Puasa Kurangkan Produktiviti Umat Islam

Hampir 1/2 bulan Ramadhan berlalu. Ramai yang gembira kerana hari raya bakal tiba, dan puasa akan berlalu. Berbeza dengan umat Islam zaman Rasulullah s.a.w yang begitu gembira menanti kehadiran Ramadhan dan akan bersedih kerana Ramadhan akan meninggalkan mereka.

Saban tahun, isu timbul bulan Ramadhan atau bulan puasa sedikit sebanyak telah mengurangkan produktiviti pekerja Muslim. Ianya dikatakan berlaku disebabkan pelbagai sebab seperti mengantuk di tempat kerja, kurang bersemangat bekerja kerana keletihan, semangat ingin balik awal semata-mata untuk menyerbu ke bazar ramadhan dsb. Betulkah masalah ini sebenarnya berlaku? Adakah puasa yang menyebabkan produktiviti umat Islam secara amnya berkurangan? Mengapa secara realitinya di Malaysia, kebanyakan projek-projek penting terpaksa ditangguhkan sehingga berlalunya Ramadhan barulah ianya mahu dilaksanakan? Sehinggakan ada apa yang dikata mesyuarat-mesyuarat penting juga tidak diadakan hanya kerana ia bulan puasa… Apakah kita sebagai umat Islam di Malaysia bersetuju bahawa bulan puasa ini bulan yang kurang aktiviti dan produktiviti?

Sejarah mencatat, pada tahun 1961 umat Islam digemparkan apabila Presiden Tunisia pertama, Habib Bourguiba, telah mengeluarkan perintah melarang rakyatnya, terutama dari kalangan kakitangan awam daripada berpuasa di bulan Ramadhan. Untuk menunjukkan tahap keseriusan beliau dengan perintah ini, Habib Bourguiba telah muncul bersama anggota kabinetnya secara langsung di televisyen pada tengah hari Ramadhan dan mereka makan beramai-ramai dengan mesej, “kami memaksudkan apa yang kami kata!”
Alasan Habib Bourguiba menghalang puasa di bulan Ramadhan itu ialah, puasa mengurangkan produktiviti negara!
Bagaimana dengan kita sendiri umat Islam di Malaysia? Apakah kita juga merasakan apa yang dikatakan oleh Habib Bourgiba itu betul? Apakah yang menyebabkan kita menjadi kurang produktif dan mengapa ianya mesti disalahkan kepada puasa? Betulkah puasa benar-benar mengurangkan produktiviti negara? Mengapakah ianya disalahkan kepada puasa dan bukannnya kepada seseorang itu?Apakah jika melihat sebuah kereta jenama Mercedes yang begitu tersohor dan canggih terlanggar sebuah tiang lampu jalan atau terbabas dan melanggar pondok tol, apakah kita masih menyalahkan kereta tersebut? Sudah tentu tidak! Sebaliknya buktikan dengan perbuatan, Ramadhan menambah kualiti diri, bukannya mengundang malas, lesu dan hilang produktiviti. Oleh itu, mari kita telusuri hakikat sebenar puasa.
Sejarah Kecemerlangan dan Kejayaan Islam di bulan Ramadhan
Tahukah kita bahawa secara kebanyakan dan kecemerlangan Islam berlaku pada bulan Ramadhan. Ini terbukti dengan catatan sejarah Islam yang sepatutnya kita contohi. Tahukah kita bahawa umat Islam mencapai kemenangan di dalam Perang Badar? Kota Mekah dibebaskan di bulan Ramadhan. Ketibaan Islam di Andalus dan mengasaskan pemerintahan Islam 700 tahun, berlaku di bulan Ramadhan. Peperangan Ain Jalut yang menumpaskan pengganas Tatar berlaku di bulan Ramadhan. Pembebasan bumi Palestin oleh Salahuddin al-Ayyubi juga berlaku di bulan Ramadhan. Ini membuktikan bahawa bulan Ramadhan adalah bulan yang hebat bagi umat Islam dan bukan sebaliknya.
Bagaimana Ramadhan Kita?
Jika sejarah membuktikan Ramadhan merupakan bulan yang hebat umat Islam, bagaimana pula dengan Ramadhan kita tahun? Adakah ianya terbukti hebat pada diri kita sendiri? Apakah kita sudah berbuat apa yang sepatutnya dibuat sepanjang kehadiran Ramadhan? Apakah sebenarnya yang ada pada ibadah puasa di bulan Ramadhan, sehingga ia dijanjikan dengan sebuah kehebatan?

Jika seorang itu tidak makan kerana tiada makanan, keadaan itu tidak akan mendidik dirinya dengan sebarang nilai pendidikan. Jika seseorang itu tidak minum kerana tiada minuman, keadaan itu tidak akan melatihnya dengan sebarang nilai latihan. Tetapi jika seseorang itu ada segalanya untuk dimakan, namun beliau memilih untuk tidak makan kerana mahu mematuhi Allah SWT, maka di situlah datangnya nilai Tarbiyah.
Kita belajar untuk berkata TIDAK, kepada sesetengah keinginan dan kemahuan diri, kerana mahu mentaati Allah, itulah sebuah LATIHAN. Ramadhan melatih kita untuk mempunyai kekuatan mengawal keinginan dan kemahuan, supaya kita tidak terus terbelenggu menjadi hamba kepada hawa nafsu dan diri sendiri.
Tidakkah kita ingat, kepada peringatan Allah SWT di dalam al-Quran:

Apakah engkau tidak melihat gelagat orang yang menjadikan hawa nafsunya: Tuhan yang disembah? Lalu dia disesatkan oleh Allah dalam keadaan dirinya berilmu dan dimeteraikan pula atas pendengarannya dan hatinya, serta diadakan lapisan penutup atas penglihatannya? Maka siapakah lagi yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya sesudah? Oleh itu, mengapa tidak ingat dan insaf? [al-Jaatsiyyah : 23]

Seorang manusia menyembah Tuhan palsu tanpa perlu menyembah berhala. Dia mengambil Tuhan palsu dalam hidupnya apabila hawa nafsunya sendiri diutamakan, membelakangi perintah dan suruhan Allah SWT. Apabila manusia menjadi hamba kepada dirinya sendiri, dia menjadi sesat walaupun berilmu. Malah sesatnya menebal hingga menutup mata, telinga dan hatinya daripada peringatan. Semua itu berlaku apabila seorang manusia tidak mampu berkata TIDAK kepada kemahuan-kemahuan diri, sebaliknya sentiasa mengikut perasaan dan kata nafsu dalam kehidupan.
Alangkah besarnya bencana manusia seperti ini. Justeru Allah datangkan Ramadhan dan ibadah puasa, agar manusia belajar mengawal diri. Belajar untuk mampu berkata TIDAK kepada sebahagian kehendak diri yang diciptakan Allah kita ini ada kecenderungan kepada kebaikan dan ada kecenderungan kepada kejahatan.
Ini bersesuaian dengan sabda Rasulullah SAW:
syadidsur-ah
“Bukanlah dikatakan gagah itu orang yang kuat bergusti. Akan tetapi yang dikatakan gagah itu orang yang dapat memiliki (mengawal) dirinya ketika marah” [Muttafaq ‘alayh]
Pandangan ramai mungkin melihat juara gusti sebagai orang yang gagah.
Tetapi Rasulullah SAW menegaskan bahawa, kegagahan sebenar adalah pada keupayaan seseorang itu mengawal dirinya, terutamanya ketika marah. Manusia yang gagah atau lemah, mudah tertonjol warna sebenarnya ketika marah. Seorang juara gusti tidak mampu menyelamatkan rumahtangganya, apabila gagal menahan marah. Seorang billionaire yang mampu membeli apa sahaja, gagal menyelamatkan perniagaannya apabila hilang pertimbangan ketika marah.
Marah boleh membuatkan seorang manusia bertindak menghancur binasakan dunia. Manusia yang mampu mengawal diri kita diri terbakar disambar api kemarahan, itulah manusia yang gagah. Kerana itulah di bulan Ramadhan, selain latihan mengawal diri daripada makan dan minum, Islam juga datangkan beberapa siri latihan lain untuk mengukuhkan proses ini.
Sabda Nabi SAW:
akupuasa
Bukanlah berpuasa itu sekadar menahan dari makan dan minum. Sesungguhnya puasa itu juga adalah menahan diri dari perkara yang sia-sia dan kotor (lucah). Jika kamu dimaki oleh seseorang atau diperbodohkannya, maka berkatalah: Sesungguhnya aku berpuasa [riwayat Ibn Khuzaimah dan al-Hakim / Sahih al-Targhib 1068]
Kawal diri dari makan dan minum. Kawal diri dari larut dalam perkara yang sia-sia. Kawal diri dari kelakuan dan percakapan sumbang dan lucah. Jika dicela, dimaki hamun atau diperbodohkan, secara khusus di bulan Ramadhan ini, jangan dibalas provokasi itu, sebaliknya kawallah diri. Nyatakan, “aku berpuasa”. Ia bukan suatu kekalahan apabila tidak membalas. Tetapi ia adalah suatu latihan untuk meningkatkan daya mampu mengawal diri dan berkata TIDAK kepada perkara-perkara yang mengundang mudharat dan kerugian.
Ambillah ini sebagai suatu proses yang dilatih secara tubi.
Sumber:
Artikel ini adalah suntingan dan petikan daripada sumber asal – abu saif@www.saifulislam.com

Lain2 Artikel Menarik:

tokjogho

Mengapa Tok Jogho? Sebenarnya, Tok Jogho merupakan ketua dalam satu-satu persembahan Dikir Barat yang amat popular di Kelantan. Penggunaan nama Tok Jogho sebagai pentadbir laman web PanduanPercuma.info adalah berdasarkan fakta yang mana dalam setiap persembahan Dikir Barat, Tok Jogho merupakan nadi kepada keseluruhan persembahan di mana beliau perlu bijak mengatur kata-kata dan menyusun ayat agar persembahannya terserlah dan menarik, lain daripada yang lain. Itulah matlamat PanduanPercuma.info - ingin menjadi sebuah laman web berbahasa Melayu yang unik, penuh dengan maklumat dan informasi kepada semua.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


*