Jisim Tulang Merosot

osteoporosisIBU BAPA dinasihat mengurangkan sikap memanjakan anak dengan membeli pelbagai permainan elektronik atau perisian komputer yang menyebabkan mereka leka dan akhirnya terperap di dalam rumah sepanjang hari.

Bahkan, tindakan sesetengah ibu bapa yang menaruh harapan terlalu tinggi kepada anak untuk menjadi pelajar cemerlang sehingga mereka dibebankan dengan bermacam kelas tambahan sehingga tiada masa untuk bermain juga boleh menjejaskan kesihatan kanak-kanak.

Dunia kanak-kanak sepatutnya diisi dengan kehidupan yang riang dan aktif. Bermain dengan rakan sebaya, berbasikal dan berlari saling kejar mengejar adalah sebahagian daripada proses penting dalam proses pembinaan jisim tulang.

Ketika usia ini proses pembinaan tulang paling cepat berlaku sehingga seseorang individu baligh. Kegiatan aktif pada zaman kanak-kanak dan remaja di samping pemakanan seimbang serta mendapat sumber kalsium secukupnya membantu seseorang mencapai jisim tulang yang optimum.

Jisim tulang kita terus bertambah sehingga berumur 30 tahun. Selepas umur ini, jisim tulang merosot perlahan-lahan. Maknanya tulang mulai hilang ketumpatannya dan lama kelamaan boleh mengakibatkan masalah tulang reput atau osteoporosis.

Walaupun osteoporosis biasanya berlaku di kalangan wanita, ia masih boleh terjadi kepada lelaki. Wanita perlu mengambil langkah berjaga-jaga kerana mereka berisiko empat kali lebih tinggi untuk mengalami osteoporosis yang diakibatkan:

l Tulang wanita yang lebih kecil dan nipis.

l Kekurangan hormon estrogen, terutama selepas menopaus. Kajian mendapati wanita boleh kehilangan jisim tulang sehingga 20 peratus dalam lima hingga tujuh tahun pertama selepas menopaus disebabkan penurunan paras hormon estrogen.

Untuk mencegah masalah ini, penjagaan tulang perlu dilakukan sejak muda dengan memastikan mendapat bekalan kalsium harian yang mencukupi melalui pemakanan seimbang dan mengambil banyak sumber kalsium.

Kalsium adalah garam galian yang penting untuk gigi, tulang, rambut dan kulit. Ia juga garam galian yang paling banyak dalam badan manusia dan simpanan kalsium paling banyak ialah di tulang dan gigi (99 peratus) iaitu dalam bentuk garam kalsium fosfat. Baki satu peratus lagi ada dalam sel saraf, darah, tisu dan cecair badan yang lain.

Tulang kita adalah struktur yang hidup, mengalami kehilangan dan pembentukan tisu sepanjang masa; dan kalsium diperlukan bagi memastikan proses ini dapat dikekalkan.

Proses ini lebih ketara ketika pembentukan gigi dan tulang (untuk bayi dalam kandungan), wanita mengandung dan menyusukan anak, tumbesaran (pada kanak-kanak sehingga baligh).

Kalsium bukan hanya untuk tulang dan gigi, malah turut diperlukan supaya badan dapat menjalankan fungsi lain seperti pembekuan darah, penghantaran maklumat pada saraf, aktiviti otot, degupan jantung, merangsang pengeluaran hormon dan aktiviti enzim.

Kalsium juga sangat diperlukan untuk mengawal tekanan darah. Kajian menunjukkan pengambilan makanan yang kaya kalsium dapat memperbaiki kawalan tekanan darah tinggi dengan berkesan dan cepat.

Ini sebabnya jika bekalan kalsium harian tidak mencukupi, badan mengambil kalsium daripada tulang supaya boleh berfungsi dengan baik. Jika kita mengamalkan diet kurang kalsium, lama kelamaan badan mengalami masalah kekurangan kalsium.

Pakar pemakanan, Ingrid Pilz, berkata badan kita mengalami kehilangan kalsium setiap hari melalui perkumuhan (peluh dan najis), membaiki serta menggantikan tisu dan ia mesti diganti semula.

“Malangnya, kajian menunjukkan kebanyakan orang Asia tidak mendapat bekalan kalsium harian yang mencukupi. Keperluan kalsium ditentukan melalui keseimbangan kalsium yang diserap daripada makanan dengan kalsium yang hilang melalui proses perkumuhan dan pembaikan tisu.

“Keperluan kalsium berbeza mengikut peringkat umur. Secara umumnya wanita mengandung, menyusukan anak dan warga tua memerlukan lebih banyak kalsium. Kanak-kanak dan remaja juga memerlukan banyak kalsium supaya pertumbuhan tulang berlaku dengan lebih baik,” katanya.

Pilz berkata, susu dan produk tenusu membekalkan banyak kalsium. Setiap hari kita disaran mengambil dua hingga tiga hidangan produk tenusu.

Segelas susu 200 mililiter bersamaan dengan satu hidangan dan jika kita minum dua atau tiga gelas susu sehari bermakna kita mendapat bekalan kalsium yang cukup.

Bagaimanapun, wanita yang tidak gemarkan susu boleh mendapat bekalan kalsium daripada sayur-sayuran seperti bayam, brokoli, kubis Cina, ikan bilis, sardin (dalam tin) dan kekacang (contohnya air soya dan produk dari kacang soya).

Bekalan kalsium juga boleh didapati daripada pil makanan tambahan. Ketahui keperluan anda (berdasarkan Jadual 1) dan bandingkan kandungan kalsium dalam sebiji pil bagi memastikan anda mendapat bekalan yang cukup setiap hari.

Namun, menjaga pemakanan saja belum mencukupi untuk mendapat tulang kuat. Pengukuhan tulang boleh dilakukan dengan mudah melalui perubahan gaya hidup.

Artikel ini ditulis oleh: NORLAILA HAMIMA JAMALUDDIN

sumber: http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Sunday/Sihat/20070729092924/Article/index_html

Lain2 Artikel Menarik:

tokjogho

Mengapa Tok Jogho? Sebenarnya, Tok Jogho merupakan ketua dalam satu-satu persembahan Dikir Barat yang amat popular di Kelantan. Penggunaan nama Tok Jogho sebagai pentadbir laman web PanduanPercuma.info adalah berdasarkan fakta yang mana dalam setiap persembahan Dikir Barat, Tok Jogho merupakan nadi kepada keseluruhan persembahan di mana beliau perlu bijak mengatur kata-kata dan menyusun ayat agar persembahannya terserlah dan menarik, lain daripada yang lain. Itulah matlamat PanduanPercuma.info - ingin menjadi sebuah laman web berbahasa Melayu yang unik, penuh dengan maklumat dan informasi kepada semua.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


*