Tips Berpuasa Untuk Pesakit

tips puasa untuk pesakit

PEMAKANAN pada bulan Ramadan untuk mereka yang anda kasihi, khasnya yang sudah berumur atau mereka yang sedang beransur pulih merupakan sesuatu yang agak mencabar.

Walau bagaimanapun, pemakanan yang seimbang bukanlah sukar dicapai sekiranya kita mengamalkan tabiat makan berikut.

Panduan berguna yang perlu diingati semasa Ramadan

* Minum air yang mencukupi di antara waktu berbuka dan sebelum tidur serta waktu sahur untuk mengelakkan kekurangan air dalam badan/dehidrasi.

Minumlah dengan banyak sekurang-kurangnya lapan gelas sehari untuk menggantikan air yang hilang. Jika tidak, tubuh boleh berasa letih dan tidak bermaya. Pastikan waktu makan dan snek disertai dengan air sebanyak satu hingga dua gelas.

* Ambil sayur-sayuran yang mencukupi semasa makan. Pengambilan buah-buahan digalakkan selepas makan

* Elakkan pengambilan makanan yang mengandungi kandungan gula yang tinggi seperti kuih-muih dan pencuci mulut yang manis atau minuman bergula

* Elakkan makanan yang terlalu berempah atau pedas sekiranya mengalami masalah gastrik

* Kurangkan pengambilan minuman berkafeina seperti kola, kopi dan teh. Kafeina boleh bertindak seperti diuretik dan boleh menyebabkan pembuangan air yang berlebihan dan boleh mengakibatkan badan kekurangan air dan garam.

Pengurangan kafeina ini boleh dilakukan dengan perlahan-lahan sebelum bulan Ramadan untuk mengelakkan gejala seperti sakit kepala dan perilaku atau mood yang tidak menentu.

* Merokok adalah salah satu faktor risiko beberapa penyakit seperti kanser dan juga penyakit koronari.

Bulan Ramadan adalah waktu yang baik untuk individu yang menghisap rokok supaya berhenti berbuat demikian. Menghisap rokok boleh meninggalkan kesan negatif kepada proses ######bolisme di dalam badan.

* Jangan lupa untuk membersihkan mulut dengan memberus gigi sebelum tidur dan selepas bersahur untuk kesihatan gigi yang baik

* Mengekalkan berat badan yang sesuai amat penting untuk kesihatan. Individu yang mempunyai berat badan yang rendah atau kurang tidak digalakkan untuk kehilangan berat badan lagi.

Pengambilan makanan yang tidak mencukupi, akan mengakibatkan pengurangan berat badan. Sebaik-baiknya individu berkenaan sentiasa menimbang berat badan.

* Elakkan pengambilan makanan yang berlebihan sewaktu makan sahur juga

* Digalakkan untuk terus melakukan aktiviti-aktiviti riadah dan senaman walaupun berpuasa. Contoh senaman yang boleh dilakukan seperti berjalan atau regangan.

Adalah amat penting untuk mempraktikkan pengurusan masa yang baik agar dapat melakukan ibadah, bekerja atau belajar dan juga melakukan aktiviti fizikal pada hari yang sama.

Masalah yang sering dihadapi pada bulan Ramadan

* Sembelit

Penyebabnya adalah pengambilan makanan yang diproses dengan terlalu banyak, air yang tidak mencukupi dan juga kekurangan serat diet. Memburukkan keadaan adalah pengurangan aktiviti fizikal secara mendadak.

Ia dapat dielakkan dengan minum air yang mencukupi pada sebelah malam, mengambil makanan yang mengandungi serat yang tinggi dan mengurangkan makanan yang telah diproses.

Buah-buahan, sayur-sayuran dan bijirin penuh sering diabaikan semasa bulan Ramadan.

* Salah penghadaman dan kembung perut

Ia boleh disebabkan oleh makan terlalu banyak dan mengambil makanan yang berminyak, makanan berempah dan makanan yang banyak mengeluarkan gas seperti kacang dal, kubis ataupun minuman bergas.

Boleh dielakkan dengan mengambil makanan dengan tidak terlalu banyak pada satu-satu masa. Untuk individu yang sensitif, makanan yang boleh menyebabkan angin perlulah dielakkan.

* Tekanan darah yang rendah

Berpeluh dengan berlebihan, badan yang lemah, pening dan rasa seperti mahu pitam terutamanya apabila bangun dari tempat duduk. Ia kerap berlaku pada sebelah petang.

Puncanya adalah pengambilan air dan garam yang tidak mencukupi.

Pesakit darah tinggi perlulah memeriksa tekanan darah apabila mengalami tanda-tanda berkenaan. Ada kalanya ubat tekanan darah tinggi perlu diubah dosnya dengan nasihat doktor.

* Sakit kepala

Boleh berlaku apabila mengalami withdrawal daripada pemberhentian kafeina ataupun rokok secara mendadak.

Punca lain ialah tidur atau rehat yang tidak mencukupi. Ia juga akibat terlalu lapar sekiranya keadaan ini berlaku menghampiri waktu berbuka.

Oleh itu pengambilan minuman berkafeina perlulah dikurangkan dengan perlahan-lahan sebelum bulan Ramadan lagi dan diganti dengan teh atau kopi yang tidak mengandungi kafeina.

* Gula darah rendah (hipoglisemia)

Tanda-tanda yang boleh dialami adalah seperti lemah, pening, tidak dapat menumpukan perhatian dan sakit kepala.

Sekiranya individu berkenaan bukan pesakit diabetes, ia mungkin disebabkan pengambilan karbohidrat ringkas yang berlebihan seperti gula pada waktu makan sahur. Ini kerana reaksi badan yang akan mengeluarkan lebihan insulin dan menyebabkan gula darah menurun.

Untuk mengelakkan masalah ini berlaku, makan dengan sederhana sewaktu sahur dan mengelakkan pengambilan gula ringkas yang berlebihan.

* Ketegangan otot

Kekurangan pengambilan makanan tinggi kalsium, magnesium dan kalium. Boleh dielakkan dengan memastikan pengambilan makanan yang mengandungi mineral berkenaan, contohnya sayuran, hasil tenusu, daging dan juga kurma.

Pesakit yang mengambil ubat tekanan darah tinggi dan juga yang mengalami penyakit batu karang perlulah meminta nasihat doktor terlebih dahulu.

* Ulser peptik dan gastrik

Peningkatan paras asid dengan perut yang kosong boleh memburukkan keadaan berkenaan. Tanda yang boleh dirasai adalah rasa sakit atau rasa panas terbakar dari dalam perut, dari bawah rusuk dan boleh dirasai hingga ke anak tekak.

Makanan berempah, pedas dan minuman berkafeina seperti kopi dan kola boleh menyebabkan keadaan ini berlaku. Terdapat ubat antiasid yang boleh mengawal keadaan ini.

Oleh itu individu yang mengalami masalah sedemikian perlulah berjumpa doktor sebelum Ramadan bermula.

* Batu karang

Penyakit batu karang boleh berlaku apabila kurang pengambilan cecair. Oleh itu, sangat penting untuk memastikan pengambilan cecair yang mencukupi daripada air ataupun sup pada sebelah malam.

* Sakit sendi

Semasa Ramadan, solat sunat tarawih dan solat sunat tambahan lain yang dilakukan akan memberikan kesan kepada sendi. Di kalangan warga tua atau bermasalah radang sendi (atritis), boleh mengalami kesakitan, kejang, bengkak dan rasa yang tidak selesa.

Senaman terutamanya untuk kaki sangat penting malah baik dilakukan sebelum bulan Ramadan untuk membiasakan diri dengan aktiviti fizikal tambahan ini. Dengan tubuh yang cergas dan sihat akan lebih mudah untuk mengamalkan solat sunat ini.

Garis panduan untuk pesakit diabetes atau kencing manis
Sebelum berpuasa pada bulan Ramadan, pesakit diabetes digalakkan untuk melakukan beberapa perkara seperti:

* Mengawal paras glukosa darah supaya diabetes berada dalam keadaan yang terkawal. Diabetes yang tidak dikawal dengan baik boleh menyebabkan pembuangan air kencing yang berlebihan disebabkan oleh kandungan gula yang tinggi dalam darah. Ini akan menyebabkan tubuh mengalami kekurangan air.

* Menjalani pemeriksaan dan berbincang dengan doktor serta meminta nasihat berkenaan dengan rejimen ubat-ubatan ataupun insulin yang sesuai dan juga dos yang perlu diambil semasa berpuasa

* Berjumpa dengan perunding dietetik dan meminta nasihat pemakanan yang sesuai dengan ubatan ataupun insulin yang digunakan

* Pesakit digalakkan berpuasa sunat untuk menyesuaikan diri dengan ubat-ubatan yang diambil sebelum bulan Ramadan lagi

Pada masa yang sama, mereka digalakkan untuk menguji darah bagi melihat paras glukosa dan cuba menyesuaikan dos ubat atau insulin dengan diet yang betul

* Mereka juga mesti boleh mengenal pasti gejala-gejala dehidrasi, hipoglisemia (paras gula dalam darah yang rendah) dan hiperglisemia (paras gula darah tinggi) serta lain-lain komplikasi.

Ubat-ubatan oral

Bagi pesakit yang tidak bergantung kepada suntikan insulin dan mengalami masalah lebihan berat badan, ibadah puasa dapat membantu mengurangkan berat badan.

Elakkan daripada makan secara berlebihan terutamanya makanan yang berkalori tinggi dan manis seperti kuih-muih, air dan juga bubur manis.

Makanan yang digalakkan adalah jenis yang mempunyai kandungan serat yang tinggi, rendah lemak dan karbohidrat yang lambat dihadamkan. Ini untuk membekalkan tenaga yang dalam jangka masa yang panjang dan berfungsi lebih baik untuk menahan lapar.

Senaman ringan dan sederhana tidak berbahaya untuk dilakukan pada bulan Ramadan sekiranya tidak mengalami sebarang komplikasi dan mengikut nasihat doktor.

Insulin

Pesakit yang bergantung kepada insulin akan memerlukan kawalan dan penjagaan yang lebih ketat.

Mereka perlu memantau paras glukosa darah mereka sebelum dan selepas berbuka, sebelum dan selepas sahur, untuk memastikan mereka tidak mengalami hipoglisemia.

Secara amnya, peraturan pemakanan semasa hari-hari biasa masih perlu dipatuhi pada bulan Ramadan.

Pengambilan makanan yang berlebihan semasa berbuka dan memakan makanan berkarbohidrat dan berlemak terlalu banyak boleh menyebabkan hiperglisemia dan kenaikan berat badan.

Adalah disarankan agar keadaan seumpama ini dapat dielakkan dengan mengambil makanan pada waktu berbuka dan diikuti oleh hidangan ringan selepas sembahyang maghrib dan kemudiannya snek malam selepas sembahyang tarawih. Waktu makan sahur juga penting untuk pesakit diabetes.

Related posts

*

*


6 + = seven

 

Top
This site is protected by WP-CopyRightPro
Read more:
rss_reader_logo
RSS Reader Mudahkan Anda Membaca 100 Blog Serentak

Anda gemar membaca blog tapi kesuntukan masa? Masa adalah emas bukan? Begitu juga dengan maklumat. Mulai hari ini anda tidak perlu risau lagi kerana saya...

Close