Tayammum dan Hikmahnya

Tayammum adalah merupakan salah satu nikmat yang paling besar yang  dianugerahkan hanya kepada umat Muhammad s.a.w.:

“Aku diberi lima kelebihan yang tidak pernah diberikan kepada seorang pun  sebelumku. Aku diberikan pertolongan di mana musuh berasa gentar (takut) sebulan  sebelum peperangan, seluruh muka bumi dijadikan bagiku sebagai masjid dan alat  untuk bersuci. Oleh itu, mana-mana umatku yang menepati waktu solat telah  masuk, dia bolehlah terus solat di situ… (Hadis Riwayat Bukhari Dan Muslim)

Tayammum adalah merupakan bentuk pengabdian diri kepada Allah dengan  kaedah-kaedahnya yang tertentu berdasarkan dalil-dalilnya.

Imran bin Hushoin r.a. berkata:

“Kami telah musafir bersama Rasulullah s.a.w. Baginda telah mengimami solat.  Setelah selesai solat, baginda melihat seorang lelaki tidak solat bersama. Lalu  baginda bertanya: apakah yang menghalangmu daripada solat bersamaku?  Jawabnya: Aku sedang berjunub dan tidak menemui air. Baginda bersabda: Gunalah  debu tanah, iaitu bertayammum. Ia sudah memadai bagimu.” (Hadis Riwayat  Bukhari Dan Muslim)

‘Amr bin Syu’aib r.a. berkata, ayahnya pernah mendengar dari[pada datuknya  bahawa Rasulullah s.a.w. pernah bersabda:

“Bumi ini dijadikan bagiku sebagai masjid (tempat solat) dan alat untuk bersuci jika  tiada air. Oleh itu, di mana saja aku mendapati waktu solat telah masuk, aku akan  menyapu (bertayammum) dan terus solat.” (Hadis Riwayat Bukhari Dan Muslim)

Huzaifah r.a. berkata bahawa Rasulullah s.a.w. pernah bersabda:

“Kita ada tiga kelebihan berbanding umat yang lain,  iaitu saf-saf kita kelihatan  seperti saf para malaikat, seluruh bumi boleh dijadikan masjid (tempat solat) dan  tanahnya boleh dijadikan alat untuk bersuci apabila kita tidak menemui air.” (Hadis  Riwayat Muslim)

Ammar r.a. berkata:

“Suatu  ketika, aku telah berjunub. Kemudian, aku tidak menemui air lalu aku  berguling di atas tanah. Seterusnya, aku menunaikan solat. Setelah menemui Nabi  s.a.w. aku ceritakan hal itu kepada baginda. Lalu baginda bersabda: Sebenarnya,  memadai engkau hanya melakukan begini lalu baginda menepuk tanah dengan  kedua-dua belah tapak tangannya serta meniup kedua-duanya. Kemudian, baginda  menyapu muka dan tapak tangan hingga ke pergelangan tangannya dengan debu  itu.” (Hadis Riwayat Bukhari Dan Muslim)

HIKMAH DISYARI’ATKAN BERTAYAMMUM

1 – Menghilangkan Kepayahan Dan Kesulitan

Firman Allah s.w.t.:

“Allah sama sekali tidak ingin menjadikan sebarang kesulitan bagi kamu (dalam  mengamalkan agama).” (al-Ma’idah 5: 6)

Ibn Jarir at-Thabari r.h. berkata:

“Maksud ayat di atas ialah Allah tidak ingin menyusahkan kamu terhadap kewajiban  berwudhu’ setiap kali kamu ingin solat dan mandi junub setiap kali kamu berjunub.  Tayammum menggunakan debu tanah yang suci ketika kamu tidak mendapati air  supaya tidak menyusahkan kamu, sentiasa beristiqamah mengamalkan syari’at  agama walaupun dalam kesempitan supaya kamu tidak sentiasa berada dalam  kepayahan.” (Rujuk Jami’ al-Bayan, jil. 10, m/s. 84-85)

al-Syanqiti r.h. berkata:

“Kalimah (sesutau kepayahan) berbentuk nakirah (umum) pada lafaz pengecualian.  Oleh kerana pengecualian berbentuk umum, maka ia merangkumi semua jenis  kepayahan.” (Rujuk Adwa’ al-Bayan, jil. 2, m/s. 36)

2 – Menyucikan Jiwa Manusia

Firman Allah s.w.t.:  “Tetapi Allah ingin menyucikan diri kamu.” (Surah al-Ma’idah 5” 6)

Ibn Jarir at-Thabari r.h. berkata:

“Maksud ayat Allah ingin menyucikan diri kamu ialah dengan cara mewajibkan kamu  berwudhu’ daripada hadas, mandi ketika berjunub dan bertayammum ketika  ketiadaan air. Melalui  cara itu, ia mampu membersih dan menyucikan diri kamu  daripada segala dosa.” (Rujuk Jami’ al-Bayan, jil. 10, m/s. 85)

3 – Sempurnakan nikmat

Firman allah s.w.t.:

Untuk menyempurnakan nikmat-Nya ke atas kamu supaya kamu bersyukur.” (al-

Ma’idah 5: 6)

Ibn Jarir at-Thabari r.h. berkata:

“Maksud ayat untuk menyempurnakan  nikmat-Nya  ke atas kamu ialah (nikmat)  kebolehan bertayammum bagi kamu dan menjadikan debu tanah yang suci sebagai  alat bersuci. Semua itu sebagai keringanan bagi kamu di samping nikmat-nikmat-Nya yang lain yang dianugerahkan kepada kamu wahai orang-orang yang beriman.”  (Rujuk Jami’ al-Bayan, jil. 10, m/s. 9)

al-Qurtubi r.h. berkata:

“Keringanan yang diberikan kepada kamu untuk bertayammum ialah ketika sakit dan  musafir.” (Rujuk al-Jami’ Li Ahkam al-Qur’an, jil. 6, m/s. 108)

al-Syaukani r.h. berkata:

“Keringanan yang diberikan kepada kamu untuk bertayammum ialah ketika  ketiadaan air.” (Rujuk Fath al-Qadir, jil. 2, m/s. 28)

SEBAB-SEBAB YANG MEMBOLEHKAN BERTAYAMMUM

1 – Bimbang Dengan Air Boleh Memudharatkan Diri

Firman Allah s.w.t.:

… Dan jika kamu sakit (tidak boleh kena air), atau dalam pelayaran, atau salah  seorang dari kamu datang dari tempat buang air, atau kamu sentuh perempuan,  sedang kamu tidak mendapat air (untuk berwuduk dan mandi), maka hendaklah  kamu bertayamum dengan tanah – debu yang bersih… (al-Ma’idah 5: 6)

Ibn Jarir at-Thabari r.h. berkata:

“Jika anggota badan kamu sakit, cedera, patah atau mengalami sesuatu yang tidak  mampu mandi sedangkan ketika itu berada dalam keadaan bermukim bukannya  musafir, bertayammumlah menggunakan debu tanah yang suci.” (Rujuk Jami’ al-Bayan, jil. 8, m/s. 388)

‘Amru bin al-‘Ash r.a. berkata:

“Aku telah bermimpi (hingga keluar air mani) pada suatu malam yang sejuk ketika  berada dalam peperangan Dzat al-Salasil. Aku tidak sanggup mandi kerana jika aku  mandi, pasti aku jatuh sakit. Lalu aku bertayammum kemudian terus solat subuh  bersama para sahabatku.

Lalu mereka mengadu kepada Nabi s.a.w. Jawab baginda: Wahai ‘Amru! Apakah  kamu mengerjakan solat bersama sahabat-sahabatmu dalam keadaan berjunub?

Lalu aku menceritakan keadaan yang menghalangku daripada mandi junub.

Kemudian aku berkata: Sesungguhnya aku telah mendengar Allah berfirman dalam  surah al-Nisa’, ayat 29 berbunyi (Janganlah kamu membunuh diri kamu.  Sesungguhnya allah amat Mengasihani kamu semua. Lalu Rasulullah s.a.w. ketawa  tetapi baginda tidak berkata apa-apa (sama ada melarang atau menyuruh).” (Hadis  Riwayat Bukhari, ahmad dan Ibn Mundzir, Daruquthni, at-Thabari, dan al-Hakim.

Dipersetujui oleh az-zhahabi akan kesahihannya, Ibnu Hajar menyatakan bahawa  sanadnya kuat, dan turut disahihkan oleh al-Albani di dalam al-Irwa’)

al-Nawawi r.h. berkata:

“Antara pengajaran yang dapat diambil daripada hadis ini ialah pertama, boleh  bertayammum bagi sesiapa yang bimbang memudharatkan diri apabila  menggunakan air walaupun dia memiliki  air. Kedua, boleh orang yang berjunub  bertayammum. Ketiga, tidak perlu mengulangi solat bagi musafir sesiapa yang  bertayammum ketika musafir.” (Rujuk al-Majmu’)

Ibn Hajar r.h. berkata:

“Berdasarkan hadis ini, ia menunjukkan bahawa boleh bertayammum bagi sesiapa  yang bimbang ditimpa kemudharatan jika menggunakan air sama ada kerana  kesejukan dan sebagainya.” (Rujuk Fathul Bari, jil. 1, m/s. 454)


2 – Ketiadaan Air

Firman Allah s.w.t.:

“Jika kamu tidak menemui air, kamu hendaklah bertayammum menggunakan debu  tanah yang baik (suci) lalu sapulah muka-muka kamu dengan tangan-tangan kamu  menggunakannya.” (al-Ma’idah 5: 6)

al-Qurtubi r.h. berkata:

“Firman Allah (???????? ???), bermaksud sebab-sebab musafir yang memiliki air  tetapi tidak menemui air selain itu antaranya: Jika memiliki air sekalipun, semua air  itu atau sebahagiannya akan habis digunakan untuk berwudhu’. Juga bimbang hilang  sumbernya, ada seseorang yang meemrlukannya, bimbang air yang ditemui sedikit  tetapi menjadi minuman binatang ternakan atau binatang buas, waktu solat akan  tamat jika berwudhu’, menyebabkan dirinya dahaga, dan seumpamanya. Begitu  juga, dia tidak dapat memasak untuk memberi tenaga kepada badannya jika  menggunakannya kerana air kehabisan (terhad). Atas sebab-sebab di atas, dia boleh  bertayammum dan solat dalam keadaan itu.” (Rujuk al-Jami’ li ahkam al-Qur’an, jil.

3, m/s. 197-198)

Imran bin Hushoin r.a. berkata:

“Rasulullah s.a.w. melihat seorang lelaki tidak solat bersama. Lalu baginda bertanya:  apakah yang menghalangimu daripada solat bersamaku? Jawabnya: Aku sedang  berjunub dan tidak menemui air. Baginda bersabda: Gunalah debu tanah, iaitu  bertayammum. Ia sudah memadai bagimu.” (Hadis Riwayat Bukhari Dan Muslim)

Ibn Daqiq al-“Id r.h. berkata:

“Maksud (????) ialah ada air, memiliki air,  menemui air atau seumpamanya.”  (Rujuk Ahkam al-Ahkam, jil. 1, m/s. 110)

RUKUN TAYAMMUM

1 – Niat

Firman Allah s.w.t.:

???????

al-Sa’di r.h. berkata:

“Wajib berniat tayammum berdasarkan firman Allah di atas. (???????) bermaksud  berniatlah untuk bertayammum.” (Rujuk Taisir al-Karim ar-Rahman, m/s. 186)

Abu Bakar Ibn al-Mundzir r.h. berkata:

“Tidak memadai tayammum atau melakukan sesuatu ibadah yang termasuk dalam  kategori fardhu tanpa niat.” (Rujuk al-Ausot, jil. 2, m/s. 36-37)

Umar bin al-Khattab r.a. pernah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Sesungguhnya setiap apa yang dilakukan hendaklah dimulai dengan niat.  Sesungguhnya setiap apa yang dilakukan oleh seseorang dinilai berdasarkan apa  yang diniatkan.” (Hadis Riwayat Bukhari Dan Muslim)

2 – Tasmiah (Membaca Basmalah)

“Hukum tasmiah (membaca basmalah) di sini sama hukumnya ketika berwudhu’…  ini kerana, tayammum adalah pengganti kepada perbuatan wudhu’. Hukum  perbuatan ganti sama hukumnya dengan perbuatan yang diganti.” (Rujuk al-Syarh  al-Mumti’, jil. m/s. 347-348)

Menurut Abu Hurairah r.a., Rasulullah s.a.w. telah bersabda:

“Tidak sah solat sesiapa yang tidak berwudhu’ dan tidak sempurna wudhu’ seseorang  yang tidak menyebut nama Allah ketika itu.” (Hadis Riwayat Abu Daud, at-Tirmidzi,  Ibn Majah, dan Ahmad. Diklasifikasikan sebagai Hasan oleh al-Albani di dalam al-

Irwa’)

Al-Son’ani r.h. berkata dalam Subul as-Salam, jil. 1, m/s. 111:

“Sesungguhnya hadis mengenai basmalah diriwayatkan daripada  Aisyah, sahl bin  Sa’d, Ibn sirah, Ummu sirah, Ali dan Anas. Semua jalan riwayat tidak terlepas  daripada kritikan. Namun, semua riwayat itu menguatkan di antara satu sama lain  menjadikan statusnya kuat. Oleh itu, Ibn Abi syaibah r.h. berkata: Memang tsabit  Nabi s.a.w. berkata begitu.”

as-Syaukani r.h. berkata:

“Hadis ini jelas menunjukkan tidak sah wudhu’ seseorang yang tidak menyebut  nama Allah.” (Rujuk ad-Daraari al-Mudhi ah, jil. 1, m/s. 45)

3 – Menepuk Debu Tanah Yang Suci

Firman Allah s.w.t:

???? ????? ???????

Maksudnya:

“Oleh itu, berniatlah untuk bertayammum lalu menggunakan debu tanah yang suci.”  (al-Ma’idah 5: 6)

Abu Bakar Ibn al-Mundzir r.h. berkata:

“Tidak boleh bertayammum kecuali menggunakan tanah suci berdasarkan firman  Allah (???? ????? ???????). Al-Qur’an dan Sunnah menunjukkan bahawa tidak boleh

bertayammum kecuali menggunakan tanah dan tidak boleh menggunakan benda  lain.” (al-Ausot, jil. 2, m/s. 41)

Al-Sa’di r.h. berkata:

“Memadai bertayammum dengan semua benda yang berdebu di atas muka bumi  sama ada dari jenis tanah dan sebagainya. Jika mampu menggunakan tanah yang  mengandungi debu, itu lebih afdhal. Tidak sah bertayammum dengan tanah yang  bernajis. Ini kerana, ia tidak termasuk tanah yang baik, bahkan ia dipanggil tanah  yang kotor.” (Rujuk Taisir al-Karim ar-Rahman, m/s. 223)

Ibn al-Mulqin r.h. berkata:

“Perkataan as-Sa’d yang diberi maksud tanah adalah mazhab kebanyakan ulama,  Tetapi dikatakan juga soid bermaksud semua benda berdebu di atas muka bumi.”  (rujuk I’lam Bi Fawaid ‘Umdah al-ahkam, jil. 2, m/s. 120)

4 – Menyapu Muka Kedua-dua Belah Tangan Hingga Ke Pergelangan

Firman Allah s.w.t.:

“Oleh itu, sapulah muka-muka kamu beserta tangan-tangan kamu menggunakan.”  (al-Ma’idah 5: 6)

‘Ammar bin Yasir r.a. berkata:

“Aku telah bertanya Nabi s.a.w. tentang cara bertayammum lalu baginda  memerintahkanku menepuk ke tanah sekali tepukan lalu menyapu muka dan tangan  hingga ke pergelangan.” (Hadis Riwayat abu Daud, al-Tirmidzi, Ahmad, ad-Darimi,  Ibn Khuzaimah, dan al-Baihaqi. Al-Albani r.h. mengklasifikasikan hadis ini sebagai  sahih dalam Sahih Sunan Abu Daud.

As-Sa’d r.h. berkata:

“Cara menyapu ketika tayammum ialah menyapu muka dan kedua-dua belah tangan  sahaja tanpa menyapu anggota-anggota lain.” (Rujuk  Taisir al-Karim ar-Rahman,  m/s. 223)

Tambahnya lagi:

“Kedua-dua belah tangan hanya disapu hingga ke kedua-dua pergelangan sahaja. Ini  kerana, kedua-dua tangan secara mutlaknya bermaksud demikian. Sekiranya  disyaratkan membuat sapuan sehingga ke siku, pasti Allah telah mengaitkannya  dalam ayat sepertimana Dia mengaitkannya (hingga ke siku) bagi perbuatan  berwudhu’.” (Rujuk Taisir al-Karim ar-Rahman, m/s. 223)

Al-Khatabi r.h. berkata:

“Sebahagian ahli al-‘Ilmi berpendapat bahawa tayammum hanya sekali tepukan lalu  disapu ke muka dan tangan hingga ke pergelangannya. Inilah pendapat yang  dipegang oleh ‘Atho bin Abi Rabah, Makhul, al-Azuza’i, Ahmad bin Hanbal, Ishak dan  seluruh ulama hadis.” (Rujuk Ma’alim al-Sunan, jil. 1, m/s. 86)

Ibn al-Mundzir r.h. berkata:

“Tayammum hanya sekali tepukan lalu disapu ke muka dan tangan hingga ke  pergelangannya.” (Rujuk al-Ausot, jil. 2, m/s. 50-53)

Syeikh al-Islam Ibn Taimiyah r.h. berkata:

“Sesungguhnya tayammum hanya memadai sekali tepukan berdasarkan hadis sahih  yang diriwayatkan oleh ‘ammar bin Yasir r.a.” (Rujuk al-Fatawa, jil. 21, m/s. 422)

Ibn al-Qayyim r.h. berkata:

“Nabi s.a.w. telah bertayammum hanya sekali tepukan lalu disapu ke muka dan  tangan hingga ke pergelangan tangan. Tidak sahih pendapat mengatakan baginda  bertayammum dengan dua kali tepukan dan disapu hingga kedua-dua belah  sikunya.” (Rujuk Zad al-Ma’ad, jil. 1, m/s. 199-200, Subul as-Salam, jil. 195-196  dan as-Syarh al-Mumti’, jil. 1, m/s. 350)

PENDAPAT YANG MENGATAKAN DUA KALI TEPUK

Imam syafi’e r.h. berpendapat, apabila bertayammum, seseorang hendaklah  menepuk dua kali serta menyapu muka dan kedua-dua belah tangannya hingga ke  siku berdasarkan hadis di bawah.

Ibn Umar r.a. berkata:

“Tayammum itu hendaklah dilakukan dengan dua kali tepukan. Sekali tepukan untuk  muka dan sekali tepukan untuk kedua-dua belah tangan hingga ke siku.” (Hadis  Riwayat ad-Daruqutni, al-Hakim, dan al-Baihaqi. Hadis ini diklasifikasikan sebagai  dhaif. Ini kerana, terdapat kritikan pada perawi jalur sanad hadis ini, iaitu Ali bin  Zhibyan.

Ad-Daruqutni berkata:

“Yahya al-Qattan, Hasyim dan selainnya mensiqahkannya.

Al-Hafiz Ibn Hajar berkata:  “Dia adalah perawi dhaif. Al-Qattan, Ibn Mu’in dan ramai lagi yang mendhaifkannya.”

Begitu juga pada jalur sanad lain mengenai dua kali tepuk hingga ke siku,  martabatnya dhaif serta tidak terlepas daripada kritikan.

PERKARA-PERKARA YANG MEMBATALKAN TAYAMMUM

1 – Semua perkara yang menyebabkan wudhu’ terbatal kerana tayammum  ialah pengganti wudhu’.

Abu Bakar Ibn al-Mundzir r.h. berkata:

“Ahli al-‘Ilmi berijmak bahawa perkara berkaitan hadas yang membatalkan kesucian  orang yang berwudhu’ menggunakan air juga membatalkan kesucian orang yang  berwudhu’ menggunakan debu tanah.” (Rujuk al-Ausot, jil. 2, m/s. 59)

Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah r.h. berkata:

“Tayammum sama hukumnya dengan wudhu’. Tidak terbatal tayammum kecuali  sesuatu yang membatalkan wudhu’ selagi dia tidak mampu menggunakan air.”  (Rujuk al-Fatawa, jil. 21, m/s. 362 dan al-Syarh al-Mumti’, jil. 1, m/s. 341)


2 – Kewujudan air

Menurut Abu Dzar r.a., Rasulullah s.a.w. telah bersabda:

“Sesungguhnya debu tanah yang baik menyucikan seorang muslim jika tidak  menemui air walaupun selama sepuluh tahun. Apabila dia telah menemui air, dia  hendaklah mengenakan air pada kulitnya, iaitu dengan berwudhu’ kerana perkara itu  lebih baik baginya.” (Hadis Riwayat Abu Daud, at-Tirmidzi, an-Nasa’i, Ahmad, Ibn  Hibban, dan al-Baihaqi. Al-Haitami r.h. berkata: Perawi hadis ini semuanya rijal yang  sahih. Al-Albani r.h. mengklasifikasikan hadis ini sebagai sahih dalam Sahih Sunan  Abu Daud)

An-Nawawi r.h. berkata:

“Apabila orang yang berjunub, wanita yang telah habis haidnya, juga wanita yang  telah habis darah nifasnya lalu bertayammum kemudian dia mampu menggunakan  air, ketika itu dia hendaklah mandi (menggunakan air).” (Rujuk al-Majmu’, jil. 2.

m/s. 208 dan as-Syarh al-Mumti’, jil. 1, m/s. 341-343)

Al-Tiibi r.h. berkata:

“Wajib berwudhu’ ketika air ada dan tidak boleh bertayammum.” (Rujuk Syarh al-

Tiibi, jil. 2, m/s. 129)

Al-Son’ani r.h. berkata:

“Maksud ungkapan apabila menemui air menunjukkan bahawa jika telah mendapati  air, wajib mengenakan air ke kulitnya.” (Rujuk subul as-Salam, jil. 1, m/s. 199)

TEMPOH TAYAMMUM

Menurut Abu Dzar r.a., Rasulullah s.a.w. telah bersabda:

“Sesungguhnya debu tanah yang baik menyucikan seorang muslim jika tidak  menemui air walaupun selama sepuluh tahun. Apabila dia telah menemui air, dia  hendaklah mengenakan air pada kulitnya, iaitu dengan berwudhu’ kerana perkara itu  lebih baik baginya.” (Hadis Riwayat Abu Daud, at-Tirmidzi, an-Nasa’i, Ahmad, Ibn  Hibban, dan al-Baihaqi. Al-Haitami r.h. berkata: Perawi hadis ini semuanya rijal yang  sahih. Al-Albani r.h. mengklasifikasikan hadis ini sebagai sahih dalam Sahih Sunan  Abu Daud)

Ibn Hazm r.h. berkata:

“Orang yang bertayammum boleh melakukan solat dengan tayammum itu mengikut  kemahuannya pada semua solat samaada fardhu atau sunat selagi tidak berhadas

atau menemui air.” (Rujuk al-Muhalla, jil. 2, m/s. 128 dan al-Qabas li Ibn al-‘Arabi,  jil. 1, m/s. 177)

Syeikh Ibn ‘Uthaimin r.h. berkata:

“Tayammum adalah cara mengangkat hadas (berwudhu’). Ketika itu, seseorang  boleh mengerjakan solat fardhu walaupun bertayammum untuk solat sunat. Begitu  juga jika seseorang berwudhu’ untuk solat sunat, dia boleh mengerjakan solat fardhu  dengannya. Dia tidak perlu mengulangi tayammum apabila waktu telah habis selagi  tidak terbatal (berhadas).” (Rujuk Majmu’ah Fatawa Wa Rasa’il Ibn ‘Uthaimin, jil. 11,  m/s. 240 dan ad-Daraari al-Mudhi ah, jil. 1, m/s. 177)

Lain2 Artikel Menarik:

One thought on “Tayammum dan Hikmahnya

  • 15/09/2011 at 11:41 pm
    Permalink

    Assalamualaikum…emm perbezaan wuduk ngan tayammuum xde ke?

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


*