Berbekam – Kaedah Perubatan Islam

bekam cara islamSepertimana yang kita ketahui, bahawa berbekam itu merupakan satu perubatan tradisional yang sudah lama diamalkan oleh sebahagian orang. Bekam tidak hanya berfungsi menyembuhkan, namun juga memiliki manfaat dalam hal pencegahan dari munculnya berbagai macam penyakit yang boleh menyerang manusia dikemudian hari. Namun tahukah anda bahawa berbekam merupakan kaedah perubatan Islam yang telah wujud sejak zaman Rasulullah saw?

Perubatan yang menggunakan kaedah bekam dikenali sebagai al-Hijamah adalah disunatkan dalam Islam malahan ia merupakan di antara sebaik-baik cara perubatan yang pernah diperkenalkan oleh Rasulullah saw.

Sebagaimana yang disebutkan di dalam beberapa buah hadis yang di antaranya sabda Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam yang maksudnya :

“Sebaik-baik perubatan bagi kamu ialah berbekam”.

(Hadis riwayat Ahmad)

Sabda Baginda lagi yang maksudnya :

“Kiranya ada suatu perubatan yang lebih baik bagi kamu, maka itulah dengan menggunakan pisau pembekam atau minuman daripada madu atau catukan (pagutan) dengan api dan aku sendiri tidak suka membakar dengan besi panas”.

(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Sabda Baginda lagi yang maksudnya :

“Kesembuhan itu terdapat pada tiga cara : minum madu, pisau pembekam dan alat pengangus, dan aku melarang umatku membakar dengan besi panas”.

(Hadis riwayat Bhukari)

Daripada hadis di atas, jelas menyebutkan bahawa berbekam itu salah satu jenis perubatan yang diharuskan dalam Islam. Namun apa yang ingin di sentuh di sini ialah hubungan dan kesannya terhadap hukum taharah, puasa dan berihram, dan hukumnya jika dijadikan ia sebagai satu mata pencarian.

Pengertian hijamah

Hijamah atau lebih dikenali sebagai bekam ialah salah satu pembersihan darah atau angin dengan cara mengeluarkan sisa toksik dalam badan melalui kulit secara sedutan dengan pelbagai alat seperti tanduk kerbau, gading gajah, batang buluh, gelas atau yang pling moden dengan menggunakan alat vakum moden yang bersih dan suci

Terdapat dua pengertian yang terkandung didalam kalimah “hijamah” yang pertama dalam bahasa arab kalimah ”hajama” yang membawa maksud “menyedut” iatu menyedut atau menghisap gumpalan darah di tempat yang tertentu di anggota badan. Adapun kalimah “hajjama” yang membawa maksud ”menghalang” ataupun “mencegah” iaitu menghilangkan penyakit dan mencegahnya daripada kembali semula


Jenis-jenis hijamah

1) Hijamah jafah

Iaitu kaedah sedutan angin untuk mengeluarkan angin yang berlebihan yang mengganggu sistem saraf dalam anggota badan tertentu dan yang tidak ditoreh pada tempatnya. Terdapat dua cara dalam kaedah ini:

a) Tetap : iaitu dengan meletakkan alat bekam pada tempat tertentu lalu menyebutnya tanpa digerakkan ketempat yang lain.

b) Bergerak : iaitu dengan menyapukan minyak habbatul barakah atau minyak zaitun pada tempat tertentu lalu disedut dengan alat bekam. Kemudian alat tersebut digerakkan ke seluruh anggota badan.

2) Hijamah rutbah

Iaitu pengeluaran darah kotor dalam badan di samping mengeluarkan angin berlebihan dengan kaedah menorah pada tempat-tempat tertentu. Terdapat dua kaedah ini

a) Perubatan : bertujuan mengubati penyakit-penyakit tertentu pada tempat-tempat tertentu pada waktu-waktu yang disarankan.

b) Pemeliharaan : bertujuan untuk menyihatkan tubuh badan, menguatkan sel-sel badan dan mengaktifkannya.

Kesan Berbekam Dalam Taharah

Mengikut mazhab As-Syafie, berbekam itu tidak membatalkan wuduk. Sebagaimana dalam kitabnya Al-Umm yang menyatakan yang ertinya:

“Tidak perlu berwuduk (tidak batal wudhuk) kerana muntah, darah yang keluar dari hidung, berbekam, sesuatu yang keluar dari badan dan sesuatu yang dikeluarkan daripada jasad selain daripada tiga lubang iaitu qubul, dubur dan zakar”.
(Al-Umm : 1/14)

Oleh itu, sesiapa yang berubat dengan menggunakan bekam dalam keadaan berwuduk, maka tidaklah batal wuduknya atau berbekam itu tidak membatalkan wuduk.

Kesan Berbekam Dalam Puasa

Apabila seseorang itu berbekam di siang Ramadhan ataupun puasa sunat adalah dibolehkan dan tidak membatalkan puasa tersebut. Kerana Rasullulah shallallahu’ alaihi wasallam pernah berbekam ketika Baginda sedang berpuasa.

Sebagaimana hadis yang di riwayatkan oleh Ibnu ‘Abbas Radiallahu -anhuma, beliau berkata yang maksudnya :

“Nabi saw pernah berbekam padahal Baginda sedang berpuasa”.

(Hadis riwayat Bukhari)

Kesan Berbekam Dalam Ihram

Mengikut pendapat Imam As-Syafie, Ashab dan jumhur ulama adalah harus bagi seseorang yang sedang berihram itu berbekam dan tidak dikenakan ke atasnya fidyah, selagi dia tidak memotong rambutnya. (Majmuk : 7/377)

Sebagimana di dalam hadis yang di riwayatkan daripada Ibnu Buhainah Radiallahu – anhu, beliau berkata yang maksudnya :

“Nabi saw pernah berbekam di tengah-tengah kepala Baginda di Lahyu Jamal (tempat antara Mekkah dan Madinah) padahal Baginda sedang berihram”.

(Hadis riwayat Bukhari)

Jika sekiranya seseorang yang sedang berihram itu hendak berbekam dan terpaksa memotong rambutnya, maka hendaklah dia membayar fidyah disebabkan memotong rambutnya itu.

(Mausu’ah Feqhiyah : 17/17)

Berbekam Sebagai Pekerjaan

Pendapat jumhur fuqaha termasuk mazhab Syafie, adalah diharuskan bagi seseorang itu menjadikan hijamah (bekam) sebagai satu pekerjaan dan menganbil hasil daripadanya. Kerana berbekam itu perbuatan yang bermanfaat, mubah (harus) dan orang ramai memerlukannya, maka diharuskan mengambil upah seperti pekerjaan menjahit dan sebagainya.
(Mausu’ah Feqhiyah : 17/18)

Mereka berdalilkan kepada hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Abbas Radiallahu ‘anhuma, beliau berkata yang maksudnya :

“Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam pernah berbekam dan Baginda memberi (upah) kepada orang yang membekamnya itu, seandainya hal itu haram, nescaya Baginda tidak memberinya “.

(Hadis riwayat Bukhari)

Hari Yang Sesuai Untuk Berbekam

Bekam sesuai dilakukan pada waktu pagi kerana dipercayai pada waktu itu, darah kotor sahaja yang keluar. Hari yang paling baik pula ialah Selasa dan Khamis kerana dipercayai merupakan hari berkat.

Bekam boleh juga dilakukan pada hari-hari lain juga tetapi masa yang paling sesuai ialah dari pertengahan hingga akhir bulan Rajab. Tempoh itu dipercayai sebagai tempoh “tua penyakit” yang dapat menyembuhkan pesakit.

Akhir bicara, sila hayati video mengenai berbekam pada pandangan Islam di bawah:

Lain2 Artikel Menarik:

tokjogho

Mengapa Tok Jogho? Sebenarnya, Tok Jogho merupakan ketua dalam satu-satu persembahan Dikir Barat yang amat popular di Kelantan. Penggunaan nama Tok Jogho sebagai pentadbir laman web PanduanPercuma.info adalah berdasarkan fakta yang mana dalam setiap persembahan Dikir Barat, Tok Jogho merupakan nadi kepada keseluruhan persembahan di mana beliau perlu bijak mengatur kata-kata dan menyusun ayat agar persembahannya terserlah dan menarik, lain daripada yang lain. Itulah matlamat PanduanPercuma.info - ingin menjadi sebuah laman web berbahasa Melayu yang unik, penuh dengan maklumat dan informasi kepada semua.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


*