Pemandu Kereta dan Realiti Seharian

Broken_CarTahukah anda bahawa kebanyakan pemandu hari ini hanya menggunakan separuh daripada kemahiran mereka semasa memandu di jalan raya?
Usah terkejut, kerana itu adalah realiti. Dorongan itu terjadi berikutan naluri semula jadi manusia yang memberi input salah tentang apa yang sepatutnya dilakukan semasa memandu.

Menggunakan telefon bimbit, menaip teks khidmat pesanan ringkas (SMS), membetulkan siaran radio dan juga mencari arah menerusi sistem navigasi ketika kereta sedang bergerak. Malah ada yang boleh makan, minum serta bersolek ketika memandu.makeup memandu

Memandu memang tidak sukar lebih lagi kenderaan moden yang dilengkapi dengan pelbagai ciri contohnya kenderaan automatik. Kini, jurutera GM di Amerika Syarikat (AS) dan beberapa universiti di Jepun sedang merancang mengurangkan keterlibatan manusia dalam mengendalikan kenderaan.
Mereka cuba menjadikan sistem automasi berfungsi sepenuhnya. Daripada lebuh raya yang membolehkan kereta dipandu tanpa memegang stereng, hinggalah ujian pergerakan mekanikal yang diintegrasikan bersama sistem GPS. Desakan itu timbul berikutan sebahagian besar faktor kemalangan yang berlaku berpunca daripada kesilapan manusia.

Secara relatifnya, semua orang dewasa boleh memandu. Namun, apa yang membezakan pemandu yang cekap dan sebaliknya adalah corak pemanduan. Cekap, bukan semestinya anda seorang pelumba litar atau pemandu ujian seperti Tiff Needell atau Quentin Willson.

Kecekapan pemanduan berdasarkan naluri dan keupayaan mengesan sesuatu kecelakaan beberapa saat sebelum ia berlaku. Perbezaan jumlah saat itu kadangkala menentukan sama ada anda mampu atau tidak menyerap kemalangan, mengelak kemalangan atau terus sahaja menghentam dengan momentum penuh.

Kurang konsentrasi
memandu dgn handphoneKesilapan yang sering berpunca daripada manusia adalah kurangnya konsentrasi semasa memandu. Jika anda menggunakan telefon bimbit dengan kit bebas tangan sekalipun, sebenarnya tumpuan memandu kini terbahagi kepada dua situasi yang berbeza.

Malah, beberapa kajian mendapati konsentrasi memandu boleh hilang sehingga 70 peratus ketika berbual menerusi talian, tidak kira sama ada menggunakan kit bebas tangan atau sebaliknya.

Pernahkah anda terlepas memasuki simpang jalan kerana sibuk berbual dengan rakan sebelah? Ini adalah contoh jelas mengenai konsentrasi yang terganggu. Konsentrasi bukan sahaja melibatkan mata. Ia berkaitan dengan naluri dan keupayaan deria lain untuk berinteraksi bersama sewaktu memandu.

Tali pinggang keledar
Ingat, secanggih manapun kenderaan ia tidak akan berfungsi seatbeltmenyelamatkan pemandu jika anda mengabaikan fakta keselamatan yang telah disediakan secara asas. Setiap komponen perlu berhubung untuk memastikan setiap satunya berfungsi menyelamatkan pemandu ketika kemalangan.

Beg udara, jika pengeluar kenderaan memasang 30 unit sekalipun tidak akan berguna sekiranya tali pinggang keledar tidak dipakai. Tragedi kemalangan Mercedes Puteri Diana pada tahun 1998 adalah antara contoh komponen semudah tali pinggang keledar mampu menyelamatkan nyawa.

Daripada empat orang yang berada di dalam kereta, Puteri Diana, Dodi Al Fayed dan pemandu-Henri Paul hanya Trevor rees-Jones (pengawal peribadi Dody Fayed) yang terselamat dalam kejadian tersebut.

Sebabnya, hanya Jones yang memakai tali pinggang keledar. Ringkasnya, untuk menjadi seorang pemandu yang cekap, semuanya harus bermula daripada asas. Pakai tali pinggang keselamatan, tidak kira anda duduk di barisan mana sekalipun.

Kerusi, cermin belakang dan titik buta

Sebaik melabuhkan punggung ke kerusi kenderaan, perkara utama yang perlu dilakukan adalah melaras tempat duduk mengikut kedudukan yang sesuai dan selesa. Selesa bukan bermaksud dalam kedudukan seperti di kerusi malas.

Selesa maksudnya anda mempunyai genggaman stereng yang kemas, jarak kaki menekan kesemua pedal yang betul, selain ketinggian sesuai dengan tahap penglihatan depan serta kedudukan stereng yang sepatutnya.

Kemudian, laraskan ketiga-tiga cermin pandang belakang agar mendapat sudut pandangan yang sesuai. Cermin kiri dan kanan perlu berada dalam posisi yang memberi perspektif pandangan secukupnya dan meminimumkan titik buta.

Hidupkan suis penghawa dingin, audio dan laras sistem navigasi, sebelum memakai tali pinggang keledar dengan kemas. Sekarang anda sudah bersedia untuk memandu.

Pemandu yang cekap juga bermaksud pemandu mengawal kereta dan bukannya kereta yang mengawal pemandu. Kawalan terletak 100 peratus pada tubuh badan anda dan gunakan sebaiknya segala fungsi yang ada pada kereta.

Jangan lupa memberikan isyarat membelok untuk keluar masuk simpang dan menukar lorong. Jangan lupa menggunakan cermin pandang belakang yang anda laras tadi sebelum menukar sebarang haluan kenderaan.

Kelajuan mengikut situasi

OPS SIKAP XIIILatih diri untuk menduga apa yang berlaku dan akan berlaku di hadapan anda. Bayangkan perspektif pemanduan melebihi sempadan. Di hadapan anda mungkin sebuah kereta Perodua Kancil dan ingat, bukan hanya Kancil sahaja yang perlu anda perhatikan. Jangkakan juga dua atau tiga kenderaan di hadapan anda.

Ketika melalui selekoh yang panjang atau jalan berbukit, pandu dalam kelajuan yang sesuai agar anda mempunyai masa secukupnya untuk membrek sekiranya terdapat halangan di hadapan.

Kelajuan yang sesuai bukan bermaksud 20km/sejam di jalan yang berkelebaran 15 kaki. Anda mungkin dilanggar dari belakang jika memandu terlalu perlahan. Kelajuan yang sesuai juga adalah berdasarkan situasi dan cuaca.

Jalan berbukit juga antara faktor yang sering menyebabkan kemalangan. Ia berikutan titik buta yang terjadi akibat halangan geografi.

Sekarang, anda sudah mendapat perspektif betul bagaimana seharusnya memandu dengan cara yang selamat.

Ingat, jika semua orang di jalan raya mengamalkan corak pemanduan serupa, akhirnya jalan raya akan menjadi tempat yang lebih selamat.
Bertoleransi sesama pemandu. Anda tidak perlu membayar cukai jalan berganda kerana mengangkat tangan meminta maaf sekiranya membuat silap.

Tiada siapa yang sempurna semasa memandu, namun akhirnya anda akan menjadi semakin cekap jika mengamalkan corak pemanduan yang betul. Bukankah itu bagus untuk kita semua?

Lain2 Artikel Menarik:

tokjogho

Mengapa Tok Jogho? Sebenarnya, Tok Jogho merupakan ketua dalam satu-satu persembahan Dikir Barat yang amat popular di Kelantan. Penggunaan nama Tok Jogho sebagai pentadbir laman web PanduanPercuma.info adalah berdasarkan fakta yang mana dalam setiap persembahan Dikir Barat, Tok Jogho merupakan nadi kepada keseluruhan persembahan di mana beliau perlu bijak mengatur kata-kata dan menyusun ayat agar persembahannya terserlah dan menarik, lain daripada yang lain. Itulah matlamat PanduanPercuma.info - ingin menjadi sebuah laman web berbahasa Melayu yang unik, penuh dengan maklumat dan informasi kepada semua.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


*