Terapi Ulat: Kaedah Rawatan Penyakit Kencing Manis

Pernahkah anda mendengar dengan kaedah rawatan Terapi Ulat untuk pesakit kencing manis atau diabetes? Walaupun kaedah ini dilihat amat menjijikkan dan kadangkala agak mahal, kerana kos ulat yang dipelihara untuk memakan saki-baki luka akibat kencing manis yang reput, namun ianya dikatakan amat berkesan mengurangkan hasil kesan luka luaran.  SEKARANG saya boleh buat kerja lasak dan berjalan. Mungkin terapi ini membantu saya,” ujar seorang pesakit diabetes, Farawahida Mohamad Yusof, 44.

Bagi sebahagian masyarakat ulat adalah sesuatu yang menggelikan.

kn 01.1 Terapi Ulat: Kaedah Rawatan Penyakit Kencing Manis

Terapi Ulat berkesan merawat pesakit kencing manis

 

Namun, terapi ulat atau Maggot Debridement Therapy (MDT) ini perlu dikongsi sebagai sumber maklumat pesakit-pesakit kencing manis yang mempunyai luka-luka yang sukar sembuh di luar sana.

Terdapat empat asas terapi ulat ini, ia membersihkan luka, membasmi kuman, merangsang penyembuhan luka, merosak dan menghalang pembuatan biofilem.

Seperti kes Farawahida, dia mengalami luka yang teruk sebelum melakukan rawatan ulat.

Lukanya berair dan lembap. Farawahida sukar bergerak dan selepas pembedahan, dia banyak bergerak menggunakan kerusi roda.

Berbekalkan sedikit duit, dia mencuba nasib dengan melakukan rawatan ulat di sebuah klinik swasta di Jalan Tenggiri, Seksyen 17, Shah Alam, Selangor.

Selepas mencuba rawatan untuk pertama kali, lukanya semakin kering.

“Selepas dua hari, anak saya pimpin ke klinik. Banyak ulat keluar. Pada awal rawatan, saya berasa geli juga. Seolah-olah ada benda bergerak. Tetapi melihat hasilnya, saya yakinulat ini boleh menyembuhkan luka selain menggunakan rawatan lain seperti ubat dan sebagainya,” jelas ibu kepada empat orang anak ini.

Menurut Ketua Unit Entomologi Perubatan Pegawai Penyelidik Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), Dr. Lee Han Lim, penggunaan ‘ulat lalat’ di Malaysia untuk tujuan perubatan adalah yang pertama setakat ini.

“Kajian mengenai kaedah ini telah dijalankan oleh IMR. Spesies ulat lalat yang digunakan itu adalah dari jenis Lucilia cuprina iaitu lalat tempatan, manakala di negara-negara Barat, spesies yang digunakan dikenali sebagai Lucilia sericata. Kedua-dua spesies ini telah dikenal pasti berkesan dalam merawat luka kronik yang sukar sembuh.

IMR telah membuat kajian mengenai ulat lalat ini dan menemui satu spesies berlainan dengan yang terdapat di Eropah, ia dikenali sebagai Lucilia cuprina yang dapat memainkan peranan dalam menyembuhkan luka”, ujar beliau.

Tambah Dr. Han Lim, penyelidikan ini telah menerima peruntukan daripada Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi pada tahun 2002. Pada mulanya kami mengenal pasti jenis lalat yang sesuai yang boleh diguna untuk terapi ini.

“Bukan semua jenis lalat boleh digunakan. Spesies lalat yang hanya akan memakan tisu yang nekrotik (reput) boleh diguna. Ada sesetengah spesies yang memakan tisu hidup. Apabila tisu hidup diserang fenomena ini dinamakan sebagai myiasis. Spesies seperti ini tidak sekali boleh diguna untuk rawatan ini.

Selepas kita sudah kenal pasti lalat, kemudian kita kena biarkan lalat itu membiak dalam makmal dengan menggunakan bahan yang sesuai untuk dapatkan pembiakan yang optimum. Ini juga merupakan salah satu aspek penyelidikan kerana bermacam-macam bahan telah diguna untuk mendapat hasil yang terbaik,” ujarnya.

Sementara itu, Pegawai Penyelidik IMR, Dr. Nazni Wasi Ahmad, berkata, spesies lalat yang digunakan di Malaysia ialah spesies Lucilia cuprina manakala di barat ialah Lucilia sericata.

“Spesies lalat ini boleh hidup di negara beriklim sederhana sahaja. Teknik mensterilkan larva yang merupakan teknik yang penting adalah berbeza dari luar negara. Objektifnya adalah sama iaitu membasmikan kuman-kuman yang ada pada ulat lalat. yang membezakan kuman-kuman di ulat dan juga kaedah mengklon lalat,” katanya. Ulat lalat yang digunakan terhadap pesakit mesti melalui proses pensterilan iaitu tidak ada kuman pada ulat lalat ini

Dr. Nazni menambah, terapi ini telah diamal di Malaysia sejak tahun 2003 apabila mendapat peruntukan daripada Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi.

Tambah beliau, pada Mei 2003, percubaan klinikal yang pertama dijalankan di Hospital Tentera di Lumut.

“Terapi ini baru bermula di Malaysia kerana kita perlu mengkaji banyak isu-isu pengunaan terapi ini sebelum boleh digunakan kepada pesakit. Kelulusan etika perubatan adalah sangat penting sebelum ia dilaksana kepada pesakit,” katanya.

Dr. Nazni menambah, proses mendapatkan larva yang steril mengambil masa dua hari. Penyakit-penyakit yang boleh menggunakan terapi ulat ialah ulser yang disebabkan kencing manis (diabetes), bedsore ulcer, pressure wound dan ulser disebabkan kanser.

“Disebabkan ulat (daripada lalat) telah disteril, ia selamat diguna. Mekanisme tindak balas ulat terhadap tisu yang dicadang ialah ulat merembes sejenis enzim proteolitik yang mencairkan tisu-tisu nekrotik, faktor ulat menginges (memakan) tisu-tisu reput dan kehadiran ulat pada luka mempengaruhi pembasmian bakteria daripada luka-luka.

Selain itu, rembesan cecair daripada ulat menukar pH luka, bakteria yang dimakan oleh ulat biasanya dimusnahkan dalam saluran perut, rembesan cecair daripada ulat mempengaruhi penyembuhan luka sembuh dengan pantas dan tindak balas pergerakan ulat di atas luka menyebabkan stimulasi pembentukan tisu baru,” katanya.

Dr. Nazni memberitahu, ulat ini bebas daripada kuman. Penggunaan terapi ulat telah menunjukkan bahawa ulat lalat boleh membersihkan luka daripada bakteria jenis Gram- positif dan Gram- negatif, bakteria jenis aerobik dan anaerobik.

“Ulat lalat biasanya dengan pantas dapat membersihkan tisu-tisu nekrotik dan membolehkan terbentuknya tisu baru yang sihat. Malahan faktor yang paling utama ialah ulat dapat digunakan dengan mudah ke atas tisu-tisu yang parah” ujarnya.

Ditanya adakah rawatan ini menggelikan pesakit, Dr. Nazni menjelaskan, setakat ini pesakit memang setuju dan tiada reaksi sebaliknya dengan penggunaan terapi ulat.

“ Lebih-lebih lagi mereka inginkan terapi ini daripada kaki mereka dipotong. Kita harus menyedari bahawa kos bagi insan yang kehilangan sebahagian anggota badan mereka tidak mungkin dapat dinilai. Ini adalah kos sosial misalnya, insan-insan yang tidak mempunyai kaki akan menjadi beban kepada keluarga dan negara. Ini secara tidak langsung mempengaruhi ekonomi negara,” jelasnya.

Merawat luka kronik

Dalam pada itu, Pengurus Edaran Arif Medik Sdn. Bhd., Mohd. Ashraf Kamarul Zaman, yang juga pengurus projek Maggot Debridement Therapy berkata, syarikat Medical Biotheraphy Sdn. Bhd., anak syarikat Edaran Arif Medik, telah pun mendapat hak eksklusif daripada IMR untuk memasarkan ulat-ulat tersebut bermula Disember 2008 di negara ini.

Kini ia dipasarkan di hospital, klinik dan pusat yang berdaftar.

Mohd Ashraf memberitahu, ulat lalat ini mampu membantu merawat luka kronik yang dialami oleh manusia.

Contohnya pesakit diabetes apabila mempunyai luka yang kecil mudah merebak, membesar dan payah untuk sembuh.

Kesukaran pesakit diabetik sembuh daripada luka pula adalah disebabkan terdapatnya tisu mati yang menyebabkan peredaran darah menjadi terbantut dan jangkitan senang berlaku,” katanya.

Ulat-ulat berkenaan berfungsi dengan memakan tisu yang sudah mati dan apabila menjumpai tisu yang hidup ulat-ulat itu akan berhenti daripada memakan bahagian tersebut.

Namun, proses untuk menyembuhkan luka pesakit bergantung kepada tahap teruk luka yang dialami pesakit.

“Kalau luka di peringkat awal, ada tisu mati, kita letak ulat (larva) ini selama 48 jam, iaitu hanya sekali penggunaan. Maksudnya jika kita letak ulat itu hari ini, lusa baru kita akan buka (balutan).

Penggunaan ulat ini dalam penyucian luka memang bagus kerana ulat lalat ini mempunyai enzim yang mampu untuk mempercepatkan penumbuhan tisu,” jelasnya.

Mohd Ashraf menjelaskan, selain penggunaan ulat lalat ini bukan sahaja tertumpu pada pesakit kencing manis. Ia juga penawar untuk luka-luka lain seperti luka akibat kemalangan, kebakaran dan seumpama.

Kaedah rawatan ulat ini tidak boleh digunakan bagi mereka yang baru mengalami luka dalam kemalangan, cuma bagi pesakit yang mempunyai tisu yang mati sahaja.

Bagi mereka yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulat lalat ini bolehlah menghubungi Edaran Arif Medik di talian 03-61891042 ataupun melayari laman web Http://sterilarvae.com.

 

Sumber: * Utusan Malaysia

4 Comments

  1. Hasnizar2 said:

    saya perlukan no phone segera untuk keterangan lanjut 013-7860713 sangat2 urgent

  2. ieza said:

    Erm… sy cari semula info pasal ulat lalat nie utk someone yg memerlukannya. First time dlu cari utk my sis iaitu nama org yg anda siarkan. So far! my sis dh ok..:D. Satu Kaedah alternatif yang agak menggelikan tetapi sangat berguna utk mereka yang memerlukan..:D

    • suhaila ismail said:

      Di daerah Johor Bahru ada bukak tak pusat rawatan

*

*


one + = 10

 

[corner-ad id=1]
Top
This site is protected by WP-CopyRightPro