Sejarah Sekolah Menengah Sains Tengku Muhammad Faris Petra (SMSFTP)

sekolah menengah sains tengku muhammad faris petra

Dari segi fizikal, tidak banyak yang membezakannya dengan sekolah menengah lain termasuk di ceruk pedalaman Kelantan untuk ia muncul dengan identiti tersendiri.

Namun dari segi pencapaian, Sekolah Menengah Sains Tengku Muhammad Faris Petra (SMSTMFP) Pengkalan Chepa berjaya menjarakkannya dengan semua sekolah apabila berada pada kedudukan tersendiri – berdiri megah dan namanya menjulang tinggi.

Sekolah berasrama penuh (SBP) pertama di Kelantan ini kini berada sebaris dengan semua sekolah premier di negara ini yang telah merentasi sejarah yang panjang dan tradisi penuh gemilang.

Bekas pelajarnya pula cukup berbangga bercerita di mana asal dan permulaan kejayaan mereka di puncak kerjaya.

Sekolah yang mula diasaskan pada tahun 1973, memulakan penggal persekolahan pertama pada 13 Januari 1974 setelah setahun kumpulan pelajar perintisnya seramai 234 berada di tingkatan satu dengan menumpang di Sekolah Menengah Ismail Petra (SMIP) di sini.

Asalnya dinamakan Sekolah Menengah Sains Kelantan (SMSK), salah satu daripada 10 buah SBP secara percubaan pada tahun 1973 bagi memenuhi aspirasi Dasar Ekonomi Baru dalam usaha melahirkan lebih ramai profesional Melayu dalam pelbagai bidang pada masa depan.

Dengan perhatian khusus dari aspek kurikulum dan kokurikulum, sejak awal penubuhannya, dalam konteks negeri ini, SMSTMFP sememangnya menjadi sandaran mengenai tahap kecemerlangan yang boleh dicapai.

Kemuncaknya, ia muncul sebagai penerima Anugerah SBP Terbaik Keseluruhan 2007, mengatasi 55 buah sekolah dalam kelas yang sama termasuk sekolah bertaraf elit seperti Kolej Melayu Kuala Kangsar dan Sekolah Tengku Kursiah, Seremban.

Pengiktirafan tersebut bukan hanya dalam bidang kurikulum setelah kekal sebagai sekolah paling cemerlang di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia tetapi ia turut merangkumi kejayaan dalam bidang kokurikulum.

Di atas kecemerlangan yang dicatat pada setiap tahun, SMSTMFP telah disenaraikan dalam kumpulan pertama sekolah kluster pada Mac 2008 dalam usaha kementerian melonjakkan kecemerlangan sekolah dalam sistem pendidikan Malaysia ke peringkat antarabangsa.

Pengetua SMSTMFP, Kamaruddin Jaafar berkata, kejayaan mengangkat sekolah tersebut sebagai sekolah terbaik disebabkan usaha bersepadu yang berterusan dengan penglibatan semua pihak untuk melahirkan seramai mungkin anak bangsa yang berjaya.

“Tentunya resipi utama kejayaan kita adalah disebabkan oleh kepimpinan pihak pengurusan sekolah di semua peringkat dengan memberikan penekanan kepada kurikulum dan kokurikulum yang berterusan.

“Faktor kedua ialah kerja sebagai satu pasukan, kerjasama yang mantap antara guru dan penyelia, mereka semua sanggup mengorbankan masa, penuh sabar demi kejayaan pelajar kerana hanya kejayaan mereka menjadi hadiah buat kami,” katanya.

Kamaruddin berkata, usaha yang berterusan dilakukan oleh pihaknya sebagai usaha untuk menjadikan sekolah berkenaan bertaraf antarabangsa yang bukan sahaja menjadi kebanggaan negeri, malah negara.

Katanya, kewujudan sekolah kluster antara lain bagi melonjakkan kecemerlangan sekolah dalam sistem pendidikan Malaysia, membangun sekolah yang boleh dicontohi oleh sekolah dalam kelompok yang sama dan sekolah lain di luar kelompok dan menjadi showcase di peringkat antarabangsa.

“Tidak lama lagi mungkin sekolah ini akan menawarkan program peringkat antarabangsa seperti A Level, pada masa sekarang ia menuju ke arah itu (tahap antarabangsa),” katanya.

Tambahnya, kini sekolah berkenaan mempunyai 763 pelajar, dengan jumlah pelajar yang kecil ini berbanding sekolah harian biasa, guru-guru boleh memberikan perhatian terus kepada pelajar.

Bagi Kamaruddin, beliau tentunya berbangga kerana turut berada dalam rentetan sejarah SMSTMFP.

smstmfp

 

Mengimbau kembali sejarah penubuhan SMSTMFP, sekolah ini bermula dengan enam kelas tingkatan satu, dibimbing 11 guru lepasan maktab di SMIP yang mana pengetua sekolah itu, Alwi Ahmad telah ditugaskan sebagai penyelia.

Selepas itu, Mahadzir Hashim telah ditugaskan sebagai pengetua pertama sekolah berkenaan pada 16 November 1973 yang mencorakkan asas yang kukuh bagaimana sekolah terbaik harus bermula.

Teraju kepimpinan kemudian diambil alih oleh Rahmah Hussain pada penghujung 1977, disusuli Hamdan Abdul Rahman, Zakaria Puteh, Datuk Shafii Ismail, Ishak Sin, Sidi Omar Mat Jusoh, Wan Mat Tahir Abdullah, Wan Hamzah Daud.

Pada tahun 1986, SMS Kelantan bertukar nama menjadi Sekolah Tengku Muhammad Faris Petra sempena nama Tengku Mahkota Kelantan.

Pada tahun 1995 nama sekolah ditukar sekali lagi kepada Sekolah Menengah Sains Tengku Muhammad Faris Petra, sekali gus mengimbas kembali matlamat penubuhan SBP untuk meningkatkan jumlah pelajar bumiputera khususnya luar bandar dalam aliran sains.

Sumber: * Utusan Malaysia

Lain2 Artikel Menarik:

tokjogho

Mengapa Tok Jogho? Sebenarnya, Tok Jogho merupakan ketua dalam satu-satu persembahan Dikir Barat yang amat popular di Kelantan. Penggunaan nama Tok Jogho sebagai pentadbir laman web PanduanPercuma.info adalah berdasarkan fakta yang mana dalam setiap persembahan Dikir Barat, Tok Jogho merupakan nadi kepada keseluruhan persembahan di mana beliau perlu bijak mengatur kata-kata dan menyusun ayat agar persembahannya terserlah dan menarik, lain daripada yang lain. Itulah matlamat PanduanPercuma.info - ingin menjadi sebuah laman web berbahasa Melayu yang unik, penuh dengan maklumat dan informasi kepada semua.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


*