Tip Untuk Menantu/Mentua

mentua-menantuMenurut satu kajian yang pernah dijalankan oleh para pengkaji dari Utah State University, USA – hampir 60% perkahwinan akan mengalami krisis tekanan daripada ibu mentua. Kebiasaannya berlaku “perang dingin” di antara menantu perempuan dan ibu kepada si suami! Tambah-tambah lagi jika si menantu semakin meningkat dewasa sehingga mencecah umur yang pertengahan di mana mereka telah stabil dari segi emosi dan pemikiran mereka. Pada masa ini mereka akan lebih yakin dan berani untuk berhadapan dengan mentua dan meluahkan idea pemikiran mereka tanpa rasa takut dan bersalah.

Maka, pada masa inilah biasanya krisis di antara ke dua-dua pihak akan memuncak. Apatah lagi apabila masing-masing merasakan hanya pendapat mereka sahaja yang betul. Lebih buruk lagi apabila kedua-dua pihak tidak mahu mengalah dalam menegakkan pendapat mereka.

Ramai yang tidak sedar sebenarnya konflik itu bukan sahaja akan mempengaruhi menantu dan ibu mentua, bahkan pasangan itu sendiri, anak-anak serta ipai duai mereka juga turut merasakan tempiasnya. Apakah tidak jalan penyelesaian di antara kedua-dua pihak ini?

Sebenarnya, konflik ini boleh dielakkan jika masing-masing dapat mengenal pasti apakah punca kesilapan dengan lebih awal. Apakah ini berlaku kerana perbezaan pendapat, sikap atau sebagainya? Setelah itu, kerjasama di antara kedua-dua belah pihak untuk saling maaf memaafi dan wujudkan situasi untuk menjernihkan keadaan. Masing-masing sepatutnya cuba memuhasabah diri sendiri dan cuba untuk bertolak ansur dalam mencari jalan penyelesaian dan bukannya mencari siapa yang salah dan silap bagi mengelakkan kekeruhan berterusan. Antara tip-tip yang boleh diambil oleh kedua-dua pihak adalah seperti berikut:

Tip Untuk Mentua

  • Anda harus buang rasa ego, jangan kerana status anda sebagai “ibu” dan lebih tua, maka anda ingin menunjukkan sifat “bos” anda anda ingin anak menantu menurt telunjuk dan kehendak anda sahaja. Ingat! Sikap sedemikian akan menjadikan mereka rimas dan tidak selesa dan jika tidak dibendung mereka mungkin akan menjauhi anda demi untuk mengelakkan pertelingkahan.
  • Jika tidak ada apa-apa kesilapan dalam rumahtangga anak menantu anda, jangan sekali-kali anda mencampuri urusan mereka. Contohnya, dalam mendidik anak-anak mereka biarlah mereka mendidik anak-anak mereka dengan cara mereka sendiri kerana setiap ibubapa pasti ada cara tersendiri. Usah mengkritik dan membandingkan cara mereka mendidik anak-anak mereka dengan cara anda mendidik anak anda sebelum ini.
  • Jangan suka membebel! Siapa tidak rimas jika kalau mulut anda asyik membebel itu dan ini saja. Tolonglah! kerana bebelan anda itu meniggalkan kesan yang amat dalam benak fikiran mereka bahkan boleh juga meresap ke fikiran cucu-cucu anda.
  • Sebagai mentua, adalah menjadi tanggungjawab anda untuk menegur jika anak menantu melakukan kesilapan. Namun ingat, teguran mestilah secara berhemah dan berlemah lembut. Jangan sampai memalukan dam menjatuhkan air muka mereka di hadapan orang lain, lebih-lebih lagi bukan ahli keluarga anda.

Tip Untuk Menantu

  • Walau apa pun, anda perlu menghormati dan menyayangi mentua seperti ibu kandung anda sendiri.
  • Apabila anda menganggap mentua nada sebagai ibu anda sendiri, barulah anda tidak akan salah faham dengan setiap teguran dan tindakan yang diberikan.
  • Kadangkala menjadi sifat orang tua, gemar membebel,  mengkritik dan menegur bila ada sesuatu yang tidak kena. Jadi anda perlu bersabar dan memahami bahawa mereka berniat baik. Janganlah bersangka buruk terhadap mereka!
  • Kadangkala memang terdapat perbezaan pendapat di antara menantu dengan mentua; apatah lagi disebabkan oleh perbezaan umur. Jadi sebagai menantu, tiada salahnya jika anda mengalah.
  • Jangan membandingkan mentua dengan ibu kandung anda sendiri kerana ia akan membuatkan keadaaan bertambah teruk.
  • Anda perlu menerima mentua anda seadanya, sebagaimana dia menerima diri anda seadanya.
  • Sentiasa berperasangka baik terhadap dirinya walau pun kadangkala sikapnya itu memang menduga kesabaran anda.

Jika anda samada mentua atau menantu dapat mengamalkan dan menghayati tip-tip ini, InsyaAllah masalah atau konflik menantu/mentua akan dapat dielakkan. Wallah hu A’lam.

Lain2 Artikel Menarik:

tokjogho

Mengapa Tok Jogho? Sebenarnya, Tok Jogho merupakan ketua dalam satu-satu persembahan Dikir Barat yang amat popular di Kelantan. Penggunaan nama Tok Jogho sebagai pentadbir laman web PanduanPercuma.info adalah berdasarkan fakta yang mana dalam setiap persembahan Dikir Barat, Tok Jogho merupakan nadi kepada keseluruhan persembahan di mana beliau perlu bijak mengatur kata-kata dan menyusun ayat agar persembahannya terserlah dan menarik, lain daripada yang lain. Itulah matlamat PanduanPercuma.info - ingin menjadi sebuah laman web berbahasa Melayu yang unik, penuh dengan maklumat dan informasi kepada semua.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


*