30 Cara Jimatkan Air di Rumah

jimat airAir atau kekurangannya telah menjadi isu yang penting di Malaysia kebelakangan ini. El Nino yang berlaku pada 1997/98 telah menunjukkan kekurangannya sumber air. Beratus ribu penduduk di Kuala Lumpur, Petaling Jaya dan kawasan lain Selangor, Balik Pulau di Pulau Pinang, Melaka dan Negeri Sembilan telah hidup dalam sengsara pemotongan bekalan air dan catuan air. Oleh itu, kita harus berjimat cermat dalam penggunaan air seharian. Berikut adalah 30 cara bagaimana anda boleh menjimatkan penggunaan air di dalam dan di sekitar rumah anda:

TANDAS

1. Gunakan tandas yang mempunyai keupayaan curahan yang rendah (contohnya memilih sistem curahan yang berkeupayaan sebanyak 6 liter atau kurang) atau letakkan sebotol air ke dalam tangki curahan untuk mengurangkan air yang dicurah.

2. Kurangkan kekerapan curahan dalam sehari.

3. Sentiasa melakaukan pemeriksaan untuk mengenal pasti sebarang kebocoran. Masukkan pewarna ke dalam tangki curahan dan memeriksa sekiranya terdapat air berwarna yang meleleh keluar ketika dan selepas curahan.

BILIK MANDI

4. Kurangkan masa mandian dan gunakan pancuran mandian bertekanan rendah.

5. Letakkan sebuah baldi berhampiran dengan pancuran ketika mandi untuk mengumpul air yang berlebihan. Air ini boleh digunakan untuk mencurah tandas atau menyiram taman.

6. Tutup pancuran mandian ketika bersabun.

SINKI

7. Jangan biarkan air mengalir ketika mencuci muka, menggosok gigi atau bercukur. Cara terbaik ialah menggunakan air di dalam bekas.

8. Baiki sebarang paip yang bocor atau yang sentiasa menitiskan air.

TAMAN

9. Siram taman dan pokok bunga ketika senja atau awal pagi untuk mengelakkan kehilangan air melalui penyejatan akibat daripada kepanasan.

10. Jangan menyiram pokok bunga secara berlebihan dan elakkan penyiraman ketika musim hujan.

11. Ubahsuai pemercik di taman supaya kadar air yang digunakan tidak berlebihan. Jika kawasan taman yang kecil, gunakan baldi atau salur getah.

12. Sentiasa memeriksa dan mengubah suai pemercik mengikut cuaca.

13. Elakkan penggunaan baja yang berlebihan dan gunakan baja nitrogen berasaskan air.

14. Pilih landskap taman yang tidak memerlukan air yang banyak.

15. Pastikan ketinggian rumput di taman lebih kurang 6 sm kerana rumput yang sederhana panjang dapat menyimpan air dengan lebih berkesan.

16. Gunakan penyapu untuk membersihkan kawasan luar rumah dan tepi rumah serta elakkan daripada menjirus air untuk membersihkan sampah sarap.

17. Sebaik mungkin gunakan bekas tadahan bagi menyiram taman.

DAPUR

18. Jangan gunakan air yang mengalir untuk mencuci pinggan dan mangkuk, gunakan air yang ditadahkan di dalam sinki.

19. Pastikan paip ditutup dengan ketat untuk mengelakkan air terus menitis.

20. Simpan sebotol air di dalam peti sejuk atau gunakan ais jika memerlukan air sejuk

21. Cuci sayur-sayuran, buah-buahan atau makanan di dalam sinki yang berisi air dan elakkan air mengalir

22. Pastikan mesin basuh penuh muatan cucian kerana setiap cucian akan menggunakan air yang sama walaupun pakaian hanya sedikit sahaja.

GARAJ

23. Gunakan baldi untuk mencuci kereta dan elakkan penggunaan salur getah.

24. Elakkan tumpahan minyak kerana minyak memerlukan air yang banyak dan sabun untuk membersihkannya.

CARA-CARA MENJIMATKAN AIR LAIN

25. Pastikan anda sentiasa menghadiri perjumpaan dan perbincangan mengenai air di kawasan anda.

26. Sentiasa melakukan pemeriksaan terhadap sistem paip dalaman di rumah untuk mengelakkan sebarang kebocoran.

27. Maklumkan sebarang kerosakkan paip kepada pihak berkuasa dengan serta merta.

28. Galakkan aktiviti-aktiviti kesedaran dan penjimatan air di sekolah yang berhampiran kawasan rumah anda.

29. Bekerjasama dengan pihak kerajaan dalam penjimatan dan pemuliharaan air.

30. Gunakan air tadahan hujan untuk kegunaan di garaj, di taman dan sekiranya boleh untuk curahan tandas simbah.

Lain2 Artikel Menarik:

tokjogho

Mengapa Tok Jogho? Sebenarnya, Tok Jogho merupakan ketua dalam satu-satu persembahan Dikir Barat yang amat popular di Kelantan. Penggunaan nama Tok Jogho sebagai pentadbir laman web PanduanPercuma.info adalah berdasarkan fakta yang mana dalam setiap persembahan Dikir Barat, Tok Jogho merupakan nadi kepada keseluruhan persembahan di mana beliau perlu bijak mengatur kata-kata dan menyusun ayat agar persembahannya terserlah dan menarik, lain daripada yang lain. Itulah matlamat PanduanPercuma.info - ingin menjadi sebuah laman web berbahasa Melayu yang unik, penuh dengan maklumat dan informasi kepada semua.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


*