Ulamak Palsu Bernama Snouck Hurgronje

Dr_Snouck_HurgronjeDalam usaha mempertahankan kehebatan dan keagungan Islam, kita tidak boleh lari dari mengkaji asal usul Dien atau usuluddin, Asal Usul Islam. Bagaimana dan dari mana punca hadirnya ke bumi nusantara ini. Segala yang berlaku memberikan impak yang tersendiri terhadap minda dan pemikiran Islam di Nusantara.

Memandangkan Islam adalah satu-satunya agama yang memilikki keistimewaan tersendiri, adalah menjadi satu yang mengecewakan sekiranya ia menghasilkan umat yang tidak setanding dengan kehebatan agamanya dari pelbagai sudut, sepertimana zaman kegemilangan Islam sebelumnya.

Menyedari hakikat itu, Unit Penyelidikan dan Pembangunan Pekida Malaysia (Pekida R&D) telah melakukan kajian dan menemui satu daripada pelbagai punca yang telah menyebabkan kelemahan Umat Islam dari sudut penguasaan ilmiah dan kekuatan Akidah yang berteraskan ilmu.

Hasil kajian sejarah telah jelas menunjukkan bahawa salah satu dari punca kejatuhan empayar Islam dari segi wilayah kekuasaan, penguasaan ekonomi dan akidah Islamiah umat itu sendiri ialah dengan hadirnya seorang insan yang amat kuat pegangan Kristiannya, dan begitu tinggi cita-citanya untuk melihat kejatuhan Islam di Nusantara ini. Beliau adalah Snouck Hurgeronje atau dengan panggilan Islamnya Kiai Haji Abdul Ghafur.
Semuga buku ini akan dapat memberikan gambaran jelas tentang punca kelemahan Islam dan sama sama mampu mengatasi kejatuhan Islam zaman ini dengan meneliti sejarah kejatuhannya.

Snouck Hurgronje

Snouck Hurgronje
Lahir : 1857 | Mati : 1936

Mengimbas Sejarah Snouck Hurgronje di Nusantara

Dr. Christian Snouck Hurgronje adalah nama yang cukup sinonim dan kontrovesi dengan sejarah di nusantara. Beliau merupakan seorang orientalis yang tersohor di dunia dengan hasil kajian yang cukup mendalam dan menyeluruh mengenai masyarakat Islam di nusantara terutama masyarakat Acheh pada awal kurun ke-20. Penghasilan buku bertajuk “Aceh” (De Atjehers) telah mengangkat beliau sebagai pakar kebudayaan orang Melayu khususnya masyarakat Aceh.

Bagi masyarakat Barat beliau adalah seorang yang amat disanjungi dan dihormati terutama oleh kerajaan Belanda kerana sumbangan beliau dalam pengajian teologi dan oriental. Tetapi di kaca mata masyrakat Islam, beliau adalah musuh dalam selimut kerana sanggup mengucap dua kalimah syahadah dan memeluk Islam semata-mata untuk mengaburi niat jahatnya untuk membantu kerajaan Belanda dalam menguasai bumi dan segala kekuatan akidah Islam di Acheh.

Dilahirkan pada 1857 di Tholen, Oosterbout, Belanda. Dr. Christian Snouck Hurgronje dibesarkan di dalam keluarga yang amat patuh kepada ajaran Kristian Protestan. Sejak dari kecil lagi beliau telah belajar dalam bidang teologi atau pengajian agama. Beliau kemudian melanjutkan pelajaran ke Universiti Leiden yang terkenal sebagai Pusat Kajian Orientalis dalam subjek Ilmu Teologi dan Sastera Arab.

Pada 1875 Snouck Hurgronje tamat pengajian dengan predikat cum laude. Beliau menghasilkan buku Het Mekaansche Feest (Perayaan di Mekah) untuk tesis pengajiannya.

Snouck ke Mekah

Sebagai seorang cukup komited dan obses dengan Islam, Snouck Hurgronje pergi ke Hijjaz (Arab Saudi) pada 1884 untuk mendalami Islam dan bahasa Arab. Di sana beliau telah berjumpa dan berguru dengan ramai guru-guru yang terkenal. Disebabkan keramahannya dan daya inteletual yang tinggi beliau berjaya memikat dan mendekati alim ulamak di sana dengan mudah tanpa sebarang sekatan dan prejudis. Untuk memudahkan lagi agar diri beliau diterima oleh masyarakat Arab serta mengambil hati ulama Mekah dalam usaha untuk membimbingnya, Snouck memeluk Islam dan menukar nama kepada Haji Abdul Ghaffur.

Sementara itu Snouck terus mengorak langkah untuk mendalami budaya dan adat resam Melayu sewaktu di Mekah. Beliau bergaul dengan orang-orang Melayu dari Nusantara yang ramai bermustautin samada untuk bekerja, beribadat atau menuntut ilmu di Mekah, terutamanya dari Hindia Belanda (Indonesia) yang sedang menunaikan haji. Sewaktu bergaul, Snouck sering memerhatikan mereka, kalau-kalau mereka punya hubungan khusus dengan umat Islam dari negara yang lain untuk meluaskan kajian dan penelitian nya.

Kebetulan, pada waktu itu Jamaluddin Al-afghani dan Muhammad Abduh sedang rancak menyebarkan fahaman “Pan-Islam” yang menyeru umat Islam membebaskan diri dari belenggu penjajahan.

Selain itu beliau juga merupakan orang Barat yang pertama berjaya merakamkan foto di sekitar Mekah dan hasil pengamatan dan pergaulan dengan umat Islam di Arab Saudi, diterjemahkan oleh Snouck dalam beberapa bukunya. Antara lain Makkah a Hundred Years Ago (Mekah Seratus Tahun Lampau), yang mengetengahkan foto-foto tentang Mekah abad ke-19 dan sosok jemaah haji terutama dari nusantara.

Pertemuan Snouck dengan Ulamak Melayu

Dalam pada masa yang sama, Snouck telah bertemu dengan Habib Abdurrachman Az-Zahir, seorang keturunan Arab yang pernah menjadi pembesar kerajaan Acheh, kemudian menjadi tali barut Belanda. Atas bantuan Zahir dan Konsulat Belanda di Jeddah JA Kruyt, dia mula mempelajari politik kolonial dan rancangan untuk menakluk Acheh.

Habib Abdurrachman Az-Zahir keciwa kerana gagal menarik perhatian Gabernor Belanda di Batavia dengan laporannya tentang kerajaan Acheh. Akhirnya semua laporan penelitian dan hasil kajian beliau itu Zahir serahkan pada Snouck yang saat itu, telah menjadi dekan di Universiti Leiden.

Snouck seperti mendapat durian runtuh waktu itu dengan menerima hasil kajian tersebut dari Habib Abdurrachman Az-Zahir. Beliau telah mempersembahkan laporan itu kepada pejabat menteri daerah jajahan Belanda. Bukan itu saja, beliau malah menawarkan diri kepada kerajaan Belanda untuk menjadi representatif Belanda untuk mengkaji masyarakat Acheh secara terus dari dalam dan berusaha menasihati kerajaan Belanda untuk melemahkan penentangan rakyat Acheh terhadap Belanda.

Snouck ke Nusantara

Pada 1889 Snouck Hurgronje telah memulakan misinya ke Nusantara. Disebabkan pemerintah Hindia Belanda tidak membenarkannya menyeludup masuk ke Acheh, beliau mencari jalan dan pengaruh dengan mengelilingi pulau Jawa bersama kenalan beliau di Mekah iaitu Haji Hasan Mustapa, seorang ulama Sunda, dari Bandung yang telah menjadi Penghulu Besar Acheh. Beliau menggunakan pengaruh Haji Hasan Mustapa untuk bertemu dengan para kiai tekenal di samping membuat kajian mengenai masyarakat Islam Jawa.

Catatan Dr. Snouck Hurgronje tentang perjalanannya selama dua tahun itu, yang tebalnya 1337 halaman, diikhtisaskan oleh Dr. ph. van Ronkel kemudian dalam “Aanteekeningen over Islam en folklore in west-en Midden Java” (Bijdragen KITLV No.101, 1942).

Setelah sekian lama mencari ruang dan pengaruh, Snouck akhirnya berjaya memasukki Acheh. Kedatangan beliau disambut mesra oleh seluruh para ulama Acheh. Sebagai seorang yang berpengetahuan luas dalam agam Islam Snouck Hurgronje menjadi tempat rujukan kepada masyarakat Islam Acheh tanpa sebarang syak wasangka. Ditambah dengan kefasihannya berbahasa Arab dan rela menjadi seorang Muslim sudah tentu masyarakat menerimanya dengan hati yang terbuka.


Pernikahan Snouck dengan wanita Melayu mendekati Ulamak dan Pembesar Negeri

Untuk memperkukuhkan lagi kedudukannya di Acheh, Snouck Hurgronje sanggup mengahwini Siti Sadiyah, Anak perempuan Raden Haji Muhammad Adrai pada 1890 di Cianis untuk lebih diterima bergaul di kalangan ulama. Di dalam masa yang sama hampir setiap malam beliau mencatatkan setiap butir perbualannya dengan para ulama Acheh. Beliau mengakaji sedalam-dalamnya mengenai struktur masyarakat Acheh.

Dari hasil kajiannya, Snouck Hurgronje telah menyarankan kepada kerajaan Belanda agar memanjakan dan menggula-gulakan golongan ulama dan sebaliknya berusaha menghapuskan ulama-ulama yang bersikap agresif dan berpegang teguh dengan akidah Islam.

Beliau juga berjaya membuat umat Islam melebih-lebihkan amalan ritual dan memisahkan kehidupan seharian daripada agama. Beliau telah menerapkan satu fahaman Islam Masjid, di mana hal-ehwal agama hanya akan berkisar di masjid sahaja. Selain itu Snouck Hurgronje juga menyarankan agar kerajaan Belanda mempermudahkan urusan haji di Indonesia untuk menyakini ulama bahawa kerajaan Belanda sedang membantu mereka dalam hal-ehwal keagamaan, sedang matalamat sebenarnya adalah agar Umat Islam leka dengan ibadah ritual itu dan membelanjakan sebahgian besar simpanan dana peribadi masing masing untuk urusan itu.

Disebabkan dipercayai oleh masyarakat tempatan, Beliau mengambil kesempatan untuk mengeluarkan fatwa-fatwa yang memberi manfaat kepada kepentingan Belanda. Fatwa-fatwanya berasaskan politik devide et impera. Selain itu di dalam khutbahnya kepada masyarakat, beliau berusaha memisahkan agama dan politik dan mengalakkan rakyat menumpukan soal ibadah untuk mengejar pahala dan kehidupan akhirat.

Dengan kepetahan bahasa Arab dan luasnya ilmu agama Islam serta budaya dan adat resam Melayu di Acheh hasil kajian beliau sekian lama, Snouck Hurgronje telah berjaya memperdaya masyarakat Islam dengan mencampur aduk amalan-amalam syirik dan bidaah dengan pengunaan ayat-ayat Al-Quran yang dipesongkan maksudnya sebagai landasan. Ini mendorong masyarakat mempercayai dan mengamalkan ritual-ritual yang jauh menyimpang dari Ajaran Nabi Muhammad SAW.

Di antara fatwa-fatwa yang pernah diketengahkan oleh Snouk melalui dakyahnya ialah menyarankan kepada masyarakat Islam bahawa barang siapa menanam pokok terung, nescaya mereka akan masuk syurga. Mempercayai akan kealiman dan waraknya Snouck, masyarakat Islam seluruh Acheh dan Jawa telah menerima pakai fatwa tersebut tanpa usul periksa. Maka berebut rebutlah umat Islam ketika itu menanam terung di lahan tanah masing-masing. Akibatnya pusat buangan sampah menerima longgokkan sayur terung yang tidak terhingga banyaknya, terutama di daerah Bandung, kerana tiada siapa ingin memakan terung yang begitu banyak, dan yang sememang tujuan asal menanam tanaman itu adalah untuk mendapat pahala, bukan untuk dijual dan di makan.

Melihatkan penerimaan bulat-bulat segala fatwa yang telah dikeluarkan oleh Snouck oleh masyarakat Islam ketika itu tanpa usul periksa, maka tahulah Snouck bahawa mereka telah kembali jahil dan jumud. Dalam masa yang sama, Snouck Hurgronje meneruskan asakan doktrinnya dengan menasihati Belanda agar membina sekolah-sekolah sekular untuk mengambil peranan pesantren atau sekolah pondok. Pada pendapat beliau, pesantren adalah pusat melahirkan pejuang-pejuang melawan penjajahan Belanda. Bukan hanya setakat itu sahaja, pelajar-pelajar yang berasal dari keturunan Diraja dan Pembesar Kesultanan Nusantara dihantar ke Belanda untuk melanjutkan pelajaran supaya apabila mereka balik, bakal-bakal pemimpin tempatan ini akan berkiblatkan ke Barat.

Pada 1906 Snouck Hurgronje kembali ke Belanda setelah Acheh berjaya ditakluk sepenuhnya dan menjadi Profesor di Universiti Leiden. Banyak penulisannya yang terkenal tersimpan di Universiti tersebut. Beliau menerima penghargaan khas dari kerajaan Belanda pada 1905 di atas sumbangan beliau membantu kerajaan Oren menumpaskan tentangan rakyat Aceh dengan berkesan dan seterusnya seluruh wilayah Indonesia sekarang.

Setelah Aceh, Snouck pun memberikan petunjuk kepada Belanda bagaimana cara tebaik menguasai beberapa bahgian Jawa dengan memanjakan ulama. Hampir setiap pegawai Belanda yang akan dihantar ke Hindia Timur akan mengikuti kelas di Universiti Leiden untuk mengetahui asas agama dan struktur masyarakat Melayu. Sehingga beliau meninggal dunia pada 26 Juni 1936, dia tetap menjadi penasihat utama Belanda untuk segala urusan penaklukan pribumi di Nusantara.

Demikianlah sosok Snouck Hurgronje yang dianggap sosok kontroversial bagi kaum muslimin Indonesia, terutama kaum muslimin Aceh.


KESIMPULAN

Adalah menjadi lumrah bahawa setiap pendidikan akan mula dilalaikan dan dilupakan setelah sekian lama ditinggalkan oleh individu atau kelompok yang awalnya membangun Islam. Penaklukan agama yang berasaskan konsep 3G (Glory, Gold and Gospel) atau Kemenangan penaklukan wilayah atau kuasa, penaklukan Harta dan Penaklukan Minda atau Agama merupakan pekej penaklukan yang harus sentiasa di ingat kronologi dan sejarahnya oleh setiap umat Islam.

Penelitian kesan sejarah penaklukan Akidah Islamiah oleh golongan bangsawan seperti Snouck Hurgeronje ini telah memberikan satu kesedaran akan peri pentingnya meneliti asas kukuh berlandaskan alQuran dan Sunnah sebelum ianya dilakukan sebagai amalan seharian dalam urusan agama.

Seluruh umat Islam harus ingat, bahawa seorang mubaligh Kristian seperti Snouck sanggup mengorbankan puluhan tahun, mengorbankan diri untuk memeluk Islam, berkahwin dengan wanita Islam, bahkan terpaksa menggembeling segala punca tenaga dalam dan luar dirinya untuk menembusi budaya dan akidah Islam umat Muslimin di Nusantara ini.

Sebagai balasan, setiap umat Islam seharusnya kembali sedar dari segala lamunan yang telah terhasil dari doktrin palsu hasil usaha si ulamak Palsu Kiai Hj Abdul Ghafur atau Snouck Hurgeronje ini. Kita harus sedar bahawa kelalian ini telah berlaku sejak sekian lama ke atas nenek moyang kita dan telah pun menjadi sebati dalam diri kita dan generasi sekarang tanpa sesiapa menyedari sejauh mana kita telah menyimpang dari akidah asal yang telah di tanamkan oleh pendakwah terdahulu.

Dahulunya nenek moyang kita tidak beragama, kemudian terpikat dengan kebudayaan hebat agama Hindu lalu memeluk agama Hindu dan kemudiannya terpikat dengan ketinggian Islam yang telah berjaya menghalau Hinduism dari nenek moyang kita. Adalah tidak mustahil bahawa nenek moyang kita juga boleh di pesongkan dengan begitu mudah oleh dakyah dan doktrin palsu Islamiah seperti yang berjaya di terapkan oleh Snouck Hurgeronje ini.

Oleh itu, tidak mustahil sama sekali jika kita dapati kita sudah tidak lagi mempunyai daya ikatan atau akidah kepercayaan yang kuat dari amalan harian kita di masa ini. Generasi kita sekarang, terutamanya dari kalangan muda mudi tidak lagi merujuk kepada ketepatan dan keagungan ilmu dan pedoman al kitab yang sangat jelas dan lengkap itu, yang telah menjadi rujukan utama di setiap saat oleh setiap para muslimin di zaman rasulullah dan para tabi’en yang terkenal dengan kehebatannya di seluruh dunia.

Dipetik drp:
Unit Kajian & Pembangunan (R&D), Latihan dan Perhubungan Awam(PR) Pekida Malaysia.

Laman Web:

http://www.pekida.org/

Lain2 Artikel Menarik:

tokjogho

Mengapa Tok Jogho? Sebenarnya, Tok Jogho merupakan ketua dalam satu-satu persembahan Dikir Barat yang amat popular di Kelantan. Penggunaan nama Tok Jogho sebagai pentadbir laman web PanduanPercuma.info adalah berdasarkan fakta yang mana dalam setiap persembahan Dikir Barat, Tok Jogho merupakan nadi kepada keseluruhan persembahan di mana beliau perlu bijak mengatur kata-kata dan menyusun ayat agar persembahannya terserlah dan menarik, lain daripada yang lain. Itulah matlamat PanduanPercuma.info - ingin menjadi sebuah laman web berbahasa Melayu yang unik, penuh dengan maklumat dan informasi kepada semua.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


*