Pergi Tak Kembali – Ustaz Asri Rabbani

ustaz asriVokalis utama kumpulan Rabbani, Mohamad Asri Ibrahim (Ustaz Asri) meninggal dunia sebaik sahaja jatuh ketika membuat persembahan di RTM kira-kira jam 11.15 pagi, 13 hb Ogos 2009. Menurut saksi Ustaz Asri meninggal dunia di tempat kejadian selepas jatuh dan tidak sedarkan diri.

Aku adalah pengejar syurga akhirat,bagiku dunia ini adalah tempat mempersiapkan segala sesuatu untuk meraih syurga akhirat;aku yakin bahawa syurga akhirat tidak akan pernah dapat aku raih kecuali aku boleh menikmati syurga dunia terlebih dahulu.Maka rumah dan keluargaku adalah syurga dunia paling indah buatku. Tempat kerja syurga dunia harianku. Tetangga, masyarakat,dan bangsa adalah syurga duniaku yang lebih luas. Ke manapun dan sampai bila-bila pun syurgaku selalu bersamaku…

Begitulah petikan kata-kata ikhlas Allahyarham Ustaz Asri di blog beliau. Biar pun blog beliau agak lewat diupdate disebabkan kesibukan beliau, namun keikhlasannya untuk menghulurkan sepatah dua kata semangat dan peransang untuk kita mendamping Allah amat saya kagumi.

Secara peribadi, saya tidak mengenali beliau, baik semasa beliau bersama NadaMurni mahu pun Rabbani, namun nasyid-nasyid beliau yang begitu syahdu dan lantang menaikkan semangat Islami dalam diri saya dan keluarga saya amat ketara sekali. Secara peribadi, anak saya dibesarkannadamurni dalam iklim nasyid yang memuncak di persada seni tanah air. Saya masih ingat lagi, anak sulung saya dibuai dengan kesyahduan nasyid dari Kumpulan Raihan pada akhir 1990an dengan lagu-lagu seperti Iman Adalah Mutiara, Puji-pujian, Sifat 20, Sesungguhnya, Peristiwa Subuh Hari dll daripada album Puji-Pujian. Secara ikhlas, saya tidak pernah pun membeli sebarang kaset sebelum sehinggalah munculnya album Raihan ini dan ianya dipasang setiap kali anak saya berada di dalam buaian. Alhamdulillah, irama dan lirik nasyid tersebut telah membentuk anak-anak saya ke arah mencintai nasyid-nasyid islami ini.

Kemunculan kumpulan Rabbani selepas itu terus mencetuskan satu fenomena baru dalam industri nasyid tanahair. Suara merdu dan lantang Ustaz Asri diselit dengan Marhaban dan Berzanji yang begitu gemersik telah membuktikan keikhlasan Ustaz Asri dalam memperjuangkan dakwah melalui nasyid amat jelas sekali. Bagi saya beliau adalah pendakwah tulin dan ikhlas dalam gerak geri dan tingkah lakunya. Beliau begitu menjaga setiap tutur kata dan akhlaqnya kerana dia berpegang kepada prinsip bahawa sebagai seorang penasyid tulin perlu menjaga akhlaqnya agar bersesuaian dengan bait-bait pada lirik lagu yang diperjuangkannya dalam semua nasyidnya.

ustaz asri-nasyidKewujudan album Intifada telah mengingatkan kembali perjuangan rakyat Palestin yang tidak pernah luput. Kegigihan beliau berdakwah melalui lirik-lirik lagunya begitu terserlah sekali. Beliau begitu istiqomah dengan nasyid yang dijadikan medan jihad beliau. Sifat dan akhlaq beliau sepatutnya dicontohi oleh semua penasyid yang ikhlas berjuang dan berdakwah mencari keredhaan Allah. Tidak hairanlah, kegigihan dan keikhlasannya telah membawa Kumpulan Rabbani dijulang sebagai Penyanyi/Artis Nasyid Popular di Anugerah Bintang Popular (ABP) selama lapan tahun berturut-turut.

Sehinggalah album beliau yang memuatkan lagu Pergi Tak Kembali yang begitu indah memberi nasihat serta amaran kepada kita semua agar bersiap sedia mengadap Allah SWT. Sesungguhnya pemergian beliau ibarat sebutir permata yang hilang. Kita semua merasa kehilangan beliau. Namun tidak ada siapa yang bernama makhluk di muka bumi yang TIDAK AKAN PERGI menemuiNYA. Takziah untuk keluarganya. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan semoga beliau dimasukkan dalam golongan orang MUKMININ dan SOLEHIN. Al-Fatihah.

Sila hayati lagu Nasyid Allahyarham Ustaz Asri.


PERGI TAK KEMBALI

Setiap insan pastikan merasa
Saat perpisahan terakhir
Dunia yang fana akan ditinggalkan
Hanya amalan yang akan dibawa

Terdengar sayup surah dibaca
Sayu alunan suara
Cemas di dada lemah tak bermaya
Terbuka hijap di depan mata

Selamat tinggal pada semua
Berpisah kita selamanya
Kita tak sama nasib di sana
Baiklah atau sebaliknya

Amalan dan taqwa jadi bekalan
Sejahtera, bahagia pulang…kesana

Sekujur badan berselimut putih
Rebah bersemadi sendiri
Mengharap kasih anak dan isteri
Apa mungkin pahala dikirim

Terbaring sempit seluas pusara
Soal bicara terus bermula
Sesal dan insaf tak berguna lagi
Hancurlah jasad dimamah bumi

Berpisah sudah segalanya
Yang tinggal hanyalah kanangan
Diiringi doa dan air mata
Yang pergi takkan kembali lagi

Pergi Tak Kembali – Sesunguhnya aku mengharapkan pemergian yang diredhai, pemergian yang menjanjikan kemanisan di akhirat, pemergian yang semestinya menyahut seruan Yang Maha Kuasa, Maha Segala-galanya! InsyaAllah……

Lain2 Artikel Menarik:

tokjogho

Mengapa Tok Jogho? Sebenarnya, Tok Jogho merupakan ketua dalam satu-satu persembahan Dikir Barat yang amat popular di Kelantan. Penggunaan nama Tok Jogho sebagai pentadbir laman web PanduanPercuma.info adalah berdasarkan fakta yang mana dalam setiap persembahan Dikir Barat, Tok Jogho merupakan nadi kepada keseluruhan persembahan di mana beliau perlu bijak mengatur kata-kata dan menyusun ayat agar persembahannya terserlah dan menarik, lain daripada yang lain. Itulah matlamat PanduanPercuma.info - ingin menjadi sebuah laman web berbahasa Melayu yang unik, penuh dengan maklumat dan informasi kepada semua.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


*