Masa Berkualiti Dalam Keluarga – Alasan atau Alternatif

"Kita perlu mengamalkan konsep masa berkualiti dengan ahli keluarga
kita". Demikianlah saranan yang sering kita dengar hampir setiap hari.
Ramai yang bersetuju dengan saranan ini. Dalam kesibukan kita mengejar
masa dengan urusan seharian, kita tidak lagi mampu untuk meluangkan
banyak masa dengan ahli keluarga yang lain. Untuk itu, masa berkualiti
adalah alternatifnya. "Apa guna meluangkan masa berjam-jam dengan anak
jika ianya tidak diisi dengan perkara-perkara yang bermanfaat?", itu
rasionalnya.



Luangkan masa anda bersama anak-nak dan keluarga untuk beriadah bersama mengeratkan ikatan kekeluargaan
Setelah sekian lama kita disarankan dengan konsep masa berkualiti ini, fahamkah kita akan maksudnya yang sebenar? Apa yang dimaksudkan dengan masa berkualiti dengan keluarga? Apakah ia bermaksud "ke-ber-ada-an" kita dengan mereka? Apakah dengan ber-adanya kita dengan mereka itu dapat ditakrifkan sebagai meluangkan masa secara berkualiti? Ataukah ada aspek lain yang lebih penting dari semata-mata berada dalam lokasi yang sama pada sesuatu masa? Jika kita ingin mengatakan bahawa kita meluangkan masa yang berkualiti dengan anak-anak, apakah corak kegiatan yang kita lakukan? Apakah kekerapan kita melakukan kegiatan tersebut? Dengan segala kegiatan dan kekerapan ini, apakah unsur lain bagi mengesahkan yang masa tersebut telah diisi secara berkualiti? Memang sukar untuk mendefinisikan maksud masa berkualiti. Walau bagaimanapun, saya ingin cuba untuk memberi definisi yang pada saya dapat menggambarkan maksud masa berkualiti ini. Masa berkualiti merujuk kepada satu masa di mana sekumpulan orang meluangkan masa secara bersama dengan melakukan sesuatu yang bersifat interaktif dan memberi makna kepada semua yang terlibat. Jangkamasa bersama itu tidak penting tetapi ia mestilah memadai untuk menyelesaikan sesuatu aktiviti. Aktiviti yang bersifat interaktif memerlukan kedua-dua belah pihak berinteraksi sesama sendiri ketika melakukan perbuatan tersebut. Di masa yang sama, aktiviti dan interaksi yang berlaku mampu memberi makna kepada semua pihak yang terlibat. Ini bererti interaksi tersebut berhasil untuk mendatangkan manfaat kepada semua yang terlibat baik dari segi mengeratkan hubungan, mengenali di antara satu sama lain dan sebagainya. Jadi, dalam konteks keluarga, makan malam bersama di mana semua ahli keluarga makan bersama sambil bercerita tentang apa yang berlaku kepada mereka sepanjang hari boleh dianggap sebagai satu masa yang diluangkan secara berkualiti. Begitu juga dengan keluarga yang bermain board games bersama. Ia nampaknya bermain tetapi melalui interaksi tersebut berbagai makna yang tersurat dan tersirat dapat dirasai oleh semua yang terlibat. Begitu juga dengan bersukan, menolong anak membuat kerja sekolah, mengajar anak mengaji dan seumpamanya. Sebaliknya, sebuah keluarga yang menonton televisyen bersama tetapi masing-masing asyik dengan cerita yang ditonton tanpa bercakap sepatahpun, melainkan "Minta kuaci tu sikit!", bukanlah meluangkan masa mereka secara berkualiti. Sebaliknya, mereka hanya menonton bersama. Begitu juga ibubapa yang meminta anak-anak membantunya mencuci kereta. Sekiranya aktiviti tersebut tidak disetujui oleh anak-anak dan tiada interaksi semasa melakukannya, sebaliknya hanya ingin menyelesaikan tugas tersebut, maka ia bukanlah satu luangan masa berkualiti. Jadi, bolehlah dikatakan bahawa aspek penting dalam masa berkualiti ini ialah interaksi yang bermakna. Dengan definisi ini, saya boleh mengatakan bahawa kita masih boleh meluangkan masa berkualiti dengan sesiapa sahaja tanpa berada di satu lokasi dengan mereka. Sebagai contoh, ibubapa masih boleh meluangkan masa berkualiti dengan anak mereka yang menuntut di luar negara melalui telefon, misalnya atau surat, atau e-mail. Walaupun ada jurang antara masa ibubapa menulis surat dengan masa anak membacanya, masa ini boleh dianggap sebagai masa berkualiti kerana apabila anak membaca surat tersebut, ia merasa hampir kepada ibubapanya, disayangi dan dirindui. Pastinya, ini hanya berlaku jika kandungan surat tersebut mengandungi luahan rasa serta nasihat yang bermakna kepada anak-anak dan bukannya satu notis penghantaran wang saku semata-mata. Sebagaimana yang kita tahu, konsep masa berkualiti ini adalah satu konsep yang secara relatifnya baru. Kalau tidak silap, ianya mula disarankan dalam tahun 1980an. Jika demikian, apakah konsep masa berkualiti ini hanya timbul dalam zaman ini sahaja? Apakah di zaman lampau atau 30 tahun yang lalu, ahli masyarakat mempunyai begitu banyak masa sehingga mereka tidak perlu kepada penggunaan masa berkualiti? Apakah 50 tahun yang lalu, seorang bapa mampu meluangkan 4 jam sehari untuk anak-anaknya dan seterusnya generasi yang lebih awal dari itu meluangkan masa 6 jam sehari bersama anak-anaknya? Bagaimana pula keadaan generasi yang terdahulu? Bagaimana dengan Junjungan kita, Nabi Muhammad s.a.w? Rasulullah s.a.w, sepertimana yang kita tahu, merupakan seorang manusia biasa. Ini bermakna seperti manusia yang lain, Baginda memainkan banyak peranan dalam hidupnya. Baginda merupakan seorang hamba Allah, seorang individu yang ada keperluan sendiri, seorang suami, seorang ayah, seorang datuk, seorang Rasul dengan segala tanggungjawab dakwah dan tidak terkecuali, Baginda merupakan seorang negarawan. Namun, dengan segala kesibukan ini, Baginda tidak sesekali mengabaikan keluarganya. Baginda Rasulullah s.a.w. sentiasa memastikan bahawa Baginda meluangkan masa dengan ahli keluarganya, baik dengan isteri-isteri Baginda, anak-anak, juga cucu-cucunya. Kita juga tahu, pada suatu ketika, Baginda yang pada saat itu memiliki sembilan orang isteri, memastikan bahawa Baginda melawat kesemuanya pada setiap hari. Kini terbukti bahawa lawatan-lawatan tersebut bukan semata-mata untuk makan dan tidur, tetapi lebih dari itu. Hasilnya, isteri-isteri Baginda semuanya terkenal sebagai pendakwah yang terkemuka, menjadi tempat rujukan masyarakat Islam pada ketika itu dan ada di antaranya yang menjadi perawi hadis yang berwibawa. Ini menunjukkan wujudnya penggunaan konsep masa berkualiti dalam kehidupan Baginda serta kejayaannya. Tidakkah kita merasa terpanggil untuk mengetahui bagaimana Baginda melakukannya agar kita juga dapat manfaatnya? Jika kita membaca sirah Rasulullah, kita dapati bahawa walaupun interaksi Rasulullah dengan para isteri baginda berlaku dalam jangka waktu yang singkat, tetapi berbagai ilmu yang telah diturunkan kepada isteri-isteri Baginda. Ini terbukti bila isteri-isteri Baginda meriwayatkan sesuatu hadis yang diperolehi semasa mereka bersama Rasulullah. Bukan dengan isteri-isteri Baginda sahaja, anak baginda, Fatimah Az-Zahrah juga tidak kurang pengetahuannya hasil dari didikan ayahnya itu. Kita juga sering terbaca kisah Rasulullah bermain-main dengan cucunda Baginda, Hasan dan Husin. Ternyata pemakaian konsep masa berkualiti bukanlah sesuatu yang baru dalam masyarakat. 50 tahun dahulu misalnya, bila mana keluarga Melayu bergantung kepada pertanian sebagai punca pendapatan, ibubapa juga sibuk mencari rezeki. Pastinya, mereka juga cuba mendekati anak-anak mereka dan mengajar anak-anak tentang apa yang perlu mereka tahu. Ada di antara mereka meluangkan masa bersama anak sambil mengajar mereka membuat pedang, gasing, memesin getah dan sebagainya. Ini juga boleh dianggap sebagai peluangan masa secara berkualiti. Pembangunan teknologi maklumat kini pastinya meninggalkan kesan kepada penggunaan konsep masa berkualiti dalam kehidupan seharian kita. Alat-alat canggih dalam era teknologi maklumat ini, seperti alat teknologi lain, boleh digunakan untuk kebaikan keluarga, mahupun sebaliknya. Ada yang melihatnya sebagai peluang untuk meningkatkan kualiti hubungan keluarga, namun tidak kurang yang melihatnya sebagai penghalang kepada hubungan kekeluargaan itu sendiri. Ini semua bergantung kepada kebijaksanaan kita menggunakannya. Laporan Lexmark tentang "Computing and the American Family" (Berita Harian, 18 Disember 1996) menemui bahawa dari segi komunikasi, ramai mengakui bahawa komputer telah memberi lebih masa berkualiti kepada keluarga. Penggunaan komputer dalam keluarga telah menjurus kepada komunikasi yang lebih antara ahli keluarga, saling berhubung dan berinteraksi. 74% responden melaporkan mereka menggunakan e-mail untuk saling berhubung dengan rakan dan ahli keluarga. Manakala 63% yang menggunakan internet mengakui internet telah membolehkan jalinan perhubungan dipelihara. Komputer telah digunakan untuk jalinan perhubungan peribadi dengan rakan-rakan (77%) dan keluarga (71%). Itu dari segi penggunaan e-mail. Selain e-mail, terdapat berbagai laman web yang berasaskan keluarga yang boleh dilawati bersama oleh sesebuah keluarga dan diambil manfaat darinya. Selain laman web bersifat keluarga, banyak laman web lain yang boleh memberikan manfaat kepada ahli keluarga secara bersama. Misalnya, ibu dan anak perempuan yang menggemari fesyen terkini, mereka boleh melawat mana-mana laman web tentang fesyen secara bersama. Begitu juga dengan bapa dan anak lelaki, mereka boleh melawat laman web permainan sukan tertentu secara bersama. Ini tentunya akan memberi kesan positif terhadap ikatan (bonding) antara anak-beranak. Begitu juga dengan telecommuting. Bekerja di rumah dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan kerana ia memberikan ahli keluarga peluang yang lebih untuk berkongsi masa berkualiti (New Straits Times, 20 Februari 1999). Ini lebih bermakna bagi golongan ibu tunggal di mana mereka tidak perlu risau untuk memikirkan hal penjagaan anak jika ingin keluar bekerja. Ada orang yang tidak percaya bahawasanya konsep masa berkualiti ini boleh berjaya. Bagi mereka, masa berkualiti hanyalah satu alasan ibubapa untuk meluangkan sedikit masa untuk anak-anak tanpa merasa bersalah (http://www.ozemail.com.au/~chriskaz/attachparent/. Bagi golongan ini mereka berpendapat bahawa kita perlu meluangkan masa yang banyak untuk anak kita sekiranya kita mahu mereka membesar dengan sempurna. Dalam kata lain, mereka percaya kepada konsep masa berkuantiti. Satu golongan yang lain pula atas sebab-sebab tertentu hanya bersama anak-anak bila ada kesempatan. Namun, bagi saya, antara kedua-dua ekstrim ini, konsep masa berkualiti walaupun tidak sempurna merupakan alternatif terbaik untuk keluarga zaman kini, terutamanya yang kedua suami-isterinya bekerja. Sumber : http://www.ikim.gov.my/

Lain2 Artikel Menarik:

tokjogho

Mengapa Tok Jogho? Sebenarnya, Tok Jogho merupakan ketua dalam satu-satu persembahan Dikir Barat yang amat popular di Kelantan. Penggunaan nama Tok Jogho sebagai pentadbir laman web PanduanPercuma.info adalah berdasarkan fakta yang mana dalam setiap persembahan Dikir Barat, Tok Jogho merupakan nadi kepada keseluruhan persembahan di mana beliau perlu bijak mengatur kata-kata dan menyusun ayat agar persembahannya terserlah dan menarik, lain daripada yang lain. Itulah matlamat PanduanPercuma.info - ingin menjadi sebuah laman web berbahasa Melayu yang unik, penuh dengan maklumat dan informasi kepada semua.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


*