Cara Orang Sakit Bersuci

CARA ORANG SAKIT BERSUCI

Syeikh Ibn Uthaimin r.h. berkata:

“Bagi orang sakit, terdapat hukum khusus membahaskan mengenai mereka kerana  dalam keadaan itu syari’at Islam memberi keringanan kepada mereka. Ini kerana,  Nabi s.a.w. diutuskan dengan agama yang bertolak ansur untuk memudahkan  bukannya menyusahkan.

Firman Allah s.w.t.:

“Tidak dijadikan hukum-hakam yang menyusahkan kamu semua dalam  mengamalkan agama.” (al-Hajj 22: 78)

Firman Allah s.w.t.:

“Senarnya Allah inginkan kemudahan dalam semua perkara kepada kamu dan sama  sekali tidak ingin menyusahkan kamu.” (al-Baqarah 2: 185)

Sabda Rasulullah s.a.w.:

“Agama ini mudah.” (Hadis Riwayat Bukhari dalam kitab al-Iman, bab ad-Din Yusrun  (39).

Sabda Rasulullah s.a.w.:

“Apabila aku perintahkan sesuatu perkara kepada kamu semua, lakukanlah menurut  kemampuan kamu.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Berpandukan kaedah asas ini, allah memberi keringanan bagi sesiapa yang keuzuran  dalam beribadah menurut keuzuran yang mereka alami agar lebih beristiqamah  dalam melakukan ibadah tanpa sebarang kepayahan dan kesulitan.

Oleh itu, apabila seseorang ada keuzuran untuk bersuci, caranya ialah:

1 – Orang sakit wajib bersuci menggunakan air. Dia wajib berwudhu’ dan mandi  junub menggunakan air.

2 – Jika tidak mampu bersuci menggunakan air sebab lemah, bimbang  menambahkan sakit atau melambatkan peroses penyembuhan, dia bolehlah  bertayammum.

3 – Cara bertayammum ialah menepuk tanah yang suci menggunakan kedua-dua  belah tapak tangannya dengan sekali tepukan lalu meniup dan menyapu kedua-dua  belah tapak tangan itu ke muka serta kedua-dua belah tangan hingga ke  pergelangan.

4 – Jika tidak mampu menyucikan dirinya, orang lain boleh menyucikan atau  bertayammum untuknya (membantu mentayammumkan).

5 – Jika sebahagian anggota wudhu’ termasuk anggota lain sakit, dia hendaklah  berusaha membasuh dengan air. Jika tidak boleh membasuh dengan air, sapulah  sekali menggunakan air sepintas lalu. Jika tidak mampu juga, bertayammumlah atas  anggota yang cedera itu sahaja.

6 – Jika anggota wudhu’ patah teruk, terbakar dan sebagainya, dia boleh menyapu  menggunakan air sebagai ganti kepada basuhan dan tidak perlu bertayammum  kerana sapuan sudah menggantikan basuhan.

7 – Boleh bertayammum menggunakan debu dinding atau benda lain yang suci  dengan syarat berdebu. Jika dinding yang digunakan untuk bertayammum bukan  daripada jenis tanah seperti al-Buyah (lembab) tidak boleh bertayammum  dengannya kecuali tedapat padanya debu.

8 – Jika tidak dapat bertayammum menggunakan tanah, dinding, atau sesuatu yang  diperbuat daripada tanah, tidak mengapa meletakkan tanah dalam bekas atau kain  lap kemudian bertayammum dengannya.

9 – Jika dia telah bertayammum untuk solat dan kekal dalam keadaan bersuci  sehingga waktu solat berikutnya, dia boleh melakukan solat dengan tayammum yang  pertama tanpa mengulanginya untuk solat kedua. Kerana dia masih kekal dalam  keadaan suci serta tiada perkara yang membatalkan kesuciannya.

10 – Wajib orang yang sakit menyucikan  badannya daripada najis. Jika tidak  mampu, dia boleh solat  dalam apa jua keadaan dan solatnya tetap sah dan tidak  perlu mengulanginya.

11 – Wajib orang yang sakit mengerjakan solat menggunakan pakaian yang bersih.  Jika pakaiannya terkena nahis, dia wajib membasuhnya atau  menukarkannya  dengan pakaian lain yang suci. Jika tidak mampu, dia boleh solat dalam apa jua  keadaan. Solatnya tetap sah dan tidak perlu mengulanginya.

12 – Wajib orang yang sakit mengerjakan solat di atas tempat yang bersih. Jika  tempat itu terkena najis, dia wajib membasuhnya atau mengalihkan kedudukannya  ke tempat yang suci. Jika tidak mampu, dia boleh solat dalam apa jua keadaan.

Solatnya tetap sah dan tidak perlu dia mengulanginya.

13 – Orang yang sakit tidak boleh melewatkan solat dari waktunya hanya  disebabkan keuzuran tidak mampubersuci (berwudu’) atau bertayammum. Dia boleh  bersuci menurut kemampuannya ketika itu. Kemudian, dia hendaklah melakukan  solat tepat pad awaktunya walaupun badan, pakaian atau tempat terkena najis  sedangkan dia tidak mampu mengelaknya. (Rujuk Majmu’ Fatawa wa Rasa’il, Syeikh  Muhammad Soleh al-‘Uthaimin, jil. 11, m/s. 154-156 dan Risalah Ahkam Solat al-

Maridh wa Toharatuhu, syeikh abdul Aziz bin Baaz, m/s. 4-11)

Lain2 Artikel Menarik:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


*