Pantang Larang Ketika Haid dan Nifas

ADAT kuno dalam masyarakat jahiliah sebelum kedatangan agama Islam pada keseluruhannya menekan wanita dan menimpakan banyak penderitaan kepada kaum yang lemah, baik semasa mereka perawan atau sesudah kahwin.

Malangnya kepercayaan kuno yang menyempitkan hidup wanita kadang-kadang masih terbawa-bawa hingga hari ini di tengah masyarakat Islam. Salah satu dari kepercayaan itu ialah sekatan yang dikenakan pada wanita ketika kedatangan haid atau darah bulanan dan nifas.

Dari segi kesihatan peristiwa ini sebagai tanda tubuh wanita itu sihat dan kerana itu dianggap normal, tetapi sebaliknya masih ada setengah orang membuat sekatan tertentu kepada wanita ketika itu. Umpamanya, wanita yang berhaid ditegah menyikat rambutnya, tidak boleh menghidangkan makanan suami, tidak boleh memakai pakaian cantik dan sebagainya.
Sekatan-sekatan begini amat mengelirukan, sedangkan ada setengah orang mengaitkan sekatan ini dengan hukum agama. Sebenarnya sekatan-sekatan begini adalah amalan jahiliah dan tidak ada sekatan seperti itu dalam Islam.

Setengah agama memang mengadakan sekatan seperti itu terhadap wanita yang berhaid, umpamanya:-

Dalam buku-buku agama Hindu disebut perempuan yang baru melahirkan anak itu dianggap najis dan pakaian yang disentuh oleh mereka ketika itu hendaklah dicuci.

Selain dari itu disebut juga: -

1. Wanita haid tidak boleh mandi, tidak boleh menyikat rambut dan memakai bau-bauan.
2. Mereka tidak boleh memotang kuku, menggosok gigi, bertenun kain, makan daging atau melihat burung terbang.
3. Mereka tidak boleh tidur kecuali di atas tanah, tidak boleh minum dari bejana yang dibuat dengan panas api.
4. Mereka tidak boleh duduk bersama lelaki, tidak boleh berkata-kata, ketawa dan tidak boleh banyak berpindah duduk.
5. Orang lelaki tidak boleh makan makanan yang dimasak oleh mereka.
6. Mereka tidak boleh mengingat Tuhan, dilarang mendekati suami dan anak-anaknya sendiri.
7. Sesudah habis haidnya hendaklah wanita itu pergi ke sungai untuk mencuci semua pakaiannya di masa haid dan mandi untuk membersihkan tubuhnya sendiri.

Dalam buku-buku agama Yahudi pula disebut bahawa wanita yang berhaid hendaklah mengasingkan dirinya selama tujuh hari. Dan siapa yang menyentuh tempat tidurnya dihukum najis hingga masuk matahari. Bahkan dalam kitab Injil [bible] Perjanjian Lama hukum sekatan terhadap wanita haid juga banyak disebut.

Tetapi tidak ada sebarang sekatan seperti itu dalam Islam kecuali sekatan bersetubuh dan beribadat. Selain dari itu wanita-wanita yang berhaid tidak dipandang kotor atau hina dan tidak pula harus diasingkan daripada orang lain.

Firman Allah dalam Surah Al Baqarah, ayat 222 melarang orang lelaki [suami] menjimak isterinya ketika haid kerana perbuatan itu boleh mendatangkan penyakit bagi kedua pihak.

Nabi Muhammad telah bersabda:
“Perbuatlah olehmu akan segala sesuatu selain jimak”. Dan diriwayatkan bahawa Hizam bin Hakim pernah bertanya kepada Rasulullah s.a.w. “Apakah yang halal bagiku daripada isteriku di waktu ia dalam haid, ya Rasulullah?”
Nabi menjawab:“Bagimu barang yang di atas kain.”

Yakni, boleh diperbuat segala sesuatu selain antara pusat dan lutut, atau bercampur. Selain dari itu tidak dilarang, bagi menjaga kesihatan tubuh kedua suami isteri.

Untuk memelihara kesihatan suami isteri juga wanita-wanita yang sedang mengeluarkan darah nifas diharamkan jima’ dengan suami dan dari segi ibadat mereka dilarang sembahyang selama nifas tetapi mereka tidak wajib mengkadhaknya, kecuali puasa.

Kata Siti Aisyah r.a.: “Kami orang perempuan yang haid diperintah oleh Nabi s.a.w. mengkadhak puasa tetapi tidak diperintah mengkadhak sembahyang.”

Nabi s.a.w. bersabda: “Orang yang haid itu boleh menunaikan segenap kewajipannya [dalam amalan haji] kecuali tawaf.” – Hadith riwayat Imam Ahmad dari Siti Aisyah.

Seluruh larangan bagi orang perempuan yang sedang haid dan nifas di sisi Islam hanyalah mengerjakan sembahyang, puasa, tawaf, menyentuh dan membaca Quran serta masuk ke dalam masjid. Selain daripada itu tidak ada larangan dikenakan ke atas mereka. Bahkan menurut keterangan dari Rasulullah s.a.w. wanita yang sedang haid dianjurkan supaya bersama-sama merayakan dua hari raya dengan seluruh kaum muslimin, hanya mereka tidak dibolehkan sembahyang.

Kata Ummu Atiyyah r.a.“Rasulullah s.a.w. menyuruh kami mengeluarkan orang perempuan dari rumah mereka pada waktu hari raya fitrah dan korban, baik yang dewasa, gadis-gadis atau yang sedang haid. Wanita-wanita yang haid boleh bersama menyaksikan perhimpunan besar itu dan mendengar khutbah, tetapi mereka tidak boleh ikut mengerjakan sembahyang.”

Maka jelaslah dari kenyataan ini bahawa hukum Islam terhadap wanita yang berhaid adalah pertengahan. Larangan yang dikenakan hanya untuk memelihara kesihatan wanita yang terlibat di samping mengekalkan kesucian amalan ibadat yang mereka kerjakan.

Dalam hal ini, Islam memandang bahawa darah haid seperti suatu kotoran dari tubuh wanita yang mesti dikeluarkan bila tiba masanya seperti peluh yang mesti dikeluarkan dari lubang roma, kerana jika ia tidak keluar boleh menjejas kesihatan badan.

Menurut penyelidikan ahli kesihatan, perbuatan jima’ dengan isteri ketika haid boleh mengganggu aliran darah yang betul, membahayakan tubuh isteri dan suami dari segi kesihatan serta boleh mendatangkan penyakit.
Dalam kata lain, larangan Islam terhadap wanita yang berhaid terlepas dari pantang larang adat. Oleh itu sebarang larangan yang tidak bersumber dari Islam adalah larangan adat yang sengaja diada-adakan.

One Comment;

  1. YukisYuli said:

    Agak2 masa tengah keluar darah nifas (tapi dah kering), boleh ke m**n ngan suami. Suami lak t*******t dalam. Ngandung ke tak ye?

*

*


two × = 12

 

Top
This site is protected by WP-CopyRightPro
Read more:
Dengarlah, Renunglah Wahai Muslimah

Bak kata orang "bila dah sayang, semuanya indah belaka." Dengan perkataan lain, sesuatu yang indah itu tidak dapat diukur dengan satu alat pengukur, seperti kata...

Close