Fakta Tentang Demam dan Demam Selsema

demam selsema dan risikionya

Hampir semua individu akan mengalami demam semasa hayat mereka dan demam selsema dan risikionyaia merupakan masalah yang sangat biasa dialami semua orang terutama kanak-kanak. Demam adalah satu gejala dan bukannya penyakit. Ia ditunjukkan sebagai suhu badan yang meningkat luar biasa tinggi. Ia merupakan tanda meningkatnya nilai sasaran termoregulator (pengawalan suhu) badan. Sebenarnya ia adalah salah satu cara badan anda melawan penyakit.

Apakah suhu badan yang normal dan abnormal (luar biasa)?

Purata suhu badan yang normal ialah 36.7 0C (julat 36-37.4 0C). Suhu normal di bahagian rektum atau faraj ialah 0.5-1.0 0C lebih tinggi daripada suhu oral (di dalam mulut). Manakala suhu normal ketiak adalah lebih rendah 0.5-1.0 0C berbanding suhu oral. Suhu rektum pula adalah lebih tepat jika dibandingkan dengan suhu oral.

Oleh itu, demam secara amnya merujuk kepada suhu oral melebihi 37.8 0C, suhu rektum melebihi 38.3 0C atau suhu ketiak yang lebih tinggi daripada 37 0C.

Bagaimanapun, suhu badan yang normal berbeza-beza mengikut umur individu, tekanan fizikal dan emosi yang dihadapi, suhu persekitaran, waktu dan bahagian anatomi tempat suhu diambil.

Mengapa perlu memahami demam?

Kita sepatutnya mengambil berat mengenai gejala demam ini kerana ia boleh memberi maklumat penting tentang perubahan status klinikal pesakit dan kehadiran sesuatu penyakit terutamanya jangkitan kuman. Walau bagaimanapun, darjah peningkatan suhu tidak semestinya menggambarkan keterukan sesuatu penyakit.

Secara amnya, demam sebagai tindak balas kepada sesuatu keadaan/penyakit adalah lebih ketara berlaku di kalangan kanak-kanak berbanding orang dewasa. Ia juga lebih merisaukan apabila berlaku di kalangan kanak-kanak.

Apabila suhu meningkat lebih daripada 40 0C, rawatan gejala mungkin perlu dilakukan terutama jika ianya berpanjangan. Tetapi jika suhu melebihi 41 0C, demam yang dialami boleh dianggap sebagai kes kecemasan perubatan.

Bagaimana suhu disukat?

Sesiapa sahaja boleh menyukat suhu dengan menggunakan termometer yang bersesuaian. Semasa sakit, termometer yang sama patut digunakan kerana ketepatan termometer berbeza-beza mengikut jenisnya. Termometer kaca mengandungi merkuri dan termometer elektronik biasa digunakan untuk menyukat suhu. Termometer kaca perlu dibasmi kuman setiap kali sebelum digunakan. Penggunaan penutup pakai buang pada termometer menyingkirkan keperluannya untuk di basmi kuman selepas digunakan. Termometer oral dan rektum tidak sepatutnya digunakan silih berganti.

Untuk memastikan bacaan yang tepat, individu tidak seharusnya terlibat dalam aktiviti fisikal yang kuat, memanaskan atau menyejukkan ruang mulut dengan merokok atau meminum minuman panas atau sejuk sekurang-kurangnya 5 -20 minit sebelum suhu badan diambil.

Sebelum menggunakan termometer kaca, kalibrasi perlu dilakukan dengan memutarkannya separas dengan mata untuk memastikan bacaan suhu yang ditunjukkan pada termometer berada di bawah 35.5 0C. Jika bacaan melebihi paras ini, goncang termometer dengan cepat sehingga paras merkuri turun di bawah paras 35.5 0C. Kemudian letakkan termometer di bawah lidah iaitu dengan menyengetkannya sedikit ke bahagian tepi mulut dan biarkan selama 2-4 minit.

Apakah penyebab demam yang utama?

Demam boleh merupakan gejala kepada:

  • Jangkitan bakteria, virus, rikettsiae, fungus, parasit.
  • Penyakit autoimun: Contohnya demam reumatik vaskulitis, artritis reumatoid dewasa, eritematosus lupus sistemik (SLE – systemic lupus erythematosus).
  • Penyakit sistem saraf pusat: Contohnya kecederaan kepala, kecederaan tulang belakang dan pendarahan serebrum (bahagian otak utama).
  • Penyakit neoplastik malignan seperti metastasis tumor ke hati, neoplasma primer (contoh: kolon dan rektum, hati, buah pinggang).
  • Penyakit dalam darah seperti limfoma, leukemia, anemia hemolisis.
  • Penyakit kardiovaskular seperti jangkitan miokardium, embolisme pulmonari.
  • Penyakit gastrousus seperti hati bernanah/inflamasi, hepatitis alkoholik, penyakit keradangan usus.
  • Penyakit endokrin seperti hipertiroidisme, feokromositoma.
  • Penyakit yang disebabkan oleh agen kimia seperti tindak balas ubat (Quinidine, Nifedipine, Penisilin-G, Ampisilin, Vancomycin, Bleomycin, Carbamazepine) dan hipertermia malignan disebabkan pembiusan.
  • Penyakit-penyakit lain seperti kecederaan pada tisu, hematoma, demam Mediterranean keluarga.

Pengurusan sendiri

Anda dinasihatkan supaya meminum banyak air, terutama air kosong untuk menggantikan cecair dan elektrolit yang telah hilang. Awasi tanda-tanda dehidrasi yang mungkin berlaku.

Catatkan bacaan suhu setiap 2 jam dan jika perlu catatkan setiap kali berlaku perubahan gejala. Kekerapan menyukat suhu mungkin tidak disukai oleh kanak-kanak tetapi perubahan tingkah laku dan keluhan mereka boleh menjadi panduan untuk memberi ubat.

Bagi demam yang menyebabkan ketidakselesaan, lapkan badan dengan air suam dan ambil parasetamol atau ubat antipiretik lain. Jangan memberi aspirin kepada kanak-kanak atau remaja yang berumur di bawah 20 tahun.

Berjumpalah doktor sekiranya….

  • Demam melebihi 40 0C yang tidak surut walaupun selepas 2 jam rawatan diberikan di rumah.
  • Demam yang berterusan: Banyak penyakit yang berpunca dari virus seperti selsema menyebabkan demam dengan suhu setinggi 39 0C atau lebih untuk jangka waktu yang singkat (12-24 jam).
  • Demam disertai dengan tanda-tanda jangkitan bakteria yang lain.
  • Demam yang dikaitkan dengan gejala yang mengganggu atau sukar dijelaskan.

Secara amnya, demam merupakan gangguan yang tidak berjangkit dan tidak merbahaya. Maka tujuan utama rawatan ialah untuk mengurangkan/melegakan ketidakselesaan yang dirasai. Dengan itu pendekatan sederhana bagi rawatan antipiretik (mengurang atau melegakan demam) adalah disyorkan. Secara amnya, ubat asetaminofen atau parasetamol merupakan agen antipiretik pilihan. Namun ubat-ubat ini perlu gunakan dengan berhati-hati untuk memperolehi kesan antipiretik yang maksimum dan mengelakkan sebarang kesilapan tidak sengaja dari berlaku seperti dos berlebihan dan keracunan.

Demam selsema

Apakah itu demam selsema?

Kebanyakan orang pada peringkat tertentu kehidupannya akan mengalami demam selsema. Secara amnya semakin meningkat dewasa, semakin kurang kita mendapat jangkitan demam selsema. Demam selsema biasa terjadi di kawasan beriklim panas dan juga di kawasan yang lebih sejuk.

Demam selsema merupakan jangkitan virus pada lapisan dalam hidung, sinus, tekak dan saluran pernafasan bahagian atas. Antibiotik tidak dapat membunuh virus. Sistem pertahanan badan anda adalah senjata terbaik untuk melawan serangan virus ini. Virus demam selsema merebak sama ada melalui udara ketika anda bercakap, bersin, batuk atau bernafas atau melalui tangan. Jangkitan biasanya bermula apabila hidung mula berair dan selalu bersin iaitu 1-4 hari selepas mendapat jangkitan virus.

Apakah tanda-tanda dan gejala demam selsema?

Tanda-tanda dan gejala demam selsema adalah mudah dicamkan, oleh itu selalunya diagnosis sendiri yang dilakukan pesakit adalah betul.

Gejala demam selsema bermula 1-3 hari selepas jangkitan.

Gejala-gejala yang paling biasa adalah seperti di bawah:

  • Tekak yang kering atau sakit-mungkin mendahului gejala-gejala lain dalam masa sehari atau lebih.
  • Hidung berair-hingus berair dan jernih kemudian ia mula pekat.
  • Hidung tersumbat (penyumbatan rongga hidung). Bayi mungkin sukar untuk menghisap susu disebabkan hidungnya tersumbat.
  • Bersin-merupakan usaha badan untuk melapangkan saluran rongga hidung.
  • Batuk-mungkin kering atau mengeluarkan kahak.
  • Suara parau-suara kasar dan parau kerana virus menyebabkan korda vokal (peti suara) membengkak.

Gejala-gejala yang lain

  • Mata rasa kepanasan sedikit
  • Hilang deria bau dan rasa.
  • Terasa seperti sinus atau telinga penuh dengan tekanan.
  • Demam.
  • Sakit-sakit badan.

Purata jangka masa gejala demam selsema adalah 7 hari. Lebih kurang seperempat dari keseluruhan demam selsema dan gejala-gejalanya mungkin berterusan selama 2 minggu.

Bagi mereka yang merokok, kekerapan dan jangka masa batuk adalah lebih panjang.

Apakah komplikasi demam selsema?

Kadangkala demam selsema melarat menjadi sesuatu yang lebih serius, terutama apabila berlaku jangkitan bakteria lain (jangkitan yang bertindan) seperti:

  • Jangkitan di bahagian telinga tengah (otitis media)- kerap berlaku padakanak-kanak apabila jangkitan merebak dari rongga hidung ke telinga tengah.
  • Sinusitis- jangkitan merebak hingga ke sinus.
  • Pneumonia- jangkitan merebak melalui saluran udara hingga ke paru-paru.

Risiko

Mereka yang mempunyai sistem pertahanan tubuh yang lemah berisiko tinggi mendapat demam selsema yang teruk (atau komplikasinya). Ini termasuklah mereka yang:

  • Kekurangan zat makanan.
  • Letih dan berasa tidak sihat
  • Susah hati.
  • Warga tua.
  • Pesakit yang sistem pertahanan badannya ditekan seperti mereka yang sedang menjalani rawatan radioterapi.

Pencegahan

Di bawah ini disenaraikan beberapa petua yang boleh melindungi anda daripada mendapat demam selsema:

  • Selalu membasuh tangan dengan bersih.
  • Tutup mulut ketika batuk atau bersin.
  • Mengelap hidung menggunakan tisu pakai buang dengan cermat supaya rembesan hingus akan terkandung dalam tisu dan tidak mengotorkan tangan.
  • Elakkan menggosok mata dengan tangan yang kotor.
  • Jangan menggigit kuku.
  • Jauhi diri daripada orang yang menghidap demam selsema terutama apabila mereka batuk atau bersin
  • Jauhi tempat yang sesak dengan orang ramai.
  • Makanlah makanan yang seimbang.
  • Jangan biarkan diri anda kesejukan atau terlalu letih. Dapatkan rehat yang mencukupi.
  • Kekalkan tahap hidrasi badan yang mencukupi dengan meminum 8 gelas air sehari.
  • Jauhi daripada merokok – Perokok berkecenderungan mendapat demam selsema yang lebih teruk.
  • Jauhkan diri daripada alkohol – alkohol mengurangkan keupayaan badan untuk menghapuskan virus selsema.

Pengurusan sendiri

Masa merupakan satu-satunya penawar demam selsema. Bagaimanapun, sesetengah perkara boleh dilakukan bagi membuatkan anda rasa lebih baik dan selesa.

Di sini disenaraikan beberapa petua untuk melawan demam selsema:

  • Berehat di katil.
  • Kunci untuk memulihkan demam selsema ialah anda memerlukan tidur selama 12 jam atau lebih setiap malam ketika anda melawan penyakit ini.
  • Duduk dalam persekitaran yang lembab dan panas tetapi bukan di dalam bilik yang terlampau panas. Ia boleh menggalakkan/melancarkan rembesan saluran pernafasan, dengan itu dapat membantu penyingkiran dan pembersihan lendir dan kahak oleh silia (rerambut dalam rongga pernafasan yang menolak bahan buangan).
  • Menghadkan aktiviti, terutama semasa penyakit sedang teruk. Ia dapat mengurangkan penyebaran virus kepada orang lain.
  • Meminum banyak air
    Minum banyak air iaitu lebih 8 gelas sehari untuk mengelakkan dehidrasi (kekontangan).
  • Lendir akan mengalir dengan bebas dalam badan yang cukup cecair dan menolong anda mengelakkan jangkitan atau pulih daripadanya. Virus sukar menjangkiti tisu yang sihat dan lembab berbanding tisu yang kering.
  • Berkumur-kumur dengan air garam yang suam untuk meredakan kegatalan dan sakit tekak.

Bila anda perlu menggunakan produk/ubat-ubatan yang boleh diperolehi di kedai?

Ubat-ubatan yang digunakan bagi demam selsema adalah bertujuan untuk memperbaiki/melegakan gejala-gejala yang timbul sementara sistem pertahanan semula jadi badan diaktifkan untuk melawan jangkitan dan menyembuhkan penyakit. Jadi anda tidak memerlukan antibiotik yang sebenarnya tidak dapat membunuh virus.

Jika anda melakukan rawatan sendiri – ketahuilah gejala-gejala yang anda rawat, jenis ubat yang digunakan dan bagaimana ia bertindak. Pegawai farmasi boleh membantu anda memilih rawatan yang bersesuaian dengan gejala.

Dekongestan

Hidung tersumbat adalah suatu masalah biasa yang merengsakan (mengganggu) semasa demam selsema. Tidak hairanlah, Dekongestan termasuk dalam sediaan ubat-ubatan demam selsema di pasaran.

Ia dapat meredakan penyumbatan atau bengkak pada saluran hidung, dengan itu melancarkan pernafasan.

Antitusif dan Ekspektoran

  • Ubat batuk bertindak dengan menjadikan batuk anda lebih produktif iaitu mengeluarkan kahak atau dengan mengurangkan batuk yang kering dan menyakitkan.
  • Untuk mengurangkan kekerapan batuk anda buat sementara waktu, anda boleh memakan ubat penahan batuk. Ubat-ubatan ini yang juga dikenali sebagai antitusif (penahan batuk) bertindak terus ke atas pusat batuk di dalam otak.
  • Ekspektoran adalah sejenis ubat batuk yang mengandungi Guaifenesin, iaitu bahan yang bertindak melancarkan perjalanan lendir di dalam saluran pernafasan. Hasilnya Ekspektoran dapat menolong melapangkan saluran pernafasan dari bahan-bahan yang mengganggu.

Antihistamina

  • Agen-agen Antihistamina ini dapat melegakan gejala-gejala seperti bersin, hidung dan mata berair yang biasa dikaitkan dengan demam selsema.
  • Ia dapat mengurangkan perembesan lendir dan membantu penghidap demam selsema berehat.


Analgesik/antipiretik

Sakit otot, sakit kepala dan demam yang kadangkala terjadi semasa demam selsema boleh dirawat dengan berkesan menggunakan ubat-ubatan yang dibeli di farmasi.

Paracetamol ialah agen antipiretik yang berkesan dan digunakan dengan meluas.

Aspirin sepatutnya tidak digunakan untuk merawat penyakit demam di kalangan kanak-kanak atau remaja. Ini kerana aspirin dikaitkan dengan risiko mendapat penyakit Sindrom Reye.

Sindrom Reye ialah penyakit yang serius, tetapi sangat jarang berlaku. Ia lazimnya terjadi di kalangan kanak-kanak yang berumur di antara 3-12 tahun. Ia boleh menjejaskan semua organ badan, tetapi selalunya mencederakan otak dan hati.

Vitamin C

Vitamin C mungkin dapat mengurangkan jangka masa atau keterukan gejala-gejala yang berlaku, tetapi tiada bukti yang jelas mengenainya.

Berjumpalah doktor sekiranya:

Demam selsema biasa yang anda hidapi tidak berkurangan selepas seminggu atau anda mempunyai gejala-gejala berikut:

  • Selsema dengan demam 38oC atau lebih tinggi yang berpanjangan lebih dari 2-3 hari.
  • Sakit kepala yang teruk atau sakit di bahagian muka.
  • Penyumbatan hidung yang mengakibatkan sukar bernafas
  • Berbunyi ronkus ketika bernafas (nafas bunyi berdesit).
  • Batuk yang teruk.
  • Sakit telinga.
  • Kahak berwarna kekuningan, kehijauan atau merah karat.

Related posts

4 Comments

  1. irahalim said:

    apa sebab bila kena hujan renyai selalu selsema? apa kaitan hujan dengan jangkitan virus?

  2. kylephytrie said:

    saya diagnoskan diri saya hidap gejala demam selesema…tapi dalam 3 minggu setiap weekends mesti gejala ni datang lagi…saya juga merookok…biasanya malam memang letih…mungkin kurang air suam…

*

*


seven + = 16

 

Top
This site is protected by WP-CopyRightPro
Read more:
tips jaga rambut dan muka
Tips Jaga Kesihatan Kepala dan Kecantikan Rambut

Rambut sememangnya mahkota wanita. Beberapa petua yang sering diamalkan oleh orang dulu-dulu nyata kebanyakannya membawa kesan yang mujarab jika selalu diamalkan walaupun sukar dibuktikan dengan...

Close