Hidup Tanpa Seks

DIANGGARKAN satu peratus daripada penduduk di dunia terdiri daripada mereka yang hidup tanpa seks dalam istilah bahasa Inggeris asexual.

hidup tanpa seks

Walaupun kajian mengenainya terhad, namun golongan ini merupakan kelompok yang tidak akan melalui pengalaman seks sampai mati.

Dalam satu soal selidik di Amerika Syarikat yang disiarkan dalam akhbar The Guardians, United Kingdom, salah seorang respondennya yang hanya dikenali sebagai Annette memberitahu, pada usia 47 tahun dia tidak pernah mempunyai teman hidup.

 

Namun katanya, perjalanan hidup yang dipilih itu turut membawanya kepada pelbagai cabaran terutama desakan supaya memiliki pasangan daripada keluarga dan rakan-rakan.

Annette memberitahu, kumpulan wanita di gereja yang selalu dikunjungi sering melakukan doa agar dia ditemukan suami.

Sementara seorang saudaranya pula telah mendaftar nama Annette dengan sebuah agensi mencari jodoh.

Annette dan golongan asexual lain sepertinya tidak pernah dan kemungkinan langsung tidak akan melalui pengalaman seks.

Annette sendiri berulang kali mengatakan dia bahagia dan gembira dengan cara hidup itu.

Dalam kaji selidik melalui e-mel itu, Annette yang menetap di Minnesota, Amerika Syarikat (AS) bertugas di firma guaman.

“Kerja ini membuatkan saya gembira untuk menjadi seorang yang asexual, sebab saya melihat banyak kes penceraian dan apa yang berlaku dalam perhubungan seperti suami tinggalkan isteri kerana ada hubungan dengan lelaki,” katanya.

Walaupun hidup di negara maju, kehidupan asexual Annette tetap menimbulkan syak wasangka.

Bagi Annatte sendiri, sepanjang hidupnya dia sentiasa cuba memahami apa yang mendorong mereka di sekeliling mahu mempunyai hubungan seksual yang baginya penuh dengan masalah.

Mendengar golongan asexual bercerita tentang kehidupan harian menunjukkan mereka mempunyai ruang lingkup sendiri.

“Hidup dengan dunia yang romantik dan ada hubungan seksual yang ideal sangat sukar.

“Kesan yang paling meresap dalam hidup saya ketika ini sebagai pelajar ialah banyaknya perbualan yang berkisar tentang seks dan tarikan seksual pada seseorang yang mana saya tidak berminat mengetahuinya,” kata Bryony, 20, pelajar biologi dari Manchester.

David Jay dari California yang menubuhkan komuniti online mengenai asexual yang kini telah mengumpulkan 50,000 ahli pula berkata, komuniti taliannya merujuk perkara itu sebagai gerakan asexuality yang kini kononnya telah masuk fasa ketiga.

Fasa pertamanya dakwanya, bermula awal 2000-an. Namun itu tidak bermakna, kelompok asexual itu tidak wujud sebelum itu. Ini kerana ia tidak memiliki identiti khusus untuk mengenali golongan itu.

Asexual bukan bermakna golongan itu menafikan keinginan seks mereka yang menyebabkan mereka hidup tanpa seks, tetapi mereka tidak mempunyai keinginan.

Fasa kedua pula didakwa mula melibatkan gerakan membabitkan golongan itu.

Pada tahun 2006 Jay mula mendedahkan pada media mesej-mesej tentang asexual.

Pada tahun ini fasa ketika gerakan asexual seperti yang didakwa oleh Jay ialah untuk mencabar tanggapan umum mengenai apa yang dianggap sebagai kehendak seks yang normal.

“Secara teorinya ketiadaan keinginan seks bukan satu masalah. Tetapi disebabkan aktiviti seksual adalah sesuatu yang normal, maka kehadiran kumpulan asexual berpotensi untuk jadi masalah kerana ia semakin kelihatan dan ia mungkin menjadi satu stigma baru,” kata profesor dari Universiti Brock, Ontario, Dr. Tony Bogaert yang pakar dalam penyelidikan asexual.

Neth, 24, dari West County pula berkata, dia mengetahui dirinya seorang asexual sejak remaja tetapi hanya baru-baru ini tahu terdapat istilah mengenai apa yang dirasainya itu.

untuk menggambarkan dirinya, Neth juga mengatakan dia sebagai genderqueer, istilah umum untuk mereka yang tidak mahu dikenali sebagai lelaki atau perempuan.

“Kadang-kadang saya rasa lebih sebagai perempuan kadang-kadang tidak ada langsung,” katanya.

Dia pernah mempunyai teman lelaki tetapi telah berpisah.

“Kehendak dan tarikannya berbeza dengan saya. Saya tidak fikir dia sedar apa yang berlaku pada saya. Pada permulaan memang ada sesuatu berkaitan dengan seksual. Dia mahukannya dan saya terperangkap dengan memiliki teman lelaki.

“Tetapi wujud perasaan janggal selepas itu. Setelah bertahun bersama ternyata saya tidak mahukan seks.

“Saya berusaha mengelakkannya dan akhirnya kami hanya menjadi kawan,” kata Neth.

Dr. Lori Brotto dari Jabatan Obstetrik dan Ginekologi Universiti of British Columbia dalam kajiannya mendapati tidak ada pemisahan gender dalam asexual. Kebarangkalian lelaki dan perempuan untuk menjadi seorang yang asexual adalah sama.

Tetapi, lelaki yang asexual ada kemungkinan akan beronani berbanding perempuan. Ini kerana lelaki yang mempunyai keinginan seks normal akan bertindak balas terhadap tuntutan mereka itu.

Eksperimen yang dilakukan oleh Brotto dengan mengukur reaksi vagina terhadap rangsangan seksual secara visual bagi wanita normal dan wanita asexual juga tidak menunjukkan sebarang perbezaan.

Katanya, reaksi fizikal wanita asexual adalah sama dengan wanita yang ada keinginan seks secara normal.

Laura, 21, dari Scotland pula memberitahu, dia juga tahu dirinya seorang yang asexual ketika remaja.

“Ketika di sekolah pelajar perempuan mula bercakap tentang seks ketika berusia 13 tahun. Saya tidak faham apa yang mereka cakapkan ketika itu,” katanya.

Dia yang bekerja di sebuah bar sentiasa berhadapan dengan godaan pelanggan lelaki saban hari.

Tetapi ia tetap gagal mendorongnya untuk memiliki keinginan seks.

“Saya cuba memberitahu dan menerangkan kepada mereka yang saya seorang yang asexual.

“Tetapi apa yang mereka jawab ialah itu disebabkan saya belum mencubanya dengan mereka.

“Jadi akhirnya pada saya lebih baik tidak bercakap mengenainya langsung,” kata Laura.

Sumber: utusan.com.my

Lain2 Artikel Menarik:

tokjogho

Mengapa Tok Jogho? Sebenarnya, Tok Jogho merupakan ketua dalam satu-satu persembahan Dikir Barat yang amat popular di Kelantan. Penggunaan nama Tok Jogho sebagai pentadbir laman web PanduanPercuma.info adalah berdasarkan fakta yang mana dalam setiap persembahan Dikir Barat, Tok Jogho merupakan nadi kepada keseluruhan persembahan di mana beliau perlu bijak mengatur kata-kata dan menyusun ayat agar persembahannya terserlah dan menarik, lain daripada yang lain. Itulah matlamat PanduanPercuma.info - ingin menjadi sebuah laman web berbahasa Melayu yang unik, penuh dengan maklumat dan informasi kepada semua.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


*