15 Tip Semasa Di Dapur

masak di dapur

Berikut adalah tip-tip yang sempat Nenda kumpulkan buat suri-suri rumah yang sibuk bertugas di dapur. Tip-tip ini adalah sebahagian daripada pengalaman Nenda yang lebih separuh abad ini untuk dikongsi bersama anda pengunjung PanduanPercuma.info semua. Semoga tip-tip ini berguna untuk semua.

1. DAUN NANGKA EMPUKKAN DAGING

Daging liat? Mudah empuk jika anda memasukkan beberapa daun nangka ke dalam rebusan daging anda.

2. HILANGKAN PAHIT PUCUK BETIK

Pucuk betik memang enak jika dicelur dan dijadikan hidangan dengan sambal belacan. Tetapi ada ketikanya daun betk yang diambil itu pahit. Untuk mrnghilangkannya, cuba anda masukkan beberapa helai daun jambu batu atau dua tiga biji buah pinang masak ketika merebusnya.

3. TERKENA BISA IKAN KELI

Ikan keli (darat) atau ikan keli sembilang (laut) kedua-duanya mempunyai sengat berupa duri di sirip kiri kanannya. Sengat ini sungguh bisa apabila terkena manusia, sebab itu hendak menangkapnya terpaksa berhati-hati. Walaupun berhati-hati kadang-kadang terkena juga. Kalau ini berlaku kepada anda, lekas-lekaslah ambil dua hingga tiga sudu  makan serbuk kopi, tuangkan sedikit air setengah mendidih, kacau hingga sebati. Wapkan bahagian yang terkena sengatan itu, Insya-Allah bengkaknya hilang dan sakitnya segera sembuh.

4. UDANG SENTIASA SEGAR

Supaya udang tidak busuk dan sentiasa segar, perahkan air asam limau nipis ketika anda hendak menyimpannya dalam peti sejuk. Cara ini boleh menjadikan udang sentiasa segar dan tahan lebih lama.

5. SANTAN TIDAK PECAH MINYAK

Kebanyakan suri rumah terpaksa menunggu untuk mengacau santan apabila memasak kuah lemak atau kari. Bati memudahkan kerja, letakkan senduk di dalam periuk dan gunakan api yang kecil. Santan tidak akan pecah minyak.

6. IKAN TIDAK BUSUK

Bagi ibu bekerja, biasanya ikan dibeli untuk dua atau tiga hari dan disimpan di dalam peti sejuk. Namun adalanya bekalan electrik tiba-tiba terputus dan menyebabkan ikan jadi busuk. Jangan bimbang kerana masih ada cara untuk mencegahnya. Caranya, ambil ikan yang telah disiang dan dicuci bersih, gaulkan ikan ini dengan nasi sejuk dan sedikit garam. Nasi mestilah benar-benar sejuk kerana nasi yang panas atau suam akan menyebabkan ikan busuk. Esoknya basuh ikan itu seperti biasa.

7. SAYUR DICELUR TETAP SEGAR

Campurkan sedikit minyak masak ke dalam periuk berisi air rebusan. Setelah sayur-sayuran dicelur, toskan airnya. Hasilnya sayu-sayuran ini akan nampak segar dan berkilat.

8. TEMBIKAI TAHAN LAMA

Tembikai mudah layu dan busuk jika disimpan lama. Bagi mengelakkannya, sapukan kapur makan di pangkal tembikai. Insya-Allah, tembikai tidak mudah busuk dan tahan lama.

9. RASA GARAM DALAM MASAKAN

Untuk merasa garam dalam masakan memang menjadi masalah terutama jika anda berpuasa. Bagaimana cara terbaik untuk mengatasi masalah ini dengan meletakkan kuah di atas jari anda. Jika kuah itu tidak meleleh ia menandakan masakan anda cukup masin tetapi jika jari anda merasa perit ini menandakan masakan anda terlebih garam.

10. SIMPAN KELAPA PARUT

Masukkan kelapa dalam tapisan. Letakkan di atas periuk yang berisi air panas. Biarkan wap itu masuk ke dalam kelapa.

11. IKAN KERING TIDAK BERULAT

Benda-benda busuk selalu dihinggapi lalt termasuk ikan kering. Keadaan ini menyebabkan ia mudah berulat. Untuk mencegahnya, jemurkan ikan di tempat panas, taburkan sedikit serbuk lada hitam yang telah ditumbuk kasar ke atasnya. Cara ini lalat tidak akan hinggap lagi.

12. KEKALKAN KEPUTIHAN PERIUK

Jika anda masak menggunakan dapur kayu atau arang, tentu anda menghadapi masalah periuk hitam dan sukar dibersihkan. Bagi mengatasi masalah ini, sebelum memasak, sapukan dahulu bahagian luar periuk anda pencuci pinggan seperti Axion. Setelah siap masak, cucilah periuk dengan penggosok. Insya-Allah kotoran dan kesan hitam akan mudah dihilangkan.

13. BILA NASI  BERBAU HANGIT

Kadang-kadang kerana kelalaian kita, nasi yang dimasak boleh menjadi hangus dan berbau hangit. Kerana itu anda jangan susah hati, cubalah cepat-cepat ambil pucuk daun pisang, masukkan ke dalam nasi tersebut dan tutup semula rapat-rapat. Insya-Allah bau hangit akan berkurangan.

14. MENGHILANGKAN BAU PEDAS (CILI TUMIS)

Memasak sambal tumis atau asam pedas, anda tentu terpaksa menumis cili boh atau cili giling. Apabila cili ditumis, anda tentu dapat rasakan mata dan hidung menjadi pedih dan berair. Seluruh ruang dapur malah seluruh rumah akan mendapat akibatnya. Untuk menghindarkannya, cubalah masukkan gula pasir ke dalam minyak penggoreng yang telah panas itu. Kemudian barulah menumis bawang dan cili tersebut. Insya-Allah, bau pedasdan cili tumis itu tidak akan mengganggu anda sekeluarga.

15. BAGAIMANA SEGARKAN TAUGE

Tauge akan lebih lama segar di dalam peti sejuk sekiranya anda memerahkan sedikit limau ke dalam air tempat anda merendamnya. Tetapi pastikan anda menukar airnya setiap hari.

Wallahu A’lam. Selamat Mencuba. Jika berkesan, bolehlah bagitahu Nenda di sini!

Lain2 Artikel Menarik:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


*