Antara Aku, Kawe, Ambo, Kito dan Oghe

loghat kelantan belajar loghat kelantan

Kali ni, saya nak ceritakan dan mungkin jelaskan sedikit penggunaan gantinama pertama loghat Kelantan kepada umum. Anda mungkin terdengar oghe Kelantan bercakap menggunakan gantinama ambo, kawe, kito dan oghe sebagai gantinama diri yang pertama sama seperti gantinama diri pertama yang lain seperti I, saya, aku, ceq, ana, gua dan sebagainya.

Istimewanya gantinama ini, antara aku, kawe, ambo, kito dan oghe mempunyai skop dan mungkin hirarki dan konotasi yang berbeza. Ibaratnya, kita mungkin lebih faham penggunaan antara saya, aku, patik dan beta. Sepanjang yang saya faham sebagai oghe Kelantan, dan mungkin saya tersalah beri definisi di sini (sesiapa yang lebih mahir mungkin boleh tolong betulkan), penggunaan gantinama diri boleh ditafsirkan seperti berikut:

1. Aku – merujuk kepada percakapan atau perbualan oleh 2 orang atau lebih kawan yang amat karib atau kawan yang sentiasa berhubung dalam kehidupan seharian.

Contoh: “Aku kelik dulu deh! Kakghe, mu gi ambik aku rumoh deh.” (Aku balik dulu, nanti kau ambik aku kat rumah ya!)

2. Kawe – merujuk kepada percakapan atau perbualan oleh 2 orang atau lebih kawan yang kurang rapat/mesra atau yang jarang berjumpa dan berkomunikasi. Contohnya, anda mungkin pernah pada suatu ketika merupakan seorang yang karib dengan rakan-rakan anda (contohnya masa sekolah di asrama suatu ketika dulu) tetapi telah berpisah sekian lama disebabkan berpindah tempat, perbualan anda dengan rakan anda akan berubah dengan menggunakan gantinama “kawe” dan tidak aku.

“Kawe” juga digunakan sebagai bahasa pertuturan dengan sesiapa sahaja yang kelihatan sebaya dengan anda dan anda belum pernah atau jarang berkomunikasi dengannya sebelum ini.

Contoh 1: “Kawe raso Kelate buleh mene male ni” (Saya rasa Kelantan boleh mengang malam ni) – perbualan antara 2 orang dari Kelantan yang berkebetulan duduk bersebelahan di stadium.

Contoh 2: “Kalu demo sapa KL, demo helo kawelah” (Kalau awak sampai KL, awak telefon saya lah)

3. Ambo – Penggunaan perkataan “ambo” ialah lebih kepada perbualan yang formal dan merujuk kepada rasa hormat seseorang terhadap seseorang atau audiens yang lain. Ini akan berlaku apabila seseorang ahli politik berucap di khalayak ramai, atau pun seseorang yang yang ingin menunjukkan rasa hormatnya kepada sesiapa sahaja ketika bercakap. Ambo juga merujuk kepada perasaan rendah hati/rendah diri seseorang terhadap seseorang atau audiens yang lain.

Contoh 1: “Ambo raso ambo banyok doh tulung majuke kampung ni, tapi puok-puok kito sini tokse undi ambo lagi! Nak buat guano!” (Saya rasa saya dah banyak bantu majukan kampung ni, tapi masyarakat sini masih tidak mahu undi saya lagi. Nak buat macam mana!)

Contoh 2: “Ambo beso doh dengar cerito ni, tapi tok ingat daripado sapo dio” (Saya dah biasa dengar cerita ni tapi tak tahu daripada siapa)

4. Kito – Penggunaan “kito” atau kita (singular dan bukannya plural) lebih merujuk kepada perbualan seseorang yang muda kepada yang lebih tua. Ia menandakan rasa hormat seseorang itu terhadap golongan yang lebih tua(biasanya jika bercakap dengan orang yang kita belum kenal sebelum ni atau amat jarang bertemu) . Perkataan “kito” sering digunakan oleh anak muda apabila bercakap dengan seorang yang lebih tua/dewasa apabila bertemu. Ianya kadang-kadang digunakan oleh anak-anak ketika bercakap dengan emak/bapa saudara atau saudara terdekat mereka yang kurang rapat dan kurang interaksi antara mereka.

Contoh 1: “Kito maghi sepital ni, bowok ayoh temu janji denge doktor” (Saya datang ke hospital ni, bawa ayah temu janji dengan doktor) – situasi bercakap dengan orang yang lebih tua yang baru saja kenal.

Contoh 2: “Kito kalu gi KL, rajin benarlah gi Gombak tu, tapi tok teringat pulok nok singgoh rumoh Pokteh” (Saya kalau pergi KL, kerap sangatlah pergi ke Gombak, tapi lupa pulak nak singgah di rumah Pakteh) – situasi kurang mesra dengan bapa saudara.

 

5. Oghe – Gantinama ni merujuk kepada seseorang yang bercakap dengan ibubapa/ahli keluarga/saudara terdekat dengan rasa hormat. Disebabkan tidak membiasakan diri mereka dengan panggilan tertentu seperti abang, bang long, paksu, long, adik, su dan sebagainya, penggunaan “oghe” begitu berleluasa di kalangan ahli keluarga yang boleh dikategorikan sebagai “tidak mesra” atau “kurang rapat” antara mereka.

Contoh: “Abah, oghe nok gi keda, ado nok kirim gapo-gapo?” (Abah, saya nak pergi ke kedai, ada nak kirim apa-apa?)

6. Oghe Kelantan asli atau sejati tidak sekali-kali menggunakan gantinama diri “saya atau sayo” dalam perbualan sesama mereka. Jika anda terdengar ada orang menyebut “sayo”, maka itu bukanlah diucapkan oleh rakyat Kelantan yang jati.

Begitu ceritanya antara aku, kawe, ambo, kito dan oghe. Jangan terkejut sekiranya anda masih belum memahaminya kerana saya sendiri masih merasa kurang mahir memberi penerangan tentangnya.

P/S: Maaf, saya mungkin telah terlepas pandang. Gantinama “sayo” sekarang semakin banyak digunakan dalam percakapan masyarakat di Kelantan. Ianya lebih kepada formaliti semasa bercakap seperti juga ianya digunakan dalam standard Bahasa Malaysia.

Lain2 Artikel Menarik:

tokjogho

Mengapa Tok Jogho? Sebenarnya, Tok Jogho merupakan ketua dalam satu-satu persembahan Dikir Barat yang amat popular di Kelantan. Penggunaan nama Tok Jogho sebagai pentadbir laman web PanduanPercuma.info adalah berdasarkan fakta yang mana dalam setiap persembahan Dikir Barat, Tok Jogho merupakan nadi kepada keseluruhan persembahan di mana beliau perlu bijak mengatur kata-kata dan menyusun ayat agar persembahannya terserlah dan menarik, lain daripada yang lain. Itulah matlamat PanduanPercuma.info - ingin menjadi sebuah laman web berbahasa Melayu yang unik, penuh dengan maklumat dan informasi kepada semua.

One thought on “Antara Aku, Kawe, Ambo, Kito dan Oghe

  • 05/08/2013 at 6:09 pm
    Permalink

    Admin, bole tak berikan huraikan perbezaan perkataan demo, awok dan mu? Apa beza perkataan2 tu?

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


*