Professor Dr Teo Kok Seong – Lebih Melayu Daripada Melayu

Professor Dr Teo Kok Keong adalah seorang Professor berbangsa Cina yang berkhidmat di Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Beliau adalah antara warga Malaysia yang berbangsa Cina yang begitu fasih berbahasa Melayu, sehingga beliau memertabatkan bahasa Melayu dalam kehidupan seharian beliau berbanding dengan bahasa ibunda beliau sendiri. Professor Dr Teo Kok Seong boleh dianggap sebagai sebagai seorang warga Malaysia berbangsa Cina yang “LEBIH MELAYU DARIPADA MELAYU” itu sendiri.

Beliau masih segak, fizikalnya lebih sihat berbanding usianya yang sudah pun menjangkau 63 tahun. Apatah lagi pertuturannya yang begitu fasih berbahasa Melayu. Malah, sepanjang temu bual selama dua jam, jarang sekali Profesor Datuk Dr Teo Kok Seong berbahasa Inggeris.

Mereka yang pertama kali bersua dengannya pasti terkejut dan tidak menyangka, seorang yang berbangsa Cina, begitu fasih dan amat mencintai bahasa Melayu melebihi kaum Melayu itu sendiri.

“Bahasa Melayu adalah bahasa negara saya,” begitu ringkas jawabnya ketika ditanya mengapa memilih Pengajian Bahasa dan Liguistik (Bahasa Melayu) sebagai kursus di universiti.

Kok Seong yang meminati sejarah akui, bahasa Melayu bukanlah minatnya. Bahkan dia sendiri meminta rakan mengajarnya jika beliau tidak memahaminya.

“Kalau ikutkan saya minat Sejarah, tapi sebab mahu bersama kawan-kawan guru yang lain, saya memilih kursus  Pengajian Bahasa dan Liguistik. Baru ada ‘geng’.

“Tapi lain pula jadinya, keputusan saya di universiti begitu cemerlang, sehingga mendapat Kepujian Kelas Pertama Sarjana Muda Sastera. Selepas itu saya meneruskan pengajian dalam kursus sama di peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah,” katanya.

Mula bertugas sebagai tutor di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), beliau kemudiannya ditawarkan jawatan pensyarah, Prof Madya dan kini bergelar Profesor. Ketokohannya dalam memartabatkan dan memperjuangkan bahasa Melayu tidak perlu disangkal.

Biarpun dibesarkan dalam keluarga Cina, Kok Seong sedikit pun tidak kekok bergaul dengan kaum Melayu, bahkan lebih rapat.

“Sehingga ada kawan-kawan (bergurau) memanggil saya haji Teo. Ada juga yang panggil ustaz. Mungkin kerana mereka anggap saya lebih (banyak) tahu dalam hal berkaitan bahasa Melayu dan Islam.

“Ada satu peristiwa, sebaik saya selesai memberi ceramah, (dekan barangkali) dalam ucapan ulasannya, menangis terharu kerana saya (orang Cina) boleh sayang dan jaga bahasa Melayu lebih baik daripada orang Melayu,” katanya.

Peristiwa sama juga berulang ketika beliau menyampaikan ceramah di hadapan pekerja Telekom Malaysia tahun lalu. Seorang peserta berjanji akan sayang bahasa kebangsaan kerana sebelum ini tidak hiraukannya.

“Satu lagi peristiwa, seorang wanita muda (Melayu) ucapkan terima kasih kerana membantu bangsanya. Saya terkejut, betul ke apa yang saya dengar.

“Saya tak pernah harapkan apa-apa daripada kerja saya. Tetapi apa yang disampaikan itu buat saya terharu, seolah-olah mereka hargai dan hormati saya,” katanya.

Suka makan budu, berulam jering

Membesar di Kelantan, sebuah negeri yang majoriti 96 peratus penduduknya adalah Melayu tidak memperlihatkan pengasingan kaum lain di negeri Cik Siti Wan Kembang itu.

Bahkan sebagai minoriti, kelompok Cina, India dan Siam memperlihatkan tahap isimilasi yang tinggi terhadap budaya Melayu sehingga menjadi sebahagian daripada cara hidup mereka.

“Keluarga saya sendiri makan guna tangan, anak-anak juga dididik begitu. Biasanya orang Cina peranakan tidak tahu gun penyepit, silap-silap boleh terpelanting penyepit dibuatnya.

“Makanan pula lebih kepada masakan Melayu. Saya sendiri makan ulam petai dan jering cecah dengan budu, memang sedap,” katanya.

Menceritakan zaman kanak-kanaknya, Kok Seong akui, kehidupan remajanya tidak seindah kanak-kanak lain yang boleh keluar bermain bola, guli dan layang-layang.

“Balik sekolah saya akan jaga kedai. Ibu tak berapa sihat perlu uruskan rumah tangga. Bapa pula buat dua kerja bagi menampung keperluan keluarga. Walaupun saya tidak dapat bermain seperti kawan-kawan lain, tidak mengapalah, kerana saya rasa saya pandai berniaga,” katanya.

Kok Seong turut akui pelajaran di sekolah tidak sehebat mana. Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) juga tidak melayakkannya ke tingkatan enam dan terpaksa bekerja sebelum menyambung pelajaran di Maktab Perguruan Bahasa, Lembah Pantai, Kuala Lumpur.

“Dekat maktab saya banyak main, sebab masa sekolah tak sempat rasa semua itu. Ibarat macam balas dendamlah. Di sini saya jadi kapten pasukan bola tampar selain aktif persatuan. Saya juga  sering keluar bersama rakan, sebab itu pelajaran tak bagus sangat.

“Tamat maktab, saya mula mengajar di SMK Sungai Raun, Raub. Sambil bekerja saya ambil Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM). Tiga kali saya ulang STPM. Pertama kali saya gagal, mana tidaknya, belajar sendiri. Banyak tak faham dari yang faham.

“Kali kedua dapat Gred 2, tetapi saya hanya layak buat pengajian luar kampus. Saya tidak mahu, saya ambil STPM buat kali ketiga dan lulus cemerlang sebelum diterima masuk ke Universiti Malaya,” katanya.

‘Bahasa Melayu jiwa saya’

Kok Seong menzahirkan harapannya agar pemimpin dan masyarakat Melayu bijak menguruskan bahasa kebangsaan itu khususnya dalam era globalisasi.

“Bahasa Melayu bukan sekadar perhiasan dalam Perlembagaan Persekutuan (Perkara 152), tetapi ia melambang fungsional iaitu perlu dan wajib digunakan dalam semua kegiatan budaya tinggi.

“Ketika ini penggunaan bahasa Melayu semakin digantikan dengan bahasa Inggeris. Peranannya diambil alih bahasa Inggeris satu persatu,” katanya.

Mengambil contoh, pelaksanaan program dwi bahasa (DLP) iaitu Pengajaran dan Pembelajaran Matematik dan Sains dalam Bahasa Inggeris di sekolah.

“Walaupun, kerajaan beri pilihan kepada sekolah sama ada belajar dalam bahasa Melayu atau Inggeris, tetapi peranan bahasa Melayu itu telah dikongsi dengan bahasa Inggeris.

“Saya anggap perkongsian begini tidak bagus untuk bahasa Melayu. Kerana itu pemimpin dan masyarakat Melayu perlu bijak menguruskan bahasa Melayu agar ia tidak diranapkan kerana dominasi bahasa Inggeris,” katanya.

INFO

Nama: Prof Datuk Dr Teo Kok Seong
Tarikh lahir : 22 Mei 1953
Asal: Kota Bharu, Kelantan
Adik-beradik: Anak pertama daripada tiga beradik
Isteri: Datin Chang Wai Leng (61 tahun)
Pekerjaan: Pesara (guru)
Anak: Teo Swi-han (doktor) dan Teo Ju-li (peguam)

Pendidikan: 
-Sultan Primary School II (1960 – 1965)
-Sultan Ismail College (1966– 1970) *kini Maktab SultanIsmail
-Maktab Perguruan Bahasa, Lembah Pantai, Kuala Lumpur (1973 – 1974)
– Sarjana Muda Sastera (Pengajian Bahasa dan Linguistik), UM (1979-1982) Sarjana Persuratan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) (1983- 1986)
– Doktor Falsafah Universiti of California, Berkeley (1989-1993)

Pekerjaan :

Guru Bahasa Inggeris dan Sejarah SMK Sungai Ruan, Raub, Pahang (1975 – 1979)
-Tutor sebelum menjadi pensyarah dan Prof Madya Kini sebagai Profesor Linguistik di UKM (sejak 1982)
– Felo Utama Institut Kajian Etnik, UKM

Anugerah:
-Tokoh Pemartabat Bahasa Melayu Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2012
-Ikon Perjuang Bahasa (Akademi) 2015
– Anugerah Datuk Paduka Setia Kelantan yang membawa gelaran Datuk pada 2012

 

Lain2 Artikel Menarik:

tokjogho

Mengapa Tok Jogho? Sebenarnya, Tok Jogho merupakan ketua dalam satu-satu persembahan Dikir Barat yang amat popular di Kelantan. Penggunaan nama Tok Jogho sebagai pentadbir laman web PanduanPercuma.info adalah berdasarkan fakta yang mana dalam setiap persembahan Dikir Barat, Tok Jogho merupakan nadi kepada keseluruhan persembahan di mana beliau perlu bijak mengatur kata-kata dan menyusun ayat agar persembahannya terserlah dan menarik, lain daripada yang lain. Itulah matlamat PanduanPercuma.info - ingin menjadi sebuah laman web berbahasa Melayu yang unik, penuh dengan maklumat dan informasi kepada semua.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


*