat yang amat popular di Kelantan. Penggunaan nama Tok Jogho sebagai pentadbir laman web PanduanPercuma.info adalah berdasarkan fakta yang mana dalam setiap persembahan Dikir Barat, Tok Jogho merupakan nadi kepada keseluruhan persembahan di mana beliau perlu bijak mengatur kata-kata dan menyusun ayat agar persembahannya terserlah dan menarik, lain daripada yang lain. Itulah matlamat PanduanPercuma.info - ingin menjadi sebuah laman web berbahasa Melayu yang unik, penuh dengan maklumat dan informasi kepada semua.

One thought on “Pendapat Ulamak Tentang Sambutan Maulidur Rasul

  • 24/01/2013 at 12:05 pm
    Permalink

    Rasul Allah pernah di tanya ” kenapa engkau berpuasa pada hari isnin ya Rasul Allah ? maka baginda menjawab..aku meraikan hari kelahiranku..’ maknanya harus menyambut hari kelahiran nabi..ada ulamk yang menyatakan sunat dan ada yg menyatakan wajib…” barang siapa yg membesarkan hari kelahiran ku maka wajib baginya syafaatku..” dengn syarat tiada kemungkaran ddlam sambutan tersebut..Allah a’laam…

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


*