Kenapa Ibu Bapa Perlu Tahu BerFacebook

Kebaikan Facebook

“Meke tahu ke berfacebook?” Soal Man.

“Idokle teman tahu binatang ape tuh, ape paedahnya Man, boleh teman tahu sikit” Jawab Abu.

“Iye le, teman ni pun dulu idokle tahu benor berfacebook2 ni, tapi sekarang ni dah boleh la tekan-tekan komputer tu sikit, bukannye ape man, meke tahu je la dunia sekarang, anak-anak kita pun dah besor panjang, tambahan pula sekarang ni dunia facebook makin meluas-luas, nak la juge teman tahu dengan siape anak-anak teman tu berkawan, ape yang deme tulis, ape yang deme bincangkan dengan kawan-kawan deme, gambar ape yang deme letak sama ada terdedah atau tidak, dan bermacam-macam-macam lagi lah mudah kabor” Terang Man bersemangat.

 

“Aah, betui juge tu man, teman pun riso juge dengan anak-anak teman tu, tambahan pula teman ni banyak anak perempuan pulak tu, lagi riso dibuatnya, kalau teman tahu berfacebook, boleh juge teman ambil tahu dengan siape deme berkawan, ape yang deme bualkan, gambar ape yang deme letak” Balas Abu pula tanda minat.

“Selain tu jugak man, bila teman tahu berfacebook ni, macam-macam kebaikan keme(aku) boleh dapat selain memantau anak-anak keme tu, teman boleh nasihatkan deme setiap mase, boleh bace tazkirah dan nasihat daripada teman-teman, video-video agama pun banyak deme share. Mudah cakap, tak rugi kalau meke sertai facebook ni” Man menambah perisa garam lagi agar cukup rasa.

 

Perbualan petang di kedai kopi tu rase macam nak sertai perniagaan MLM sahaja lagaknya, masing-masing sudah risaukan anak-anak. Maaflah sebab guna loghat perak, al-maklumlah keme ni oghang perak kalau meke-meke nak tahu. Paham-paham ye.

 

kita kembali balik pada tajuk yang ingin kita bincangkan pada kali ini iaitu “ Mengapa ibu bapa perlu tahu berfacebook”.

Kadang-kadang aku kesian melihat ibu bapa yang bekerja keras untuk membesarkan anak-anak mereka, menyediakan cukup pakainya, memberi duit yang cukup setiap masa, memberi sepenuhnya kasih sayang dan didikan yang sempurna, kawal pergerakan anak-anak mereka agar tidak keluar rumah dengan sesedap dan sesuka hati. Ada juga ibu bapa yang pagi petang siang dan malam bekerja, tidak cukup dengan satu kerja, buat kerja part time lagi.

Semua itu disebabkan kasih dan sayang mereka yang teramat sangat terhadap anak-anaknya. Hendak cukupkan apa yang tidak cukup. Last-last apa yang anak-anak mereka balas.

Selain mereka menatang anak-anak mereka bagai minyak yang sangat penuh sampai melempah-lempah. Mereka terlepas pandang pada satu perkara yang amat penting pada era dunia kini, iaitu ‘Facebook’. Saya rasa tidak perlu saya ceritakan kisah-kisah facebook secara panjang lebar, kerana saya tahu kawan-kawan lebih memahaminya daripada saya.

Apabila aku mengamati dan menjelajahi facebook sesetengah manusia yang aku tidak kenal pun mereka sebenarnya, mungkin mereka minat terhadap fikrah barangkali atau pun saja-saja nak kenal, maka mereka pun meng ‘add’ aku di facebook. Oleh itu, dapatlah aku membaca tulisan-tulisan mereka yang penuh dengan puitis itu.

Bermacam-macam status yang aku baca saban hari, ada yang aku angguk dan ada juga yang aku geleng kepala, hampir hendak pengsan pun ada.

Macam-macam cerita sensasi ada, bergaduh dengan ‘bf’ la atau ‘gf’ la, menceritakan aib sendiri pun ada, yang banyak mengarut pun apa kurangnya, ada juga yang bergaduh di dalam facebook sebab main kayu tiga, bertukar-tukar pasangan bagaikan tukar baju saban waktu, mengorat awek/pakwe sana-sini, meletak gambar-gambar yang mendedahkan aurat, ketat dan sendat, letak status diri seperti orang sudah berkahwin, bergaul sakan antara lelaki dan perempuan, cerita nak korek hidung pun ada supaya nak menunjukkan betapa manusia sudah tidak kenal apa itu erti malu, dan banyak lagi sebenarnya apa yang berlaku di dalam facebook, aku tiada selera untuk senaraikannya lagi.

Cukuplah sekadar berdoa agar diberi hidayah dan petunjuk serta ‘remove’ mereka daripada senarai list agar aku tidak sakit jiwa lagi bila membacanya.

 

Ini ada satu cerita daripada pelajar sekolah yang aku terbaca perbualan di facebooknya.

“Kenapa ada gambar berpelukan, bukan ke belum berkahwin lagi” tegur sahabatnya barangkali.

“Biarlah, aku ada sibuk pasal hidup ko ke” balas pelajar hingusan tadi.

“Bukan apa, macam dah teruk sangat aku tengok” balas sahabatnya.

“Ko tu je yang dengki kan, mak ayah aku tak kata ape-ape pun, malah dorang merestui lagi hubungan aku dan pakwe aku” lantang pelajar itu menjawab.

 

Hampir pengsan membacanya.

Rasa marah pun ada, rasa nak menangis pun ada bila membaca perbualan tadi. Hendak sahaja menelefon mak ayahnya, betul ke pak cik dan mak cik membenarkan anak pak cik bercouple, bergaul bebas, dan berpelukan sebegini rupa.

 

Di sinilah point yang saya ingin tegaskan bahawa sebab-sebab itulah sangat penting bagi ibu bapa kenal dengan dunia ‘facebook’. Sekurang-kurangnya mereka tahu aktiviti anak-anak mereka. Walaupun tahu bahawa anak-anak mereka boleh bermain kotor dengan helah dan tektik lain. Tapi usaha itu perlu ada agar kita tidak diperbodohkan oleh anak-anak kita, dan juga modal untuk menjawab di hadapan Allah swt nanti.

Oleh itu, wajib bagi ibu bapa memantau aktiviti anak-anak mereka, kerana di akhirat kelak, mereka akan disoal bagaimana mereka menjaga amanah Allah swt. Suka kah kita hendak melihat ibu bapa yang bersusah payah membanting tulang empat keratnya dan berkorban masa, duit untuk membesarkan kita diseksa oleh Allah swt disebabkan maksiat yang kita lakukan pada saban waktu.

Sungguh sangat rugi ibu bapa itu, sia-sia sahaja melahirkan anak seperti itu. Tidak kah kita tadabbur surah al-kahfi yang kita selalu membacanya pada hari jumaat setiap minggu. Firman Allah swt yang bermaksud:

“Kemudian keduanya berjalan lagi sehingga apabila mereka bertemu dengan seorang anak, lalu ia(khidir) membunuhnya. Nabi Musa berkata:”patutkah engkau membunuh satu jiwa yang bersih, yang tidak berdosa membunuh orang? Sesungguhnya engkau telah melakukan satu perbuatan yang mungkar!” (Al-kahfi ayat 74)

Maka ia (Khidir) pula menjawab sebab hikmah apakah aku membunuhnya, firman Allah swt yang bermaksud:

“Adapun anak itu, kedua ibu bapanya adalah orang-orang yang beriman, maka aku bimbang bahawa ia akan mendesak mereka melakukan perbuatan zalim dan kufur. oleh itu, aku ingin dan berharap, supaya tuhan gantikan bagi mereka anak yang lebih baik daripadanya tentang kebersihan jiwa, dan lebih mesra kasih sayangnya”. (Al-kahfi ayat 80 dan 81)

 

Jenuhlah ibu bapa kita buat ibadat pagi dan petang, di akhirat kelak anak yang zalim akan menarik ibu bapanya ke dalam neraka Allah swt. Berfikir sejenak dan renung-renungkan lah. Moga kita jadi anak yang soleh/solehah.

 

Mungkin ada juga dalam kalangan kita yang ibu bapanya buta IT, apa salahnya kita kawal diri kita elok-elok, jaga akhlak dan perangai sebaik mungkin. Insyaallah, moga ibu bapa kita bahagia di dunia dan akhirat.

Sekadar ingin meluahkan rasa di hati, agar kualiti ummah itu terbela. Jua kerana aku amat sayangkan ibu bapa aku dan kamu.

Sumber: FikraHalaqah

Lain2 Artikel Menarik:

tokjogho

Mengapa Tok Jogho? Sebenarnya, Tok Jogho merupakan ketua dalam satu-satu persembahan Dikir Barat yang amat popular di Kelantan. Penggunaan nama Tok Jogho sebagai pentadbir laman web PanduanPercuma.info adalah berdasarkan fakta yang mana dalam setiap persembahan Dikir Barat, Tok Jogho merupakan nadi kepada keseluruhan persembahan di mana beliau perlu bijak mengatur kata-kata dan menyusun ayat agar persembahannya terserlah dan menarik, lain daripada yang lain. Itulah matlamat PanduanPercuma.info - ingin menjadi sebuah laman web berbahasa Melayu yang unik, penuh dengan maklumat dan informasi kepada semua.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


*