Adat Resam Cina Semasa dan Selepas Hamil

adat orang cina selepas hamil

Pelbagai adat resam dan pantang larang tertentu diamalkan oleh masyarakat Cina dalam aspek ini dan ia merangkumi peringkat sewaktu mengandung dan selepas lahir.

Sewaktu Mengandung

Pelbagai bentuk adat resam dan pantang larang diamalkan oleh wanita masyarakat Cina semasa mengandung dan juga selepas bersalin untuk memastikan bayi yang bakal lahir itu tidak ditimpa kejadian buruk seperti keguguran, kecacatan atau kematian. Wanita-wanita masyarakat Cina yang mengandung sentiasa diberikan kawalan ketat di dalam setiap tindak-tanduk dan kegiatan seharian mereka. Dalam masyarakat Cina ibu mertua bertanggungjawab menjaga wanita mengandung dan bukannya suami. Masyarakat Cina juga amat mementingkan anak lelaki. Ini kerana anak lelaki boleh melanjutkan keturunan mereka melalui pewarisan nama nenek moyang. Anak perempuan hanya menjadi milik ibu bapa buat sementara waktu sahaja dan apabila berkahwin, mereka dianggap menjadi milik keluarga suaminya.

Pantang Larang

Terdapat banyak pantang larang yang perlu dipatuhi semasa mengandung dan diantaranya ialah tidak dibenarkan melakukan kerja-kerja seperti memaku kerana dikhuatiri bayi yang lahir akan mengalami kecacatan. Wanita hamil juga perlu mengawal tingkah laku seperti tidak mengeluarkan kata-kata kesat dan dilarang memukul binatang. Ini bertujuan menghindari bayi dari terkena badi. Mereka juga digalakkan bekerja supaya mudah bersalin. Sebarang konflik atau perselisihan perlu dihindari supaya kandungan tidak mengalami sebarang gangguan. Memberi nama kepada bayi yang belum lahir semasa mengandung juga adalah antara pantang larang dalam masyarakat Cina. Ini adalah untuk mengelakkan perasaan kecewa bila harapan tidak tercapai. Selain itu wanita hamil tersebut tidak digalakkan terlalu kerap menggosok perut mereka kerana bayi yang lahir kelak akan mempunyai sifat yang manja. Dari segi penjagaan makanan, wanita yang hamil dilarang sama sekali makan makanan yang tajam seperti nenas dan mangga serta tidak digalakkan makan banyak kerana ditakuti bayi akan menjadi besar dan ini akan membuatkan ibu sukar untuk bersalin. Untuk menentukan samada kandungan itu lelaki atau perempuan, maka masyarakat Cina melihat bentuk perut wanita yang hamil, terutama apabila kandungan berusia empat bulan ke atas. Jika perut ibu agak bulat, bayi yang dikandung adalah perempuan dan sebaliknya lelaki jika perut kelihatan tajam.

adat orang cina selepas hamil 380x285 Adat Resam Cina Semasa dan Selepas Hamil

Selepas Lahir

Adat-adat berikut diamalkan oleh masyarakat Cina selepas melahirkan bayi.

Berpantang

Wanita-wanita Cina yang baru melahirkan anak terpaksa berpantang selama empat puluh hari hari. Ibu tidak dibenarkan mandi air sejuk kerana dibimbangi masuk angin. Pusat bayi yang baru dilahirkan diikat dan dililit dengan sehelai kain pada perutnya. Ini bertujuan untuk mengelakkan perut bayi dimasuki angin dan untuk mengeringkan tali pusat. Pusat bayi yang tenggelam ke dalam adalah petanda bagi masyarakat Cina. Anak tersebut dipercayai akan menjalani kehidupan yang senang pada masa depan.

Manakala pusat yang tersembul dikaitkan dengan hidup yang kurang baik. Bayi yang baru lahir selalu diperhatikan bentuk fizikalnya oleh orang-orang tua. Mereka akan mengaitkan telinga yang lebar dan tebal sebagai bakal menjalani kehidupan yang kaya. Masyarakat Cina mempercayai sekiranya terdapat lebih daripada satu pusar di atas kepala, bayi akan menjadi nakal dan tidak mendengar kata.

Dari segi pemakanan, masyarakat Cina menggunakan sejenis arak yang dibuat daripada beras yang diperam dalam masakan mereka. Arak tersebut dimasukkan bersama-sama ayam, halia dan lada, kemudiannya digoreng. Masakan panas dan pedas ini dipercayai dapat mengeluarkan angin daripada badan wanita yang bersalin disamping menguatkan semula tenaga.

Kenduri

Seperti masyarakat Melayu, masyarakat Cina juga turut mengadakan kenduri iaitu apabila bayi mencapai umur sebulan. Kuih khas yang berbentuk bulat berwarna merah dan kuning yang berintikan kacang dan tau su serta telur yang diwarnai merah kemudiannya diberikan kepada saudara-mara yang terdekat. Mereka yang mendapat kuih dan telur ini akan membalasnya dengan membawa hadiah berupa pakaian bayi dan pati ayam untuk ibu-ibu.

Mencukur Rambut

Seperti masyarakat Melayu, masyarakat Cina juga mengamalkan adat mencukur rambut Mereka mencukur rambut bayi kerana beranggapan rambut bayi yang dilahirkan adalah rambut sementara. Rambut yang tumbuh semasa dalam kandungan perlu dicukur untuk menumbuhi rambut baru. Adat ini sebagai pengiktirafan terhadap kelahiran orang baru ke dalam masyarakat.

Memberi Nama

Nama orang Cina terdiri dari 3 perkataan yang dimulai dengan nama keluarga. Patah kata kedua mewakili nama segenerasi di kalangan adik-beradik dan sanak-saudara. Nama ketiga pula merupakan nama bagi panggilan diri sendiri. Sistem nama yang baik perlu mengambil kira makna , unsur Yin dan Yang serta dibuat mengikut perhitungan matematik Cina. Terdapat lima aspek penting yang perlu diberi perhatian dalam memberi nama bayi yang baru lahir.

  1. Nama yang diberi haruslah mengandungi maksud yang baik seperti lambang kekayaan, kemewahan dan kesejahteraan.
  2. Bunyi nama mestilah sedap didengar.
  3. Nama mestilah dibuat berdasarkan kiraan matematik iaitu angka yang terhasil tidak bertentangan dan seelok-eloknya sepadan.
  4. Nama yang diberikan patut mempunyai timbangan unsur Yin dan Yang yang sama berat.
  5. Nama mestilah mempunyai lima unsur iaitu emas, air, api, tanah dan kayu serta saling melengkapi.

Oleh yang demikian, nama seseorang bayi harus disusun secara seimbang yang mengandungi unsur Yin dan Yang. Kegagalan memberikan nama yang baik juga akan mempengaruhi perjalanan hidup seseorang, samada akan ditimpa kecelakaan atau mendapat kesejahteraan.

Kerumitan orang Cina memilih nama yang sesuai untuk seseorang bayi kadangkala menyebabkan mereka mengambil masa yang agak lama, khususnya bagi mereka yang masih terikat dengan adat yang terpaksa merujuk kepada kitab-kitab tertentu.

Kepentingan adat resam di dalam hidup masyarakat tidak kira apa bangsa sekalipun tidak dapat dinafikan. Adat yang merangkumi seluruh aspek bermula dari kelahiran, perkahwinan sehinggalah kematian terdapat di dalam hidup semua masyarakat di Malaysia. Adat resam merupakan kebiasaan cara hidup yang diamalkan oleh sesuatu masyarakat yang dapat menggambarkan corak budaya masyarakat tersebut.

*

*


1 × one =

 

[corner-ad id=1]
Top This site is protected by WP-CopyRightPro
Read more:
kursushaji.jpg
Jadual Kursus Asas Haji 2014

Assalamualaikum wbt. Wukuf pada tahun ini pada hari Sabtu 4 Oktober 2014 (9 Zulhijjah 1435H). Berikut adalah perkongsian jadual Kursus Asas Haji di mesjid terpilih...

Close